Showing posts with label Bob Lokman. Show all posts

Najib perdaya artis untuk tarik sokongan – Bob



KUALA LUMPUR 12 November: Pengacara, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman atau nama sebenar, Muhammad Hakim Lokman berkata, pelancaran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya untuk tarik sokongan golongan itu kepada BN.
Katanya, Umno terbukti semakin parah kerana sanggup menjanjikan habuan demi kepentingan politik.
“Ini janji tak ikhlas, kenapa baru sekarang nak bagi (perhatian) kepada artis. Adakah kerana tiada penyokong, baru nak
gunakan artis.
“Ini semua tindakan terdesak mereka. Selama ini siapa yang pandang artis, kami hanya digelar sebagai penghibur, tiada
kepentingan,” tempelaknya.
Najib melancarkan YA1M itu semalam sebagai langkah menarik sokongan golongan seni yang semakin peka dengan isu politik kepada BN.
Dalam ucapannya, beliau berjanji kepada golongan seni menyokong kerajaan akan mendapat bantuan lebih banyak kelak jika BN meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).
Najib turut mengumumkan sumbangan RM2 juta kepada YA1M pada tahun ini dan RM3 juta pada tahun depan di samping akan menimbang untuk menyediakan skim perlindungan insurans kepada golongan seni.
“Kalau dah buat macam-macam, takkan artis tak boleh fikir, mesti ada muslihat di sebalik janji-janjinya. Kalau mereka (artis) waras, mereka tak akan sokong perkara ini. Kalau tak boleh baca lagi (muslihat Najib), maknanya mereka tak normal.
“Tapi kalau mereka tidak bermaruah, orang itu pastinya mudah ditipu,” tegasnya ketika dihubungi.
Antara artis yang telah menyertai parti politik ialah penyanyi dan pelakon kontroversi Abby Abadi yang mengumumkan penyertaan ke dalam PAS.
Selain Bob Lokman, terdapat beberapa artis lain yang menyertai Pakatan Rakyat antaranya pelakon Hairie Othman, penyanyi Dayangku Intan, Noryn Aziz dan Yatt Hamzah.


Sementara itu, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN, Tengku Intan Tengku Abd Hamid atau Dayangku Intan menyifatkan tindakan terdesak Najib itu kerana sedar beliau akan kalah dalam PRU 13 sehingga terpaksa bergantung kepada artis.
“Ini semua kerana mereka takut kalah PRU 13, baru mereka tahu bagaimana artis boleh mempengaruhi rakyat dengan hasil seni mereka.
“Kalau mahu bercakap mengenai royalti, perlindungan kepada artis, ini bukan perkara baru. Sudah bertahun kita perjuangkan. Kenapa baru sekarang mahu jaga artis,” kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Semakin Rindu Semakin Sayang.
Kata artis veteran itu lagi, Umno sebenarnya ketandusan idea kerana terpaksa meniru apa yang dibuat Pakatan Rakyat.
“Kalau mahu tarik sokongan artis, Umno sebenarnya sudah terlambat kerana Pakatan lebih dahulu memahami artis.
“Semuanya ditiru, dari (jelajah) bas, sehinggalah beri peluang kepada artis ke pentas ceramah (Umno). Sudut ini pun kita
boleh tengok Pakatan lebih dekat dengan artis,” ujarnya.

Seterusnya >>>

Bob Lokman akan didakwa 14 Feb

NONEKetika dihubungi MalaysiakiniPelakon terkenal Bob Lokman hari ini memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat Selangor pada 10 Oktober lalu.

Beliau memberi keterangan selepas seorang pegawai JAIS datang menemuinya di suatu tempat yang tidak mahu didedahkannya.

lewat petang ini, Bob yang juga seorang pengacara dan penulis lirik terkenal, berkata beliau memberi keterangan selama sejam bermula pukul 10 pagi tadi tanpa ditemani peguam.

"Saya memberitahu mengenai peristiwa sebenar yang berlaku pada hari tersebut dan menyatakan sebab saya tidak datang ke JAIS (sebelum ini untuk memberi keterangan)," katanya .

