KUALA LUMPUR 24 JUN: Seramai 26 aktivis yang mengadakan perhimpunan
mendesak pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan ekoran
penipuan pilihan raya ditahan polis pagi ini di depan bangunan Parlimen.
Mereka antara 50 aktivis yang disuraikan pagi tadi dari tapak
perkhemahan yang didirikan di Padang Merbok selepas himpunan Black 505
Sabtu lalu.
Kumpulan
berkenaan mengadakan protes dengan berbaring di atas jalan sejak 10
pagi tadi di satu kawasan jalan utama menuju bangunan Parlimen.
Kumpulan ini terdiri dari gabungan NGO anak muda termasuklah GM13,
NGO Royalti, Asalkan Bukan Umno (ABU), Solidariti Mahasiswa Malaysia
(SMM) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Suasana bertukar tegang kira-kira sejam kemudian apabila kumpulan
tersebut cuba melepasi sekatan 300 anggota polis yang berkawal di pintu
pagar Parlimen.
Kumpulan berkenaan bagaimanapun tidak berjaya melepasi sekatan tersebut.
Aktivis siswa, Safwan Anang, Ekhksan Bukhari serta Akram Ahmar kumpulan pertama ditahan polis pada kira-kira 11.10 pagi.
Susulan itu, sebilangan lagi peserta menyerah diri kepada polis sebagai tanda solidariti.
Mereka termasuk Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),
Badrul Hisham Shaharin, aktivis siswa Adam Adli dan Annie Ooi Siew Lan
atau nama popularnya, ‘Untie Bersih’ diikuti beberapa yang lain.
Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Kira-kira jam 11.50, Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat, Khalid Samad
hadir menenangkan peserta himpunan sekaligus menerima memorandum
kumpulan terbabit.
Antara tuntutan termasuk mendesak SPR diletakkan di bawah Parlimen,
menubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat peranan SPR dan jabatan
pendaftaran negara atas isu yang berbangkit pada PRU lalu.
Selain itu, mereka turut menunut Parlimen membincangkan tentang
penipuan dakwat kekal dan perletakan jawatan dan permohonan maaf secara
terbuka oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.
Dalam ucapannya, Khalid berkata, beliau akan menyerahkan memorandum
tersebut kepada pihak berkenaan dan akan turut membangkitkan perkara itu
dalam persidangan Parlimen.
Beliau turut meminta agar peserta berkenaan beredar selepas menerima memorandum tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mengesahkan 26 orang ditahan dalam perhimpunan tersebut.
Terdahulu, berpuluh-puluh khemah peserta terbabit dimusnahkan pegawai
penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Padang Merbok pada
4.30 pagi tadi.
0 Komen pengunjong :