Showing posts with label Wira Arjuna. Show all posts

Iktibar kepemimpinan tulen untuk Najib

azlan
Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai BERSIH 2.0 memperlihatkan ketokohan dan kepemimpinan yang didahagakan oleh rakyat sekian lama.

Kematangan Seri Paduka Baginda dalam menyampaikan pendirian berhubung perhimpunan aman itu sekaligus mendinginkan hati rakyat dan menyejukkan keadaan yang semakin panas akibat kenyataan-kenyataan Perdana Menteri dan tangkapan-tangkapan polis terhadap penyokong BERSIH 2.0.

Dalam kenyataan yang ringkas tetapi padat, Tuanku Mizan menintahkan supaya adalah lebih elok perhimpunan BERSIH 2.0 dibatalkan kerana ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan, walaupun niatnya baik.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda mengingati Najib dan kerajaan pimpinan beliau terhadap keperluan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bertanggungjawab.

Titah baginda: “Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasanpun.

“Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik”.
Tersasar hayati ucapan

Walaupun media arus perdana menganggap titah Tuanku sebagai tamparan kepada penganjur perhimpunan BERSIH, mereka tersasar dalam menghayati semangat ucapan Seri Paduka Baginda.

Apa yang dinyatakan oleh Baginda amat jelas: biarlah segala permasalahan diselesaikan menerusi dialog dan rundingan yang telus dan adil supaya ia tidak mencetuskan sesuatu keadaan yang tidak diingini.

Sayugia diingati BERSIH telah berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk lebih setahun sebelum memutuskan untuk menganjur perhimpunan aman pada Sabtu ini.

Namun SPR tidak melayan rungutan-rungutan 62 Pertubuhan Bukan Kerajaan yang bergabung di bawah naungan BERSIH.
Justeru, masalah seperti puluhan pengundi berlainan kaum berdaftar menggunakan alamat sama, pengundi biasa ditukar menjadi pengundi pos tanpa pengetahuan mereka hanya secebis daripada kepincangan yang dikesan dalam daftar SPR.

Apabila rundingan antara SPR dan BERSIH gagal, sepatutnya Perdana Menteri sendiri harus mengambil iktibar untuk memberikan perhatian kepada rungutan-rungutan yang dibawa oleh BERSIH.

Namun ini tidak dilakukan. Perdana Menteri sebaliknya menfitnah pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga sebagai musuh Islam semata-mata kerana menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang peguam dalam kes murtad Lina Joy.
Mencetuskan ketegangan

PERKASA dan Pemuda Umno digerakkan untuk menganjur perarakan bagi menandingi perhimpunan BERSIH hanya untuk mencetuskan ketegangan.

Masjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula diwajib membaca khutbah Jumaat yang melabelkan penganjur BERSIH sebagai pelampau yang sanggup mencederakan anggota pasukan keselamatan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam pula mendakwa beliau tidak dapat mengawal pesilat pertubuhan kebangsaan yang dipimpinnya daripada bertindak keras terhadap peserta BERSIH 2.0.

Rasanya tidak perlu mengulas mengenai kenyataan-kenyataan Ibrahim Ali atau dalang-dalang yang melancarkan demostrasi jalanan di Pulau Pinang atau yang membuat laporan polis terhadap BERSIH 2.0.

Pada masa sama, polis turut dikerah untuk menangkap beramai-ramai sesiapa sahaja yang memakai baju berlogo BERSIH. Lebih 200 orang ditahan dan pejabat seketariat BERSIH diserbu dan ratusan baju T dirampas.

Pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyokong gerakan BERSIH disoalsiasat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan. Enam orang termasuk ahli parlimen Sungei Siput Dr D Jayakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.
Rakyat terima padah

Tanpa menunggu hasil siasatan, Jeyakumar dan rakan-rakannya dituduh oleh polis sebagai cuba menghidupkan fahaman komunis menerusi BERSIH.

Siapakah yang harus bertanggungjawab kerana menimbulkan ketegangan ini?

Apakah yang dilakukan oleh BERSIH sehingga mengundang tohmahan dan tindakan polis sebegitu?