Menurut penulis lirik lagu 'Isabella' itu berkata pegawai berkenaan tidak menunjukkan waran tangkap kepadanya.

"Saya akan dibicarakan... Saya memberi kerjasama baik (sewaktu memberi keterangan tadi)," katanya sambil menambah perbicaraan akan berlangsung pada 14 Februari depan.

Sebelum ini dilaporkan jabatan berkenaan telah mendapat waran tangkap terhadap penulis lirik 'Isabella' itu.

Ini kerana, beliau enggan menghadirkan diri selepas diarahkan oleh jabatan berkenaan memberi keterangan berhubung perkara tersebut.

Bob yang nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, disiasat mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Beliau boleh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor jika gagal memberi keterangan dengan sengaja dan tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.
Seterusnya >>>

Saya tidak akan beri kerjasama - Bob Lokman

Saya tidak akan beri kerjasama - Bob Lokman

KUALA LUMPUR – Bekas pengacara, penulis lirik dan pelakon, Bob Lokman menegaskan dia tidak akan memberi kerjasama kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung waran tangkap terhadapnya kerana gagal memberi keterangan kepada jabatan tersebut. Dia yang dihubungi Kosmo! semalam mendakwa, tindakan penahanannya sebelum ini melibatkan pihak UMNO sehingga waran tangkap dikeluarkan.
“Saya tidak akan bekerjasama dengan JAIS yang berlindung di sebalik UMNO manakala saya pula adalah Pas. Ini adalah prinsip saya,” katanya. Kosmo! semalam melaporkan JAIS mengeluarkan waran tangkap ke atas Bob Lokman pada Jumaat lalu berikutan kegagalan beliau memberi keterangan di pejabat jabatan tersebut baru-baru ini. Bob Lokman ditahan mengikut Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor 2003 kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat pada 10 Oktober lalu.
Dia bagaimanapun dibebas dengan jaminan polis. Ditanya apa yang berlaku pada hari kejadian, Bob Lokman mendakwa, dia telah dicemuh oleh seorang anggota penguat kuasa dengan kata-kata yang tidak berasas sehingga menyinggung perasaannya. “Dia kata hampir 85 peratus ahli Pas tidak boleh membaca al-Quran,” jelasnya. Ditanya jika tindakannya itu akan menyebabkan dia ditangkap sekali lagi, katanya, dia tidak mempunyai masalah jika ditangkap. “Itu hak mereka sebab ada enakmen yang membenarkan penangkapan saya tetapi saya jauh sekali untuk memberi kerjasama,” katanya.
Seterusnya >>>

