Semasa berkunjung ke Kelantan Selasa lalu, saya dapat mengesan riak kekhuatiran bahawa era pemerintahan PAS sejak 23 tahun lalu bakal berdepan cabaran besar, khususnya selepas pengunduran Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.
Bagi saya, kebimbangan kecil itu boleh membawa kepada natijah positif
jika ia diurus dengan baik. Ia jauh lebih baik daripada sikap terlalu
yakin dapat mengekalkan kuasa, sehingga berlaku pengabaian ketara,
terutama untuk mengawasi strategi licik musuh dan menutup ruang
kelemahan sendiri.
Ketika majlis jamuan meraikan petugas PRU13 Kelantan di Kota Bharu, yang
turut dihadiri Menteri Besar Ustaz Ahmad Yaakob, dua penggerak utama
pilihan raya negeri, Wan Nik Wan Yusof dan Zulkifli Mamat menekankan
keperluan gerak kerja mendekati rakyat harus bermula dari sekarang.
Semasa Pakatan Rakyat dilihat mendapat sokongan lebih meluas di Selangor
dan Pulau Pinang, tentunya Kelantan mahu bergerak seiring. Ya, bukan
saja memperkukuhkan kekuatan sedia ada, malah mampu menyuntik semangat
dan inspirasi, khususnya kepada penyokong PAS di seluruh negara.
Ketua Penerangan PAS Negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan, yang juga anggota
Exco Kerajaan Negeri, ketika ditemui di pejabanya di Kota Darulnaim,
mengakui cabaran tersebut. "Dari segi asas kekuatan, pengaruh PAS dan
Umno di Kelantan, hampir seimbang, masing-masing sekitar 35 peratus.
Kemenangan terletak kepada 30 peratus pemilih atas pagar dan pengundi
luar," tambahnya.
Berbicara soal keputusan PRU13, kami agak bersepakat bahawa faktor
rasuah politik dan "proses pembodohan" umat, terutama di kawasan luar
bandar, membabitkan majoriti pengundi Melayu masih berkesan untuk
mempertahankan survival Umno.
"Oleh itu, cabaran besar kita sepanjang lima tahun ini adalah untuk
melahirkan masyarakat berilmu dan bermaklumat. Dengan itu tidak mudah
lagi mereka diugut atau dirasuah, atau aktiviti beli undi lainnya,"
tambah Dr Fadzli, sambil menjamu kami makan tengahari nasi paprik di
pejabatnya.
Saya agak kaget apabila Dr Fadzli mendedahkan beberapa pendekatan
membeli undi, termasuk sindiket membabitkan kertas undi pos. Dalam
PRU13, hampir 250,000 pemilih mengundi secara pos.
Lebih dahsyat, menurutnya, kertas undi pos itu cuba "dijual" kepada
calon-calon yang bertanding, sehingga RM300 seorang. Malah, kegiatan ini
dilakukan oleh broker tertentu, yang mengutip "komisyen" sehingga lebih
60 peratus. Ada kes di mana pemilik kertas undi mendapat RM100,
manakala broker membolot RM200!
Di sebuah negeri di utara tanahair, diceritakan bagaimana para petugas
BN, termasuk seorang bekas menteri besar, di malam hari mengundi,
mengetuk pintu dari rumah ke rumah, seterusnya menyogok sejumlah wang,
selepas memetrai "perjanjian" dan keesokan harinya ramai pengundi tidak
keluar mengundi.
Malang sekali. Rupanya politik rimba, politik lama, politik kuno masih
mengakar dalam amalan pilihan raya kita. Retorik politik baru,
transformasi dan pelbagai istilah yang mahu menggambarkan pembaharuan
dicipta untuk mengangkat pemerintahan Najib Razak, ternyata palsu.
Sebenarnya kita tidak memerlukan bukti-bukti terkini untuk mengesahkan
bahawa sistem dan proses pilihan raya di Malaysia dipenuhi pelbagai
ketempangan dan penipuan. Badan yang dipertanggungjawabkan khusus untuk
menjalankan pilihan raya yang adil dan bersih, SPR secara jelas
mengkhianati "kepercayaan awam" apabila bertindak seperti parti komponen
BN yang ke-15!