Adakah BERSIH melancarkan walaupun satu perhimpunan yang menggunakan kekerasan atau memusnahkan harta benda sebagai tindak balas? Tidak. Namun mereka yang menyokong gerakan itu menerima padah kerana terpalit dengan tohmahan yang direkayasa.

Ketika Malaysia memerlukan kebijaksanaan, kematangan dan kepemimpinan untuk menangani tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh BERSIH, Perdana Menteri memilih untuk menggalakkan budaya samseng dalam cubaan terdesak untuk menakut-nakutkan pendokong BERSIH 2,0.

Fitnah disebarkan menerusi khutbah Jumaat dan media arus perdana. Ugutan demi ugutan dibuat oleh persatuan pesilat dan “patriot-patriot” lain dengan restu Perdana Menteri dan Menteri Umno yang lain.

Amat sukar untuk meneka kenapa Najib tidak memilih untuk berdialog dengan penganjur BERSIH 2.0 tetapi bertindak untuk melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap mereka dengan menggunakan institusi media, polis dan masjid.
Aktivis tersohor
Jika beliau begitu bingkas berdialog dengan pemimpin-pemimpin Kristian tidak lama dahulu untuk meredakan kemarahan penganut agama berkenaan bersabit fitnah penubuhan negara Kristian, kenapa pula Perdana Menteri menjauhkan diri daripada penganjur BERSIH 2.0?

Harus diingati, BERSIH 2.0 bukan merangkumi Pertubuhan Bukan Kerajaan sembarangan. Ia dibarisi oleh aktivis-aktivis tersohor yang sudah lama bergiat menyuburkan proses demokrasi di negara ini dan memerangi rasuah serta mendokong keadilan.

Selain daripada bekas Presiden Majlis Peguam S Ambiga, nama-nama seperti Maria Chin Abdullah, Marina Mahathir dan Zaid Kamaruddin harus meyakinkan kita akan keikhlasan gabungan ini mahukan sebuah pilihanraya bebas dan adil demi manfaat rakyat.

Nama-nama ini juga tentunya memberi keyakinan bahawa mereka bukan golongan yang sanggup bergerak di bawah telunjuk mana-mana pihak, khususnya pembangkang.

Sayang, Najib kehilangan peluang keemasan untuk memperlihatkan kepemimpinan pada saat yang amat diperlukan.

Beliau berpeluang untuk meredakan keadaan, dan mengajak BERSIH 2.0 untuk berdialog secara ikhlas dengannya.
Tawaran jengkel

Namun beliau memilih jalan mudah untuk “melepaskan” segala aparatus kerajaan bagi menanam hasad dengki rakyat terhadap Bersih 2.0 dan menzalimi penyokong tertentu gabungan itu.

Rakyat hanya menarik nafas lega apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tampil untuk mengemudi jalan keluar daripada sebuah keadaan yang semakin gawat dengan pancaroba dan bahaya.

“Berdialog secara ikhlas dan elakkan tindakan yang boleh merugikan negara,” itu antara teras titah Tuanku Mizan.

Apa pula jawapan Najib kepada titah diRaja itu:

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah”

Kenyataan itu yang dibuat di depan pegawai-pegawai kerajaan semalam adalah tawaran yang menjengkelkan kepada penganjur BERSIH 2.0. Ia juga menyerlahkan kualiti kepemimpinan Perdana Menteri Malaysia keenam Datuk Seri Najib Razak.
Seterusnya >>>

Bersih 2.0: Tembelang Najib Pecah

KOMENTAR  : "Saya menekankan supaya rakyat didahulukan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, suara rakyat adalah suara keramat,” Itu intipati ucapan Perdana Menteri Najib Razak beberapa bulan selepas dinobatkan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009. 

Dalam sekelip mata di bawah teraju beliau, Malaysia kembali ke era negara polis yang mewarnai pemerintahan Tun Mahathir Mohamad. 

Hanya kerana berlainan pendapat dengan pemerintah, maka suara 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) cuba dibisukan, manakala ruang bersuara untuk parti pembangkang disempitkan lagi. 

Rakyat yang memakai T-shirt membawa logo Bersih ditangkap, malah bendera Malaysia yang dibawa mereka untuk diedarkan kepada orang ramai juga dirampas. 