Bob Lokman rela ke penjara jika Jais buktikan dia bersalah


KUALA LUMPUR, 2 Nov — Pelakon dan pelawak terkenal, Bob Lokman tetap dengan pendirian tidak bersalah walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilaporkan telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya minggu lalu berhubung dakwaan mengadakan ceramah agama tanpa tauliah.
Bagaimanapun, Bob Lokman yang dihubungi The Malaysian Insider lewat malam tadi memberitahu, beliau masih belum dimaklumkan atau dihubungi Jais mengenai perkembangan itu.
Katanya, dia bersedia untuk memberi kerjasama sekiranya Jais tetap dengan pendirian mahu menangkapnya kerana jabatan agama itu berkuasa untuk berbuat demikian.
“Jais ada kuasa, mereka boleh ambil tindakan undang-undang, walaupun merasakan saya tidak bersalah. Tapi saya tidak akan membantah sekiranya mereka datang menangkap saya,” katanya.
“Saya masih belum tahu bagaimana proses tangkapan itu akan dibuat, tapi saya akan memberi kerjasama. Sekiranya melibatkan pihak polis, saya akan ikut prosedur mereka (polis),” kata beliau yang nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman.
Sehubungan itu tambah Bob Lokman, beliau juga rela dipenjarakan sekiranya dia didapati bersalah di mahkamah.
“Kalau mahkamah memutuskan saya bersalah, saya rela dipenjarakan, saya tidak mampu untuk membayar denda, nak penjara, saya terima,” katanya yang tidak bercadang untuk menggunakan khidmat peguam bagi membela diri jika kes itu dibawa ke mahkamah.
Jelasnya, beliau juga akan memberi keterangan di mahkamah untuk mempertahankan diri berhubung insiden penangkapannya di Hulu Langat tempoh hari.
“Saya tetap akan mempertahankan diri dengan memberikan keterangan yang benar (di mahkamah jika didakwa), saya tetap tidak akan mengaku bersalah,” tegas beliau yang menyertai PAS pada 19 Februari lalu.
Ujar Bob Lokman, beliau percaya tindakan Jais mahu menangkapannya sebagai satu usaha agensi itu mahu menjatuhkan golongan pendakwah sepertinya, seolah-olah mereka mendatangkan ancaman.
“Sepatutnya Jais memberi bantuan dan sokongan kepada golongan yang menyampaikan dakwah, bukannya menjatuhkan mereka,” katanya.
Namun begitu, pendakwah bebas ini juga yakin kebenaran untuk dirinya akan terbongkar dan percaya isu ini mempunyai hikmah tersendiri.
Laporan semalam menyebut Jais telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Bob Lokman berikutan kegagalannya hadir di pejabat agensi agama itu untuk memberi keterangan berhubung tindakannya menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.
Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata waran tangkap itu telah dikeluarkan Jumaat lalu.
“Pihak kami sedang menjejakinya supaya dia boleh ditahan untuk disoal siasat bagi membantu siasatan kes yang melibatkan dirinya,” katanya.
Jabatan itu kini dalam proses melaksanakan tindakan undang-undang bagi membolehkan Bob Lokman hadir di mahkamah dan kemudian dilepaskan dengan jaminan serta membolehkan proses mengambil keterangan dibuat.
Beliau berkata demikian mengenai Bob Lokman yang ditahan Jais bulan lepas di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat ketika sedang menyampaikan ceramah agama kepada kira-kira 70 jemaah di masjid itu.
Bob Lokman disiasat mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah dan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Seterusnya >>>

Apa salahnya saya jadi alat Islam - Bob Lokman

KUALA LUMPUR, 20 Okt: "Apa salahnya saya menjadi alat kepada Islam yang merupakan the way of life?" tanya bekas selebriti terkenal, Bob Lokman atau nama sebenarnya Muhamad Hakim Lokman.
Bob ketika ditemui di majlis ceramah anjuran PAS di Taman Melewar malam tadi berkata, tidak timbul soal beliau dipergunakan PAS dan diheret ke setiap ceramah parti itu.
Namun tegasnya, apa yang dilakukan kini adalah atas kerelaan dirinya sendiri yang berazam untuk terus berjuang di lapangan dakwah bersama PAS.
"Soal dipergunakan ini, kita kena tau apa ini dunia. Dunia ini satu lapangan. Lapangan perlukan alat untuk membuka pintu akhirat dan agama alat menuju akhirat.
"Jadi orang kena fahamlah apa itu the way of life. Kalau orang tak boleh faham the way of life, maka dia menyembah dunia.
"Kita menyembah Allah, Islam itu Allah beri kepada kita untuk bagaimana kita nak guna. Bagaimana nak pakai umur, nak pakai harta kita, Islam itulah caranya...dan saya tak salah diperalat Islam untuk buka pintu akhirat," jelasnya panjang lebar.
Selepas menyerahkan borang keahlian PAS Februari lalu, Bob terus aktif menyertai program PAS, kebanyakannya diundang menyampaikan tazkirah dan sesi perkongsian pengalaman bergelumang dalam dunia artis.
Pada 10 Oktober lalu, Bob ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengikut seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003 kerana didakwa menyampaikan ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat.
Ketawa apabila dituduh "degil" dan "tidak sopan" kerana nekad untuk tidak akan hadir ke pejabat Jais, beliau tetap dengan pendirian bahawa Jais bertindak atas arahan Umno.
"Sopan ini termasuk dalam bab akhlak. Akhlak ni kalau bab bersopan mesti dalam keadaan tertentu. Dalam kes (tangkapan Jais) ini, kita nampak Jais buat kerja kerana Umno.
"Jadi kalau saya duduk dalam PAS orang yang panggil saya itu orang Umno saya tak datanglah.
"Kalau dia bersifat neutral saya akan datang. Tapi ada kenyataan Jais menghina bahawa ahli PAS 85 peratus tak boleh baca Quran maka saya tau pendirian dia...maka saya pun kena nyatakan pendirian saya.
"Jadi kita kena tahu pendirian dan orang yang berjuang kena tahu prinsip," katanya bersahaja namun dalam nada tegas.

