KUALA LUMPUR, 9 Sept — Anak kedua kepada anggota polis yang terselamat dalam peristiwa Bukit Kepong Allahyarham Yusoff Rono mengakui bapanya pernah diselamatkan oleh Ahmad Indera atau dikenali sebagai “Mat Indera” ketika serangan enam dekad lalu itu.
Nazir Yusoff, 54, berkata arwah bapanya itu pernah menceritakan tindakan Mat Indera menyelamatkan dia ketika diacukan banet oleh seorang anggota komunis.
Nazir dipetik Sinar Harian hari ini berkata, tindakan tersebut disebabkan Mat Indera sudah mengenali bapanya yang pernah bersama-sama bekerja sebagai buruh di Pelabuhan Muar sebelum berkhidmat sebagai anggota polis.
Dia yang kini menetap di Sungai Duyong, Kandang Melaka di Melaka berkata, menurut bapanya, selepas serangan pada 23 Februari 1950, Yusoff merupakan antara empat yang terselamat.
“Apabila pertempuran berhenti, bapa saya berada dalam himpunan mayat. Ketika anggota komunis membuat pemeriksaan, mereka dapati bapa saya masih hidup.
“Salah seorang anggota komunis mengacukan banetnya kepada bapa saya, sementara tiga lagi anggota polis yang terselamat berjaya terjun ke dalam sungai,” katanya.
Nazir menambah, ketika itu bapanya cedera teruk setelah ditarik dari kubu di bahagian bawah, selain tangan kirinya patah terkulai terkena tembakan.
Sementara kaki kiri dan matanya turut cedera terkena serpihan bom.
“Ketika itulah, bapa saya didatangi Mat Indera. Disebabkan dia kenal bapa saya, dia menghalang komunis daripada membunuhnya dengan berkata ‘yang sudah itu sudahlah’ kepada anggota komunis berkenaan,” katanya lagi.
Kelmarin, keluarga Mat Indera, individu yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu, hari ini menuntut agar kerajaan membersihkan namanya - tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya orang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.
Adiknya, Baharom Shah berkata, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.
“Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.
“Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” kata bekas jurutera elektrik dan jentera kor perkhidmatan Tentera Darat.
Katanya, “saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya.”
Dalam bab mengenai Mat Indera, penulisnya berkata, “pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negaera, membelakangkan ajaran Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.”
Mat Indera merupakan salah satu daripada 12 adik-beradik, dengan dua ibu. Mat Indera merupakan anak kedua ibu pertama manakala Baharom merupakan anak ketiga sebelah ibu kedua.
Baharom yang berusia enam tahun ketika tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh keluarga mereka, Mat Indera datang lewat ke lokasi kejadian semasa kejadian dan bukannya terlibat dalam serangan sejak awal lagi.
Katanya, Mat Indera datang ke lokasi kejadian bukan untuk bertempur, sebaliknya “datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.”
“Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah Yusof Rono, anggota polis dan Jamilah Abu Bakar, anak anggota Marin di Bukit Kepong. Saya difahamkan terdapat ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera,” katanya.
Ketika ditanya berapa ramai diselamatkan, “yang diselamatkan itulah yang diselamatkan... ramai.”
Baharom berkata, Yusof sendiri ada mengaku kepadanya yang Allahyarham telah diselamatkan oleh Mat Indera.
“Saya sendiri jumpa dia di rumahnya di Bukit Kepong kira-kira 10 tahun lalu sebelum Yusof meninggal dunia... dia ada memberitahu saya diselamatkan oleh Mat Indera,” kata Baharom yang bekerja sebagai anggota perkhidmatan tentera selama 10 tahun dan mengadakan bengkel sendiri selepas bersara pada 1980-an.
Seterusnya >>>
Satu kajian yang dilakukan oleh Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 menyimpulkan Mat Indera bukan berfahaman komunis.
Kajian tersebut latihan ilmiah untuk keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem.
Tujuan tulisan itu untuk mengkaji keterlibatan golongan elit agama di Muar dalam perjuangan gerila bersenjata menentang penjajah dengan tumpuan khusus terhadap Mat Indera dan peristiwa berdarah Bukit Kepong.
Meskipun kajian tersebut dilakukan di peringkat ijazah pertama, pengkaji berjaya melakukan wawancara dengan mereka yang terlibat langsung dengan peristiwa tersebut, termasuklah Nawi Idrus, ketua pengawal kampung (home guard) dan rakan-rakan Mat Indera (kiri) yang menyertainya masuk ke hutan.