Ratusan ribu rakyat yang mahu turun menzahirkan keperluan untuk sistem pilihanraya diperbaiki supaya lebih adil dan telus, akan menghadapi serangan polis bersenjatakan belantan dan pancutan air berkimia pada 9 Julai.  

Segala aktiviti penganjur Bersih dan pemimpin- pemimpin politik yang menyokong gerakan itu diibaratkan oleh polis dan media arus perdana sebagai memudaratkan keselamatan negara. 

Malah Bersih, menurut Umno-Barisan Nasional, akan memberi kesan teruk kepada ekonomi Malaysia jika tidak dibendung.

Polis di seluruh negara digerakkan untuk menahan sesiapa sahaja yang memakai Baju T dengan logo Bersih dan merampas apa sahaja yang mengandungi logo  itu. 

Akhirnya tembelang Perdana Menteri Najib Razak “pecah”.  

Janji-janji untuk mengamalkan keterbukaan dan menjadikan rakyat sebagai paksi kepada segala tindakan beliau hanya kenyataan politik yang kosong. 

Sebaliknya beliau menunjukkan kecederungan menggunakan insitusi polis untuk meluntur malah memadamkan sebarang bantahan rakyat secara terbuka. Dasar ini kerap dilakukan di zaman Mahathir dan kini berulang di era Najib. 

Justeru polis mula bertindak keras untuk membatalkan Bersih 2.0.   

Tidak ada negara yang mendokong demokrasi mempunyai pasukan polis yang menangkap orang hanya kerana pakaian mereka tidak seiring dengan pemikiran kerajaan. 

Apakah undang-undang rimba berdaulat kembali apabila polis boleh menyerbu dan menyita sekatariat Bersih tanpa waran semata-mata untuk merampas baju T dan risalah Bersih?

Di sebalik semua tindakan polis terhadap penganjur dan penyokong Bersih, apakah salah dengan tuntutan perhimpunan itu? 

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sendiri tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap perhimpunan aman Bersih, namun dukacita kerana pendapat badan ini tidak mendapat perhatian kerajaan.   

Ini kerana tuntutan asas Bersih adalah supaya sistem pilihanraya diperbaiki khususnya ketelusan undi pos di samping pembersihan daftar pengundi. 

Sebuah pilihanraya yang adil dan telus akan memberi kelebihan kepada mana-mana parti yang menang pada PRU akan datang untuk mendabik dada kerana meraih kejayaan yang “bersih” dan tidak mencurigakan. 

Tidak ada sesiapa boleh menafikan bahawa pada setiap pilihanraya, BN akan bermula dengan kelebihan yang begitu besar berasaskan kawalan penuh terhadap media arus perdana negara ini dan sumber kewangan negara serta kemudahan awam. 

Contohnya Utusan Malaysia, TV3, NTV7, TV9, New Straits Times dan Berita Harian dikawal oleh Umno manakala The Star dikuasai MCA.
Ini tidak termasuk RTM dan Bernama yang diletak terus di bawah Kementerian Penerangan, Komunikkasi dan Kebudayaan. 

Kelebihan ini umumnya diterima oleh Pembangkang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai realiti politik negara, contohnya tidak mungkin Umno menyerahkan haknya untuk menentukan siapa Ketua Pengarang Utusan Malaysia mahupun Berita Harian. 

Justeru tuntutan utama NGO berkenaan menerusi Bersih ialah supaya SPR mengatasi masalah-masalah ketelusan undi pos, penghapusan pengundi hantu dan pembersihan daftar pengundi.    

Justeru inisiatif 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan ini harus disokong, bukan sahaja oleh Pembangkang tetapi juga oleh BN, yakni Najib sendiri.      

Najib ingin mencanang Malaysia sebagai sebuah negara dinamis di bawah dasar-dasar beliau yang pro-aktif dan berpaksi rakyat.

Beliau seorang yang amat berpengetahuan luas, menjelajah di seluruh dunia dan tentunya peka bahawa hak berkumpul secara aman adalah prinsip asas demokrasi. 

Jika benar beliau mendokong prinsip itu, kenapa bertindak begitu zalim terhadap penganjur Bersih?

Jika Najib menyokong prinsip asas demokrasi, beliau sepatutnya turun bersama rakyat, tak kira sama ada mereka penyokongnya mahupun pembangkang, demi  menzahirkan komitmennya kepada sebuah pilihan raya yang telus dan adil. 