Cakap ada makna
Sambil mengakui kehidupan sekarang lebih bermakna berbanding ketika menjadi artis dahulu, beliau berkata apa yang dituturkan ini hanya untuk Islam.
"Hari ini pun macam dulu jugak banyak bercakap tapi sekarang cakap ada maknalah. Dari hati, cakap untuk mati," katanya.
Tambahnya, kehidupannya sekarang lebih kepada menguatkan jiwa untuk perjuangan Islam.
"Ini perjuangan yang menggunakan zahir dengan apa cara sekalipun tapi tujuannya ialah memperkukuhkan roh.
"Kalau dulu berlakon cari duit nak makan je. Sekarang bukan berlakon tapi cakap betul...tapi bukan cari duit nak makan. Kadang-kadang bukan dapat duit pun, bukan orang bayar pun," katanya berseloroh.
Seterusnya >>>

Bob Lokman lebih rela ditangkap Jais dari ‘serah kalah’


KUALA LUMPUR, 13 Okt — Penulis lirik, pelakon dan pengacara terkenal, Bob Lokman hari ini menegaskan beliau tidak akan “menyerah kalah” dengan hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memberi keterangan, sebaliknya “lebih rela ditangkap” selepas ditahan Isnin lalu kerana memberi kuliah agama tanpa tauliah. Bob Lokman atau nama sebenarnya Muhamad Hakim Lokman memberitahu bahawa beliau tidak akan pergi ke pejabat Jais atas alasan agensi agama itu tidak melaksanakan dasar Islam secara keseluruhan, tetapi lebih memihak kepad dasar pemerintahan Umno-BN.
“Kalau nak tangkap saya, tangkaplah, nak heret sekalipun, tapi saya tak kan pergi menyerah kepada mereka,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Laporan media hari ini menyebut Jais akan mendapatkan perintah waran tangkap daripada mahkamah terhadapnya seandainya enggan hadir memberi keterangan kepada agensi itu.
Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata, selebriti yang berusia 47 tahun itu juga melakukan kesalahan lain jika enggan  mematuhi perintah hadir terhadapnya.
“Sepatutnya pagi tadi (semalam), dia hadir ke pejabat Jais, tetapi dia gagal berbuat demikian.
“Dia (Bob Lokman) berdegil datang, Jais akan memohon waran tangkap,” katanya.
Bob Lokman ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat.
Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyebut “mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara mengenai agama Islam tanpa tauliah diberikan mengikut Seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.” Disebabkan enggan hadir memberi keterangan dengan sengaja pula, selebriti itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor.”
Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Pada 19 Februari lalu, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman menyerahkan borang menjadi ahli PAS.
Bob Lokman menambah, dengan pergi ke pejabat Jais, perjuangan agama yang dipegangnya selama ini seakan hancur kerana jabatan itu sendiri tidak melaksanakan syiar Islam dengan telus.
“Ini soal akidah, prinsip dan kepercayaan, saya yakin dengan perjuangan saya, Bilal Bin Rabbah sendiri menerima tentangan hebat waktu diseksa kerana Islam,” kata beliau.
Beliau ditahan Jais selepas menceritakan pengalamannya menerima hidayah Islam di Hulu Langat awal minggu ini.
“Saya yakin kepada agama, kepada al-Quran, sekiranya saya tidak menentang, mereka tidak akan tahu wujudnya ketidakadilan dalam pentadbiran mereka, sekiranya orang PAS sendiri tidak tidak bersetuju, tak apa... saya yakin dengan kepercayaan saya,” tegasnya.
Menurut Bob Lokman lagi, dia yakin penguasa Jais dan kadi yang menahannya pada malam itu datang sebagai ‘wakil’ Umno, yang cuba menghalang usaha dakwah dilakukannya demi kepentingan politik.
“Saya bukan nak masuk politik, (atau) jadi wakil rakyat, saya nak bantu orang-orang Islam negara kita ini, mengaku kenal Allah, kenal Islam, tapi sebenarnya Islam pada nama, pada Melayu sahaja,” katanya lagi.
“Mungkin ada pihak yang kurang senang dengan kehadiran saya di sana kerana menganggap saya menggugat mereka, tapi saya hanya bercerita soal akidah, berdakwah di jalan Allah, saya juga menolak sikap kadi Hulu Langat yang tidak profesional, yang lebih pentingkan diri daripada membantu mengembalikan akidah dan iman umat Islam di landasan yang betul,” katanya lagi.
Seterusnya >>>

