Showing posts with label Yahya Lampong. Show all posts

Bekas timbalan menteri jangka BN tewas PRU13

Bekas timbalan menteri jangka BN tewas PRU13 KOTA KINABALU- Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Yahya Lampong meletakkan keyakinan yang sangat kuat bahawa BN akan gagal mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.
Menurutnya, daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen di seluruh negara, beliau menjangkakan 118 kerusi akan dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 kali ini dan 104 kerusi sahaja akan diperoleh BN.
Beliau yang telah keluar BN dan mengumumkan menyertai PKR baru-baru ini berkata, asas pengiraannya adalah dengan formula (82 + 20 + 16 = 118)
82 katanya adalah jumlah kerusi yang telah dimenangi oleh gabungan PAS,PKR dan DAP pada PRU12, 2008 yang lalu dan dijangka jumlah itu akan kekal pada PRU akan datang.
20 pula adalah jumlah kerusi parlimen yang majoritinya adalah pengundi Cina dan India yang dimenangi BN dalam PRU12 yang sudah tentu pada jangkaannya akan menolak BN pada PRU akan datang.
Asas kekalahan BN itu juga jelasnya, turut disandarkan pada keyakinan bahawa lebih separuh kerusi parlimen Sabah - selama ini menjadi 'tempat berpaut' BN untuk mengekalkan kuasa termasuk pada PRU12 lalu - akan 'swing' kepada Pakatan Rakyat.
Kata Yahya, sekurang-kurangnya 16 dari 25 kawasan parlimen di Sabah bakal dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 akan datang.
Kawasan itu masing-masing adalah 13 kerusi dari kawasan majoriti pengundi Kadazan, Dusun, Murut (KDM) dan Cina (KDM-C) dan tiga lagi dari kawasan campuran KDM-C dengan pengundi Islam.
Tiga kawasan campuran KDM-C dengan pengundi Islam adalah di Beaufort, Papar dan Kota Belud.
Di Papar dan Kota Belud katanya, jumlah peratusan pengundi KDM-C adalah 40 peratus dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 15 peratus sahaja lagi sokongan pengundi Islam bagi memenangi kedua-dua parlimen tersebut.
Bagi Beaufort pula, parlimen itu diyakini akan dimenangi Pakatan Rakyat apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas Ketua Umno Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin disebut-sebut bertanding di situ.
Lajim juga adalah timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Dan jika benar jangkaan Yahya ini berlaku, bermakna Pakatan Rakyat sudah boleh menguasai Putrajaya dengan 118 kerusi tidak termasuk kerusi perlimen dari Sarawak.
"Pakatan hanya memerlukan 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
"Justeru, Pakatan Rakyat sudah berupaya membentuk kerajaan dengan sokongan rakyat Semenanjung dan Sabah. Maka kawasan parlimen Sarawak adalah Bonus," katanya.
Seterusnya >>>

Saya keluar Umno kerana Nik Aziz - Yahya Lampong

KOTA KINABALU: Bekas timbalan menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Yahya Lampong berkata, sebab langsung beliau meninggalkan Umno adalah kerana Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Saya keluar Umno kerana Nik Aziz. Yang terakhir itu adalah kenyataan dia bahawa parti Islam akan kekal sampai bila-bila sedangkan parti assabiyah Melayu akan mati.

"Di samping itu, bagi saya ada dua kerajaan sahaja di dunia ini yang benar-benar melaksanakan Islam dalam kehidupan pemimpinnya iaitu Kelantan dan Iran.

"Lihatlah pada Nik Aziz dan pada Khomeini dan sekarang Ahmedinajad," kata beliau.

Yahya bercakap kepada Harakahdaily bersama Pesuruhjaya dan Setiausaha Perhubungan PAS Sabah.

Dua minggu lalu, Yahya secara rasmi membuat kenyataan meninggal Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penyertaan Yahya bersama Pakatan Rakyat menambahkan lagi gelombang kebangkitan rakyat Sabah sekarang.

Ketika ditanya kenapa menyertai PKR dan bukannya PAS, Yahya berkata, dia menyertai PKR kerana mahu membantu mengembangkan PAS.

Ini kerana, PAS belum bersedia sepenuhnya untuk diterima semua pihak tetapi sesiapa sahaja boleh menyertai PKR tanpa sebarang halangan dan sekatan.

"Walaupun saya tidak menyertai PAS, tetapi saya yakin anak dan cucu saya akan menyertai PAS nanti," katanya yang kini berumur 72 tahun tetapi masih segar bugar.


Menang


Yahya yakin Pakatan Rakyat akan menang dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Bagi beliau, kerusi-kerusi di Sabah dan Sarawak hanya bonus sahaja kerana menurut pengiraan beliau, Pakatan sudah menang tanpa bantuan kerusi di Sabah dan Sarawak.

"Saya akan pastikan, PAS akan berada dalam kabinet negeri Sabah selepas pilihan raya umum akan datang walaupun sekurang-kurangnya satu kerusi," kata Yahya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, moto gelombang kebangkitan rakyat Sabah adalah 'Ini kalilah' tetapi Yahya lebih agresif lagi dengan slogan beliau 'Habislah kali ini'.

Bagi beliau, Pakatan akan menang 2/3 kerusi di Sabah dengan kebangkitan rakyat Sabah yang ada sekarang.


Kejatuhan kerajaan Sabah


Sebelum ini, Timbalan Menteri Datuk Seri Panglima Lajim Ukin serta anggota Parlimen Tuaran, Wilfred Bumburing meninggalkan Umno.

Bagi pemerhati politik Sabah, peristiwa ini mengulangi sejarah politik Sabah.

Pada tahun 1976, Datuk Haris Salleh serta Datuk Salleh Sulong meninggalkan Usno dan membentuk Berjaya. Pada tahun itu, kerajaan negeri Sabah pimpinan Usno jatuh.

Pada tahun 1984, kerajaan negeri Sabah yang dipimpin Berjaya jatuh pula apabila Datuk Pairin Kitingan dan Mark Koding lari meninggalkannya dan membentuk PBS.

Tahun 1994 sekali lagi kerajaan negeri Sabah, kali ini pimpinan PBS jatuh apabila Datuk Lajim Ukin dan Robin Balang meninggalkan PBS dan menyertai Umno.

"Kali ini, Lajim dan Bumburing pula akan menjatuhkan kerajaan BN Sabah," kata mereka.
Seterusnya >>>