Kehadiran beliau bersama rakyat, wakil masyarakat madani dan pemimpin pembangkang pada perhimpunan Bersih sudah tentu menjadi pemangkin untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penambahbaikan kepada sistem pemilihan yang sedia ada. 
  
"Kalau kita sebagai pemimpin turun bersama rakyat tanpa protokol, tanpa hamparan permaidani merah, tanpa bunga manggar, tanpa sambutan, duduk dengan rakyat, minum dan ambil kira serta ambil berat masalah rakyat, rakyat akan tetap bersama kita dan rakyat akan tetap memberi kuasa"  

Itu ucapan Najib pada satu majlis di Sabah tidak lama dahulu. Jika beliau mendokong kenyataannya itu, sudah tentu Perdana Menteri tidak bermasalah menyokong Bersih. 

Sebaliknya Najib memilih untuk merestui tindakan polis menangkap dan memenjarakan mereka yang menuntut pilihanraya bersih dan adil. 

Beliau juga menutup sebelah mata dengan provokasi Perkasa dan Pemuda Umno menganjurkan siri demostrasi  pada hari yang sama, semata-mata untuk mencetuskan keadaan tegang dan member alasan kepada polis untuk bertindak liar. 

Sayang – peluang Malaysia melangkah ke depan untuk menyubur dan mematangkan proses demokrasi negara disambut dengan tindakan pemerintah yang begitu keras dan jauh daripada bersih.   
Seterusnya >>>

Kerahan Tenaga Untuk Media Dayus Perdana

KOMENTAR : Kini seluruh jentera media arus perdana dikerah untuk menakutkan rakyat supaya tidak menyertai Perhimpunan Bersih 9 Julai untuk menuntut sebuah pilihanraya yang adil dan telus. 

Media cetak, televisyen dan radio digerakkan untuk merakamkan “keresahan” peniaga mengenai kehilangan rezeki  yang menurut media akan mencecah jutaan ringgit. Bagaimana taksiran ini dibuat – Wallahu a‘lam. 

Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan, seorang peguam yang amat dihormati, kini dilabel oleh media sebagai tali barut pembangkang yang mahu menjatuhkan BN menerusi demostrasi jalanan. 

Rasanya tidak perlu dihuraikan di sini apa yang dilaporkan oleh akhbar dan TV mengenai pemimpin-pemimpin seperti Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan  “buah hati” mereka, Anwar Ibrahim. 

Akhbar The Star yang selama ini dilihat sebagai  “cuba” memberi  perimbangan dalam laporan-laporannya,  akhirnya tunduk kepada tekanan BN, khususnya Umno, dan kini  menfitnah Ambiga, Anwar dan Bersih 2.0 secara keseluruhannya. 

Maka secara rasmi,  The Star kini menyertai kelab media dayus perdana yang dipelopori oleh Utusan Malaysia, Berita Harian, Tv3 dan New Straits Times. 

Hujah The Star dan media arus perdana lain bahawa kononnya Bersih 2.0 akan menyebabkan peniaga rugi berjuta-juta ringgit adalah dangkal dan tidak masuk akal JIKA lunas-lunas demokrasi  dihormati. 

Antara prinsip demokrasi yang dimaksudkan itu adalah hak rakyat berkumpul secara aman untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu  yang dirasakan penting untuk negara. 

Malaysia tidak akan “tutup kedai” (shutdown) mahupun  mengalami kemusnahan ekonomi (meltdown)  jika peserta Bersih dibenarkan berkumpul dan berarak di dua tiga batang jalan raya untuk menyampaikan sebuah memorandum kepada Istana Negara. 

Namun jika polis bertindak secara provokasi iaitu menutup jalan , menahan sesiapa yang memakai baju T kuning, menembak gas pemedih mata dan air berkimia terhadap pemimpin dan peserta Bersih serta membelasah mereka  dengan belantan  – ya, perhimpunan Bersih akan dicemari dengan keganasan. 

Segala tindakan polis yang dinyatakan di atas, berlaku pada perhimpunan Bersih pertama tahun 2007. 