Jais mohon waran tangkap Bob Lokman


KUALA LUMPUR, 13 Okt - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mendapatkan perintah waran tangkap daripada mahkamah terhadap penulis lirik, pelakon dan pengacara terkenal, Bob Lokman seandainya enggan hadir memberi keterangan kepada agensi itu.
Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata, selebriti yang nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, itu juga melakukan kesalahan lain jika enggan mematuhi perintah hadir terhadapnya.
“Sepatutnya pagi tadi (semalam), dia hadir ke pejabat Jais, tetapi dia gagal berbuat demikian.
“Dia (Bob Lokman) berdegil datang, Jais akan memohon waran tangkap,” katanya dipetik Berita Harian dan Harian Metro hari ini.
Bob Lokman ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat, Isnin lalu.
Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyebut "mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara mengenai agama Islam tanpa tauliah diberikan mengikut Seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.” Disebabkan enggan hadir memberi keterangan dengan sengaja pula, selebriti itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor."
Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Pada 19 Februari lalu, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman menyerahkan borang menjadi ahli PAS.
Beliau menyerahkan borang itu kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yang juga Menteri Besar Kedah pada majlis Himpunan 30,000 Pemuda PAS di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar.
Bob Lokman merupakan penulis lirik lagu terkenal Isabela nyanyian Amy Search.
Sebelum ini, Bob Lokman juga menolak untuk pergi ke pejabat Jais bagi memberi kenyataan terhadap insiden tersebut, sebaliknya pihak agensi itu sendiri harus jemput dia di rumah kerana mereka ada kuasa.
“Mereka ada kuasa, datanglah jemput saya di rumah,” katanya yang mempertahankan tidak melanggar peraturan agensi tersebut.
Seterusnya >>>