Kaedah wawancara ini paling sesuai bagi mendapat maklumat sebenar disebabkan kebanyakan maklumat rasmi berkaitan dengan peristiwa Bukit Kepong disediakan oleh penjajah British melalui perisikan mereka.
Setakat kajian Pusat Penyelidikan PAS (PPP), mungkin inilah satu-satunya kajian ilmiah yang paling awal tentang Mat Indera.
Elit agama
Dalam kajian tersebut, pengkaji menyimpulkan Mat Indera sebagai golongan elit agama sebagai:
"Islam pada agamanya, demokrasi pada prinsipnya, nasionalis pada fahamannya, radikal dalam perjuangannya dan militant mengikut tindakannya."
Selain itu, Ayub juga pada muka surat 71 menyimpulkan Mat Indera seorang nasionalis bukannya komunis, yang bergerila bersama komunis.
Beliau menyatakan Mat Indera sebagai nasionalis dengan gerombolan komunis "seumpamanya tidak bercampur antara air dan minyak dalam satu bekas".
Kajian ilmiah itu juga menyebut bahawa pendirian agama Mat Indera banyak dipengaruhi dua orang gurunya iaitu Ibrahim Jubah dan Muhammad Yassin Muhammad (bapa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin).
Kedua-dua guru Mat Indera ini dikatakan seorang yang kritis terhadap perkembangan politik ketika itu.
Malah, menurut pengkaji lagi, pada mukasurat 30, Muhammad Yassin begitu kritis dengan perkembangan politik tanahair.
Ucapan 'subversif' Muhammad Yassin
Dan kalaulah ucapan-ucapannya dilakukan di atas pentas politik nescaya ia akan dilihat berunsurkan subversif.
Menurut kajian ini juga, Mat Indera pernah dilantik sebagai ketua cucuk tanam anjuran Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Fakta ini sekali gus menafikan dakwaan banyak pihak yang bersumberkan Memoir Abdullah CD (kiri, berkaca mata), bahawa Mat Indera menjadi komunis sejak Perang Dunia Kedua lagi.
Semasa Perang Dunia Kedua ini komunis mengambil sikap berperang dengan Jepun melalui pertubuhan Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA), sedangkan golongan nasionalis Melayu terutama ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) mengambil sikap yang lebih lunak dengan Jepun.
Kecenderungan Mat Indera ini jelas bertentangan dengan dakwaan Abdullah CD dalam memoirnya.
Berdasarkan kajian ilmiah tersebut, PPP berpandangan Mat Indera bukanlah Komunis tetapi seorang nasionalis radikal.
Pemberontakan bersenjata
Sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh veteran Umno sendiri, Tan Sri Abdul Samad Idris dalam bukunya 25 Tahun Merdeka, pada muka surat 357-358:
"Kita melihat beberapa orang Melayu terlibat dalam gerakan Komunis selepas pengisytiharan Darurat tahun 1948. Adakah mereka ini komunis atau didorong oleh semangat nasionalisme yang meluap-luap?"
Perkara inilah menjadi teka-teki kepada kebanyakan pengkaji sejarah kita.
Kalau kita mahu menganggap mereka berfahaman komunis disebabkan terlibat secara langsung dalam pemberontakan bersenjata komunis, bagaimanakah kita mahu memberi penilaian kepada tokoh-tokoh seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah Imam Rasu?
Atau kepada perjuangan Datuk Dol Said di Naning, Datuk Maharajalela di Pasir Salak, Tok Janggut di Pasir Puteh dan Rosli Dhobi di Sarawak?
Mereka juga melakukan pemberontakan bersenjata menentang Inggeris yang menjadi kerajaan di Tanah Melayu.
PPP melihat kenyataan Samad ini hampir sama dengan intipati ucapan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu (atas) dalam ceramahnya.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR, 8 Sept — Keluarga Ahmad Indera, individu yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu, berkata pihaknya kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman semalam yang mendakwa dia bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.
Bagaimanapun keluarga itu menegaskan, mereka tidak berputus asa dalam pendirian mereka mahukan kerajaan membersihkan nama Mat Indera.
“Saya kecewa dengan apa yang dikatakan (oleh Menteri Besar Johor), tetapi kami tidak akan berundur daripada mendesak kerajaan membersihkan nama abang kami,” kata adik Mat Indera, Baharom Shah, kepada The Malaysian Insider ketika ditemui pada forum bertajuk “Mat Indera — Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini, malam tadi. “Itu pandangan beliau. Usaha kami, kami akan terus desak, kami mahu nama Mat Indera dibersihkan,” kata bekas kakitangan Kementerian Pertahanan ini.