Sebaliknya,  jika polis menjalankan tanggungjawab untuk menyuburkan demokrasi dengan memberi kerjasama kepada penganjur supaya perhimpunan Bersih dilaksanakan secara teratur, adakah ini akan mendatangkan  kerugian kepada Negara?

Malah sebaliknya, ia akan menjadi mercutanda betapa suburnya amalan demokrasi di Negara ini dan akan menanam keyakinan pelancong dan pelabur asing betapa sopan, tertib dan teraturnya penghayatan demokrasi di Negara ini.
Pilihan itu hak pihak polis dan pegawai atasan serta menteri serta cabinet Malaysia. Itu baru namanya anak jantan yang sihat akal fikirannya dan murni serta ikhlas akal budinya untuk menabur bakti kepada Negara.
Kerjasama sedemikian oleh polis akan memperagakan kepada pelawat asing, sebuah Malaysia  moden yang mengamalkan demokrasi tanpa menjejaskan kehidupan harian. 

Tapi sayang, kerjasama polis yang diharapkan adalah ibarat pungguk rindukan bulan. 

Polis sudahpun memulakan tangkapan ke atas sesiapa sahaja yang memakai T-shirt Bersih selain  penganjur  menjadi sasaran. 

Apakah yang begitu menakutkan BN mengenai  Bersih 2.0  sehingga pemimpin-pemimpin kerajaan, Pemuda Umno, Perkasa, Polis dan  media dayus  perdana digerakkan secara begitu agresif untuk membanterasnya? 

BN sebenarnya  khuatir perhimpunan Bersih  akan mencetuskan gelombang kemarahan rakyat terhadap Umno-BN kerana mencabuli kewibawaan institusi-institusi seperti Suruhanjaya Pilihanraya.

Dalam beberapa minggu lepas, kebejatan SPR semakin terserlah dengan pendedahan-pendedahan yang menzahirkan masalah pengundi hantu, penukaran pengundi biasa kepada pengundi pos secara haram dan pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.

Ini diburukkan dengan  dakwaan Projek IC Sabah - yang menyaksikan ratusan ribu warga asing diberi kerakyatan  Malaysia untuk membolehkan mereka mengundi BN -  kini menular ke Semenanjung Malaysia.  Pertubuhan Bukan Kerajaan dan parti pembangkang khuatir  Umno-BN akan mengotakan janji untuk memenangi PRU-13 dengan apa sekali cara pun.

Wartawan-wartawan kanan di akhbar The Star, New Straits Times, Tv3, malah Utusan Malaysia sendiri cukup arif mengenai isu pengundi hantu dan pengundi pos dan impaknya ke atas keputusan di kerusi-kerusi tertentu semasa PRU yang lalu. 

Namun akhbar-akhbar berkenaan tidak  menegur SPR di atas kepincangan-kepincangannya,  tetapi memilih untuk melancarkan tohmahan dan fitnah terhadap penganjur Bersih 2.0. 

Wartawan-wartawan yang pernah mewawancara Ambiga, pengerusi Bersih 2.0,  akan memberi pengakuan bahawa beliau seorang berprinsip dan bukan tunduk  di bawah telunjuk pembangkang mahupun kerajaan.
Malangnya, pengakuan ini tidak boleh diberikan secara terbuka kerana ia tentunya akan mengundang tindakan daripada media itu sendiri atau Kementerian Dalam Negeri . Itulah  realiti politik di negara ini. Kes bekas presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hatta Wahari yang dipecat oleh Utusan kerana mengkritik arah tuju laporan-laporan Utusan adalah contoh hidup dan nyata!

London, New York, New Dehli, Bangkok, Jakarta – semua bandaraya-bandaraya ini sering menyaksikan perhimpunan dan bantahan. Tiada pula laporan system ekonominya ranap kerana demonstrasi.  

Hakikatnya adalah, perhimpunan yang bersih dan teratur dengan kawalan polis tidak pernah menyebabkan  sebarang masalah kepada peniaga, menyusahkan rakyat atau menggugat kestabilan Negara yang mahukan kelangsungan pemerintah yang menghormati asas demokrasi. 
Seterusnya >>>

Siapa Perlu Tonjolkan Diri Sebagai Anak Jantan?


KOMENTAR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat kenyataan mengelirukan apabila mencabar Pakatan Rakyat supaya berdepan dengan Barisan Nasional (BN) sebagai "anak jantan" dan bukan mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.