Bob Lokman tiada minat sertai PRU


KUALA LUMPUR, 12 Okt — Pelawak, pengacara dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kelmarin atas dakwaan memberi ceramah agama tanpa tauliah berkata, beliau tidak berminat untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13, sebaliknya hanya mahu berdakwah. Katanya, beliau lebih mengutamakan pemantapan akidah dan iman umat Islam di negara ini berbanding menceburi bidang politik yang disifatkannya sebagai rumit.
“Saya tidak berminat untuk menyertai politik, bukan bidang saya. Saya lebih mengutamakan kewajipan membantu umat Islam di negara kita ini supaya iman dan akidah mereka menjadi lebih mantap, saya tidak minat politik, rumit,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Pada 19 Februari lalu, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman menyerahkan borang menjadi ahli PAS.
Beliau menyerahkan borang itu kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yang juga Menteri Besar Kedah pada majlis Himpunan 30,000 Pemuda PAS di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar.
Bob Lokman merupakan penulis lirik lagu terkenal Isabela nyanyian Amy Search.
Bob Lokman memberitahu beliau bersedia meninggalkan PAS jika Umno mengukuhkan pegangan dan ajaran Islam di negara ini dan tidak menolak kemungkinan sekiranya perkara itu dilaksanakan parti teras BN itu, PAS juga akan membubarkan partinya satu hari nanti.
Jais telah mengesahkan beliau ditahan kerana kesalahan memberi kuliah tanpa tauliah.
“Jika Umno BN kukuhkan Islam, saya akan keluar PAS, mungkin kalau itu berlaku PAS juga akan bubarkan parti itu,” katanya ketika menjelaskan situasi yang berlaku di sebalik penahanannya oleh Jais di Hulu Langat malam kelmarin.
Bob Lokman juga menegaskan penahanan beliau oleh Jais merupakan satu usaha Umno BN untuk mengekang usaha dakwah yang dilakukan golongan artis sepertinya bagi mengelakkan mereka menyertai majlis dan program anjuran PAS.
“Dengan berbuat demikian, mereka sangka akan dapat mengekang orang ramai daripada menghadiri majlis dan program PAS yang dilihat akan mendapat sambutan sekiranya melibatkan golongan artis sebagai tetamu undangan dalam program tersebut,” jelasnya lagi.
“Umno BN ini cuba untuk mengelakkan orang ramai daripada hadir majlis-majlis anjuran PAS supaya program mereka tidak mendapat sokongan, tapi mereka sebenarnya silap, kejadian seperti ini akan menjadikan golongan artis ini lebih popular, lebih diminati masyarakat,” katanya mempertikaikan tindakan tersebut.
Menjelaskan situasi sebenar ketika insiden penahanan, penulis lirik ini berkata, beliau menerima jemputan untuk menyampaikan ceramah di Masjid Sg Lui.
Namun, katanya, oleh kerana tiada tauliah, penganjur turut menjemput seorang ustaz yang dikenali sebagai Ustaz Fakaruddin yang mempunyai tauliah untuk memberi ceramah berkenaan hidayah Islam.
“Saya kemudiannya dijemput oleh Ustaz Fakaruddin untuk menceritakan pengalaman saya sendiri, dan bercerita berkenaan hidayah yang saya terima,” ujarnya.
“Majlis itu turut dihadiri pegawai Jais dan juga kadi kawasan berkenaan,” jelasnya lagi.
Menurut Bob Lokman lagi, sebaik selesai solat Isyak, beliau dihampiri oleh seorang pegawai Jais dan memintanya berbincang berkenaan tauliah dan dia bersetuju untuk berjumpa pegawai berkenaan.
“Pegawai Jais datang kepada saya dan memberitahu saya akan ditahan kerana memberi ceramah tanpa tauliah, saya kata tahanlah, tapi mereka suruh saya ikut mereka ke balai polis dan mereka akan buat laporan polis terhadap saya, seterusnya akan buat bon untuk membebaskan saya,” ujarnya.
“Saya suruh mereka pergi ke balai polis dulu, kemudian baru datang ambil saya, nak tangkap orang mesti buat laporan polis dulu,” jelasnya lagi.
Tambah Bob Lokman, keadaan menjadi tegang akibat daripada campur tangan kadi yang menyatakan dia sengaja memberi alasan untuk mengelak daripada dibawa polis.
“Kadi masuk campur, dan berlaku pertengkaran antara kami, dia kata itu alasan saya untuk tidak mahu ikut mereka ke balai polis,” katanya memberi penjelasan terhadap insiden itu.
Bob Lokman juga menolak untuk pergi ke pejabat Jais untuk memberi kenyataan terhadap insiden tersebut, sebaliknya pihak Jais sendiri harus jemput dia di rumah kerana mereka ada kuasa.
“Mereka ada kuasa, datanglah jemput saya di rumah,” katanya.
Seterusnya >>>