Semalam, Ghani memberitahu pemberita di Johor Baru bahawa berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen Ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.
“Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Wanita Sedar, Angkatan Pemuda Insaf dan PKM telah diharamkan
“Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno),” katanya.
Ghani menambah, “bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British.”
Pendirian Ghani itu diulangi menerusi rencana khas beliau yang disiarkan dalam Berita Harian hari ini.
Pada satu sidang media tengah hari ini semalam di ibu negara, Baharom berkata, keluarganya mahu kerajaan membersihkan nama Mat Indera agar tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya orang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.
Baharom berkata, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.
“Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.
“Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” katanya yang turut berpegang pada kandungan buku “Pengukir Nama Johor”, yang prakatanya disampaikan oleh Ghani sendiri.
Justeru kata beliau, “saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya.”
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat yang menggerakkan usaha membantu keluarga Mat Indera pula berkata, Ghani tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan buku tersebut sendiri dikeluarkan oleh kerajaan negeri.
“Pada pandangan kami, beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sendiri, sebaliknya terima kandungan buku itu dan mengadakan satu debat mengenai hasil penemuaan, bukan terus kata Mat Indera sebagai komunis,” katanya sambil menambah, pihaknya akan mengambil tindakan susulan untuk membetulkan fakta sejarah membabitkan Mat Indera.
Buku itu diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR, 7 Sept: Kerajaan BN diminta membersihkan imej Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara kerana beliau ternyata seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.
Sehubungan itu, sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula memandangkan sejarah yang ada kini terdapat terlalu banyak penyelewengan dari fakta yang sebenar.
Adik kepada Mat Indera, Baharom Shah Indera, 65, berkata, fakta sejarah perjuangan sebenar mengenai abangnya sememangnya terlalu banyak yang diselewengkan dan amat perlu dikaji semula oleh ahli-ahli sejarah.
Menurut beliau, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.
Katanya, namun abangnya telah dituduh sebagai pengkhianat oleh pihak British ketika menjajah negara kita dulu dan ia perlu dikaji semula bagi membersihkan imej dan nama baik ahli keluarganya.
"Dalam hal ini, para pemimpin Umno perlu bersikap jujur terhadap pejuang-pejuang kemerdekaan yang sebenar. Ahli-ahli sejarah juga perlu mengkaji semula fakta-fakta sejarah yang telah diselewengkan itu dan jangan hanya sekadar bercakap sahaja.
"Bagaimana abang saya boleh dituduh pengkhianat, sedangkan beliaulah yang telah menyelamat salah seorang anggota polis, Yusof Rono dan Jamilah Abu Bakar, anak kepada anggota polis Merin di Bukit Kepong," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Selain itu, menurut beliau, terdapat ramai lagi mangsa yang telah diselamatkan oleh abangnya dalam tragedi di Bukit Kepong.
Seterusnya >>>
Sebelum kita disesatkan lebih jauh lagi oleh media-media parti pemerintah, eloklah kita semua kembali ke pangkal jalan, mengkaji dan memahami semula sejarah. Sebetulnya tatkala kali pertama saya menonton klip video ceramah Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai tragedi Bukit Kepong itu, hati saya telah terdetik "Apa sajalah yang UMNO akan merapu lepas ni". Dan memang saya mahu saksikan, label apakah yang hendak dicop kepada Mat Sabu rentetan daripada ceramah beliau. Sememangnya ucapan Mat Sabu telah diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan kalau salah bacaan, kita juga akan terperangkap dengan permainan Utusan Malaysia. Mat Sabu tidak pernah menyebut komunis, tetapi hanya menyebut nama Mat Indera, pejuang yang telah mengetuai serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Inti ucapan Mat Sabu ialah ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang peranannya digelapkan oleh parti pemerintah, tetapi di tangan Utusan Malaysia, tiba-tiba Mat Sabu pula yang sokong komunis!
Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera
Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu. Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri. Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO. Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.
Siapa Mat Indera
Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.
Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.
Mat Indera dan Bukit Kepong
Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.
Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.
Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan
Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961.
Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut. Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati. Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'".
Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja. Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan. Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi.
Rasional bukan emosi
Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi? Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang.
Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan. Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan". Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat?
Seterusnya >>>