Najib mendakwa matlamat utama Himpunan Bersih 2.0 adalah mahu menimbulkan huru-hara dalam negara.


"Pada pembangkang (Pakatan Rakyat) bila mereka melihat kita terus bergerak ditambah pula kemenangan pada pilihan raya kecil yang lalu dan pilihan raya negeri Sarawak, jadi bagaimana mereka mahu merampas momentum ini sebab momentum ini ada pada kita.


“Mereka buat kesimpulan untuk mendapatkan kuasa  dengan mengadakan Himpunan Bersih 2.0, bukan untuk serahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong atau mahu sistem pilihan raya yang adil tapi nak buat huru-hara.


“Waktu pilihan raya, kalau anak jantan yang sebenar bila pilihan raya, bertandinglah . . . kalau berani, kalau bukan anak jantan buatlah di jalanan dan berdepan dengan undang-undang,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk  di sini.


Kenyataan Perdana Menteri itu tersasar kerana Pakatan Rakyat sememangnya akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13, malah itulah nadi utama segala aktiviti parti politik.


Namun pada masa sama, Pakatan, sebagai sebuah gagasan “anak jantan”,  mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil,  justeru, ia memberi sokongan bulat kepada Perhimpunan Bersih 2.0.


Bersih 2.0 adalah anjuran pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan termasuk gabungan pelajar Islam dan Abim.


Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan beberapa kali mengundang parti komponen BN untuk bersama-sama dalam gerakan bagi memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun ia mendapat sambutan dingin.


Oleh kerana itu, amat mudah untuk pemimpin seperti Najib menyerang Bersih sebagai kononnya alat pembangkang untuk mencetuskan huru hara.


Dalam ucapannya hari ini,  Najib juga merujuk kepada kemenangan BN di Sarawak sebagai bukti “momentum” atau rentak memenangi pilihanraya ada ditangan BN.


Sebenarnya Pakatan Rakyat melipatgandakan kemenangannya dari tujuh kerusi kepada 15 kerusi pada PRN Sarawak April lalu.


Pilihan raya itu juga memaksa Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud untuk mengumumkan tempoh persaraan beliau selepas pemerintahan 30 tahun yang dibelit dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan kuasa.


Jangan lupa kemenangan Pakatan itu  diraih walaupun Barisan Nasional menguasai segala jentera kerajaan, media arus perdana dan menabur wang yang dikatakan berjumlah kira-kira RM500 juta ringgit untuk mengekalkan majoriti dua pertiganya.


Walaupun menang, jumlah undi untuk BN di Sarawak merosot kepada 54.5 peratus berbanding 62.9 peratus pada pilihan raya negeri sebelumnya.


Justeru, janganlah dibanggakan sangat kemenangan BN di Sarawak.


Najib  juga mendakwa BN tidak pernah memanipulasi pilihan raya seperti mana yang didakwa Pakatan Rakyat.


“Kalau kata pilihan raya ini tidak adil kenapa kita nak serah Selangor, kenapa nak serah Pulau Pinang, kenapa PAS boleh perintah 20 tahun di Kelantan.


“Kalau kata kita manipulasi pilihan raya sudah tentu semua negeri akan jadi milik BN,  kita tidak manipulasi pilihan raya tapi kita didokong rakyat,” kata Najib.


Alasan lapuk yang diguna pakai sejak zaman Tun Dr Mahathir ini mudah dijawab.


Tsunami politik yang melanda Malaysia tahun 2008 menyebabkan segala undi pos, pengundi hantu dan amalan-amalan lain tidak cukup untuk menongkah arus sokongan luar biasa rakyat terhadap  PR.


Kotak-kotak undi pos dan pengundi hantu hanya memadai untuk mengurangkan jurang sokongan  yang diperolehi oleh calon-calon PR di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan namun tidak cukup untuk menafikan mereka kemenangan.


Namun begitu, di Perak, majoriti tipis Pakatan Rakyat membolehkan Umno cepat-cepat merampas semula negeri itu kerana tiga wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat dan DAP sanggup lompat keluar diselubungi dakwaan mereka menerima ganjaran lumayan.