Bob Lokman: Saya ditangkap Jais bukan kerana agama, tapi Umno


KUALA LUMPUR  — Pelawak, pengacara dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman hairan dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sambil mendakwa beliau ditahan malam tadi bukan kerana isu agama tetapi “untuk Umno.”
Sehubungan itu, beliau juga mempersoalkan mengapa Jais menahan beliau setelah menjadi baik sekarang, tetapi tidak ketika dia sedang bergelumang dalam arus keduniaan sewaktu berada dalam dunia hiburan dulu.
Pada 19 Februari lalu, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman menyerahkan borang menjadi ahli PAS.
Beliau menyerahkan borang itu kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yang juga Menteri Besar Kedah pada majlis Himpunan 30,000 Pemuda PAS di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar.
Bob Lokman merupakan penulis lirik lagu terkenal Isabela nyanyian Amy Search.
Bob Lokman dan ustaz yang ditahan malam tadi dilepaskan selepas dibawa ke balai polis tetapi disoal siasat Jais hari ini.
Tindakan Jais itu disifatkan oleh beliau seolah-olah mahu menyekatnya supaya tidak menjadi baik, sebaliknya untuk mendorongnya agar terus hanyut dalam arus keduniaan seperti masa lalu.
Menurut Bob Lokman, walau apa pun halangan yang menimpa, beliau tidak akan berganjak dengan pendiriannya sekarang untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dan terus meninggalkan kehidupan glamour serta penuh kelalaian.
Sehubungan itu, Bob Lokman berkata beliau akan terus melakukan kerja-kerja dakwah dengan mendekati pelbagai golongan dalam masyarakat termasuk para penagih dadah untuk mengajak mereka kembali ke jalan Allah.
Kata Bob Lokman, sekiranya terdapat undangan daripada pelbagai pihak untuk menyampaikan ceramah, beliau juga bersedia memenuhi undangan itu sekadar terdaya untuk menyampaikan mesej Islam, di samping tidak mahu menghampakan pihak terbabit.
“Saya tidak kira soal larangan dari Jais atau sebarang pihak untuk saya berceramah. Jika larangan itu bukanlah yang patut saya ikut, saya tak akan ikut,” katanya dipetik Harakahdaily.
Begitu juga dengan sekatan yang dikenakan oleh Jabatan Agama Islam ke atas beliau untuk menyampaikan ceramah disebabkan tidak mempunyai tauliah, perkara itu juga tidak berbangkit dalam kehidupannya.
“Tauliah itu bukanlah satu perkara yang penting. Perkara yang penting bagi saya adalah melakukan pekerjaan yang baik iaitu kerja-kerja Islam.
“Jadi, kenapa mesti ada sekatan ke atas saya dan kenapa pula saya mesti patuhi sekatan-sekatan itu sedangkan yang saya sampaikan kepada orang ramai itu adalah perkara yang betul,” katanya.
Bob Lokman ditahan oleh Jais malam tadi kerana dipercayai atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah setelah beliau selesai berucap ketika solat Maghrib di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.
Selepas ditahan beliau dibawa ke Balai Polis Batu 18 Hulu Langat dan dilepaskan kemudiannya.
Bob Lokman juga diminta hadir di Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sebelum tengah hari ini bagi memberikan kenyataan.
Selain beliau, Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan bagi pihak penganjur majlis ceramah itu diminta hadir di pejabat agama tersebut bagi memberikan kenyataan.
Mengulas perkara itu, Bob Lokman yang juga cucu ulama terkenal Kelantan, Tok Kenali mengesahkan penahanannya malam tadi dan turut menegaskan tidak hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat seperti yang diarahkan itu.
Baginya, menghadirkan diri ke pejabat agama tersebut seperti yang diarahkan itu merupakan satu tindakan tidak perlu, malah hanya membuang masa dan wang.
“Saya juga tidak merasakan perlu mematuhi arahan itu kerana pada saya mereka yang melakukan tangkapan ke atas saya itu bukan melakukan kerja untuk agama, tetapi untuk Umno,” katanya.
Sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis, menurutnya, beliau telah bertanyakan beberapa soalan kepada Kadi Hulu Langat tetapi soalan-soalan tersebut tidak dapat dijawab.
“Mereka yang datang untuk menangkap saya itu juga mengakui saya tidak menyampaikan perkara yang salah dalam ceramah saya tetapi hanya kerana tanpa tauliah.
“Pada saya, apa yang dilakukan ke atas saya itu jelas arahan politik. Jadi tak perlulah saya ikut arahan mereka itu, malah pada saya mereka bukanlah orang yang wajar saya hormati,” katanya.
Beliau secara tegas menjelaskan, mereka yang melakukan tangkapan dan mengenakan sebarang larangan terhadap seseorang yang melakukan pekerjaan baik untuk Islam bukanlah pihak yang wajar dihormati.
Menyentuh tentang tauliah untuk menyampaikan ceramah, beliau juga menegaskan tidak perlu baginya untuk mendapatkan tauliah tersebut kerana tindakan itu juga jelas mempunyai kaitan dengan permainan politik Umno BN.
“Amat pelik dengan apa yang dilakukan ke atas saya. Saya ditangkap setelah saya selesai menyampaikan ceramah. Pada hal jika mereka tak mahu saya berceramah di masjid itu, mereka sepatutnya menangkap saya sebelum berceramah.
“Saya pula hadir ke majlis itu atas undangan. Kalau saya dilarang berceramah sebelum saya masuk ke masjid oleh pihak Jais, saya tak akan berceramah.
“Jadi, ini amat jelas tangkapan atas arahan politik Umno BN, bukannya tangkapan kerana kerja-kerja Islam, manakala saya pula melakukan kerja-kerja Islam, jadi tak perlulah saya ikuti arahan mereka itu,” tegas beliau.
Seterusnya >>>

