Datuk Mohamad Norza Bebas Tuduhan Rasuah

TEMERLOH, 17 Jun — Bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah selepas pendakwa raya enggan meneruskan kes kerana saksi-saksi “enggan memberi kerjasama”. Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah mengenakan tuduhan beri keterangan palsu ke atas tiga saksi utama kes berkenaan.

Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi Umno dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi ejennya, Halimi Kamaruzzaman untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya pada pemilihan lalu.

Selain itu Norza juga menghadapi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Jan 2009 di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh di sini.

Norza diwakili Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ahmad Sazili Abdul Khairi.

- The Malaysian Insider

0 Komen pengunjong :