Oleh itu penguasaan PR di beberapa negeri tidak harus dijadikan contoh untuk menghalalkan SPR sebagai sebuah badan yang bersih dan berkecuali atau pun BN tidak memanipulasi proses pilihanraya.


Hakikat ialah pilihanraya di negara ini sentiasa dibayangi oleh masalah ketelusan undi pos dan pengundi hantu.


Pada zaman Mahathir, fenomena itu diburukkan lagi dengan pemberian kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi BN di Sabah.


Kini projek IC Sabah dikatakan menular di Semenanjung selain masalah pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.


Berlatarbelakangkan semua ini, tidak harus timbul keraguan  dalam tekad pembangkang mahukan sebuah SPR yang berwibawa.


Pada masa sama “kejantanan” Pakatan untuk menghadapi Umno-BN pada PRU akan datang tidak juga perlu diragukan.


Persoalannya adakah Najib dan Umno anak jantan yang sanggup bertanding secara adil, tanpa menguasai media arus perdana, dan tanpa menggunakan kemudahan awam serta dana rakyat untuk menyogok pengundi.


Jika jawapan adalah YA, saya yakin penganjur Bersih tidak akan keberatan untuk membatal gerakan mereka.
Seterusnya >>>

Rakyat dicandui mimpi muluk Umno-BN lagi

azlan
Dalam lawatan saya ke India baru-baru ini, saban hari saya membaca iklan-iklan berbayar oleh kerajaan-kerajaan negeri di rantau itu mengenai projek-projek yang mereka telah mulakan untuk kebaikan rakyat.

Iklan itu dihiasi dengan pelbagai slogan, semuanya untuk memberikan mesej bagaimana rakyat bakal menerima manfaat begitu besar hasil pemerintahan kerajaan berkenaan.

Peliknya kerajaan-kerajaan negeri yang membuat janji-janji sedemikian sudah pun lama memerintah. Jadi jika rakyat baru dijanjikan manafaat “yang bakal” dinikmati mereka, tentunya ada sesuatu yang tidak kena.

Di sebalik iklan-iklan yang penuh dengan janji-janji sedemikian, saya hanya perlu melangkah ke luar hotel untuk berdepan dengan realiti hidup di India.

Memang diakui New Dehli, Jaipur dan bandaraya-bandaraya lain seperti Amritsar mempunyai bangunan pencakar langit dan lebuh raya sibuk dengan kereta mewah, namun ia juga penuh dengan pengemis tua, muda dan kanak-kanak.
Menyayat hati

Amat menyayat hati bila melihat ibu mendokong bayi belasan bulan yang berpakaian nipis di musim sejuk dengan suhu 10 darjah Celsius di celah-celah kotaraya, mencari makanan di tong-tong sampah.

Saya tidak dapat mengelak daripada membandingkan iklan-iklan di India itu dengan muka depan akhbar-akhbar arus perdana di Malaysia semalam mengenai kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) membabitkan pelaburan sebanyak RM2.27 bilion.

Utusan Malaysia
melaporkan gabungan semua 15 inisiatif ini dalam tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) mewakili pelaburan RM63.38 bilion dan pendapatan negara kasar sebanyak RM66.13 bilion serta mewujudkan 63,531 peluang pekerjaan.

Berdasarkan laporan media itu semata-mata, nampaknya Malaysia kini memasuki era keemasan di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mungkinkah ini satu hakikat? Atau, ia sebenarnya sama seperti apa yang berlaku di India?

Kita bersyukur kerana pengemis-pengemis jalanan yang berkeliaran di negara kita kini kebanyakan mereka adalah rakyat asing; buat masa ini.

Namun siapa yang sanggup menafikan hakikat kita semua semakin merasakan kesempitan hidup.

Kos sara hidup yang melambung, tanpa kenaikan gaji yang selari, penarikan balik subsidi, kenaikan harga hampir semua barangan perlu, dari secawan kopi di gerai kepada bil elektrik – semuanya semakin mencengkam kita.
Bajet tambahan
Sehari selepas Najib mendabik dada memberitahu dunia mengenai manfaat yang bakal dikecapi rakyat daripada NKRA dan ETP tajaannya, timbalan beliau terpaksa berdiri di Parlimen memohon Belanjawan tambahan sebanyak RM13 bilion.