Kenapa Bob Lokman sertai PAS


KUALA LUMPUR, 21 Feb: Pada 19 Februari lalu, pelakon dan penulis lirik terkenal Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman mengejutkan banyak pihak apabila menyerahkan borang menjadi ahli PAS.
Beliau menyerahkan borang itu kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang juga Menteri Besar Kedah pada majlis Himpunan 30 ribu Pemuda PAS, di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar, kelmarin.
Bob, penulis lirik lagu terkenal Isabela nyanyian Amy Search bukanlah artis pertama yang menyertai PAS.
Sebelum ini terdapat juga artis lain seperti Akill Hayy, Ito daripada kumpulan Blues Gang dan Ringgo dari kumpulan Arrow telah menyertai PAS lebih awal.
Harakahdaily sempat bertemu beliau bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tindakan beliau itu.
Ikuti temubual beliau dengan wartawan Nazri Abdullah.
Harakahdaily: Apa yang menyebabkan saudara Bob terdorong untuk memilih dan menyertai PAS?
Bob Lokman: Sebab saya rasa ada masalah dengan sistem kehidupan. Saya nak mendidik anak saya dengan jalan Islam tetapi dia ada masalah dengan sistem persekolahan, sistem pergaulan, dan sistem masyarakat.
Bila saya di rumah suruh dia sembahyang, di luar ada kumpulan yang suruh dia buat benda lagha. Masa saya muda dulu saya tak sedar, dan itu berlaku pada anak saya sekarang, dan sekarang sara rasa tanggungjawab pada anak.
Tengok anak kita tidak menjadikan Allah nombor satu... dia duk ikut ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’, pada hal Allah nombor satu, takwa diutamakan tapi anak-kita tak tahu.
Harakahdaily: Jadi adakah faktor anak saudara itu yang telah mendorong saudara menyertai PAS?
Bob Lokman: Ya...Saya selalu merasa saya gagal mendidik anak saya dan rasa saya akan masuk neraka. Kerana itu saya rasa tidak ada tempat nak mintak bantuan, saya masuk PAS ini saya rasa ada jemaah yang boleh membawa saya ke jalan yang betul.
Mengakkan Islam itu adalah wajib, kalau saya tak terlibat, harapkan orang lain berjuang, apa akan jadi dengan anak saya nanti.
Harakahdaily: Saudara tahu PAS adalah parti pembangkang. Jadi adakah saudara tidak risau ianya akan menjejaskan sumber rezeki saudara dalam kerjaya saudara.
Bob Lokman: Saya tahu risiko itu, tapi saya serahkan rezeki saya bulat-bulat pada Allah, yang penting saya dapat selamatkan kehidupan anak saya di dunia dan saya tak masuk neraka.
Harakahdaily: Sejak kebelakangan ini, saudara dilihat banyak memegang watak-watak sebagai seorang alim berbanding watak lain termasuk pelawak. Adakah itu perubahan berterusan yang saudara akan lakukan.
Bob Lokman: Mengikut pandangan ustaz-ustaz yang saya belajar, sebab berlakon itu sumber rezeki saya, ustaz-ustaz kata boleh berlakon tetapi pilihlah watak-watak yang tidak menjadikan dosa bila kita dah tak ada nanti, pilih watak yang mendatangkan manfaat.
Seterusnya >>>