“Ini untuk menampung keperluan perbelanjaan menguruskan negara,” kata Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek Hussain (kiri).

Bermakna Belanjawan sebelum ini yang dibentangkan oleh Najib iaitu sebanyak RM162.8 bilion tidak mencukupi.

Ini juga bermakna belanjawan Najib hanya bertahan untuk tempoh begitu singkat, dan segala unjuran oleh pakar-pakar beliau tidak menepati sasaran!

Adakah kita sanggup dibuai dengan janji-janji indah NKRA, ETP dan sebagainya atau berpegang kepada realiti hidup semasa untuk merumuskan bahawa ada sesuatu yang amat tidak kena dengan ekonomi negara kita.

Kenapa subsidi untuk rakyat ditarik balik, manakala subsidi untuk Penjana Eletrik Bebas di kekalkan?

Kenapa perlu diadakan projek mega 100 tingkat Menara Warisan bernilai RM5 bilion atau membelanjakan RM65 juta untuk mengubah suai kediaman Perdana Menteri?

Apakah keperluan untuk kerajaan bergabung dengan sektor swasta membelanjakan RM27 juta ringgit untuk mengumpul sejuta pemuda bagi beramah mesra dengan Perdana Menteri, baru-baru ini?
Keperitan hidup

Bagaimanakah Kementerian Perlancongan boleh diberi kelulusan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengendalikan laman Facebooknya, sesuatu yang boleh dilakukan dengan belanja jauh lebih murah?

Jawapan kepada persoalan-persoalan ini tidak mungkin akan dikupas oleh media arus perdana milik kerajaan, namun ini tidak bererti rakyat tidak boleh memikirkan mengenainya.

Dalam mengharungi keperitan hidup akibat pemotongan subsidi, rakyat kini menyaksikan kerajaan yang sama memohon kepada Parlimen untuk diberikan tambahan RM13 bilion bagi pengurusan negara.

Sudah tentu ia akan memburukkan lagi defisit negara, dan jika defisit negara bertambah meruncing, apakah ini tidak bermakna rakyat akan dijadikan mangsa menerusi pemotongan subsidi yang lebih dahsyat?

Pembaziran, ketirisan dan rasuah mewarnai setiap kerajaan yang memerintah di India sejak kemerdekaan. Prinsip-prinsip yang dijulang oleh Bapa India – Mahatma Gandhi sudah lama diabaikan oleh kebanyakan ahli poltik negara itu dalam mengejar kemewahan untuk diri dan kroni.

Segelintir daripada rakyatnya adalah antara yang terkaya di dunia, namun sebilangan besar masih lagi terperangkap dalam kancah kemiskinan tegar yang amat memeritkan.

Di Malaysia, janji-janji NKRA-ETP ialah pusingan mimpi baru yang dijual oleh kerajaan Umno-BN kepada rakyat negara ini.
Ungkapan kroni, kronisme

Kita sudahpun menyaksikan bagaimana pengswastaan Tun Dr Mahathir Mohamad mempopularkan ungkapan kroni dan kronisme.

Duit rakyat beratus billion ringgit disalur untuk membayar syarikat-syarikat konsesi air, elektrik, dan sistem aliran transit ringan dan sebagainya.

Hasil jelas pemerintahan beliau, rakyat terpaksa membayar tol tinggi untuk menggunakan lebuhraya, bil elektrik dan air juga meningkatkan manakala kemudahan pengangkutan awam negara ini jauh daripada memuaskan.

Selepas Mahathir, rakyat disajikan pula rancangan-rancangan seperti Koridor Ekonomi wawasan Tun Abdullah Badawi.

Belum pun Koridor itu menjadi realiti, rakyat diminta menerima keindahan NKRA dan ETA oleh Perdana Menteri 1Malaysia Najib Razak.

Maaf jika rasa sinis saya membaca iklan-iklan akhbar berbayar kerajaan di India menyerlah sekali lagi apabila membaca “kebesaran ETP dan NKRA” di muka depan akhbar-akhbar arus perdana semalam.

Saya cuma memikirkan nasib rakyat yang terperangkap dengan segala sara hidup semakin melambung yang cuba dibuai dengan mimpi-mimpi seorang lagi Perdana Menteri Umno-BN. 

-/Malaysiakini
Seterusnya >>>