Dalam perkembangan berkaitan, tulisan Dr Zahid Hamidi, Naib Presiden
Umno, yang baru dilantik Menteri Dalam Negeri, disiarkan Utusan Malaysia
(akhbar mana lagi?), mendapat reaksi panas.
Zahid dan Hishammuddin Husein, masing-masing rapat dengan Najib Razak,
bertukar posisi di kementerian kanan, Pertahanan dan Dalam Negeri,
walaupun pretasi kerja kedua-duanya buruk, seperti dibuktikan dalam kes
pencerobohan di Lahad Datu dan peningkatan kadar jenayah.
Zahid mencabar golongan yang mengkritik sistem First-Past-The-Post
(FPTP) serta mereka yang menimbulkan undi popular yang memihak Pakatan:
"Jika golongan ini mahu menerima pakai list system atau single
transferable vote seperti mana digunakan oleh negara-negara republik,
sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk
mempraktikkan kepercayaan politik mereka."
Cabaran kepada "pengkritik" supaya berhijrah ke negara luar atau dicabut
terus kerakyatan, selain ditahan tanpa bicara semasa ISA masih mengamuk
dulu, hanya menunjukkan kebebalan, kedunguan dan keangkuhan yang tiada
batas.
Daripada pencacai Umno di kampung, atau bertaraf ketua bahagian, juga
pemimpin KeADILan yang dibeli -- termasuk yang pernah memegang jawatan
Timbalan Ketua Menteri atau ahli Parlimen melompat parti -- sehinggalah
Menteri Dalam Negeri berkelulusan doktor falsafah, semuanya menunjukkan
kecenderungan yang sama, mungkin disebabkan diternak dalam "kandang"
yang serupa.
Respons Dr Mohamad Agus Yusoff kepada Zahid menarik sekali: "Mengapa DS
Zahid boleh mengeluarkan kenyataan sebegini? Apakah salah jika rakyat
mempersoalkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang ada? Apakah
Perlembagaan menghalangnya? Setahu saya, Perkara 10 Perlembagaan
menjamin hak rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat, berhimpun dan
berpersatuan.
"Tidak ada satu klausa pun dalam Perlembagaan yang membenarkan menteri
untuk memberitahu rakyatnya supaya berhijrah ke negara lain hanya kerana
berbeza pendapat dalam politik. Jika kita akui negara kita adalah
negara demokrasi, maka berdemokrasilah secara jujur.
"Sebagai menteri, DS Zahid sepatutnya membangkitkan kasih sayang dan
semangat patriotik rakyat kepada negara, bukannya mengeluarkan kenyataan
sebegini. Sebagai menteri DS Zahid sepatutnya menggunakan masa untuk
merancang mengatasi masalah keselamatan, jenayah, social ills dalam
negara, daripada menyerang rakyat yang mempunyai perbedaan politik
dengan parti kerajaan."
Saya tidak pasti apakah Zahid berhasrat mahu menghalau lebih 52 peratus
penduduk negara ini (berdasarkan undi popular yang diperolehi Pakatan
Rakyat dalam PRU13) keluar daripada Malaysia hanya kerana mereka mungkin
tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya yang penuh ketempangan dan
penipuan itu?
Sambil menyifatkan tulisan Zahid itu sebagai kenyataan sombong yang
menghina rakyat, Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim, semasa berpidato di
perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat edisi Negeri Sembilan, Jumaat
lalu, beliau mempersoalkan: "Kamu (Zahid) ingat negara ini bapa kamu
punya?"
Sebenarnya, apa jua sistem pilihan raya yang dipilih, termasuk FPTP,
mempunyai kelemahan dan juga kekuatan tersendiri. Kebanyakan negara yang
baru memilih sistem demokrasi dilihat lebih cenderung kepada
bentuk-bentuk sistem pilihan raya alternatif, khususnya "yang menilai
dan mengambil kira" setiap undi yang dibuang, iaitu sistem proporsional
atau yang menggabungkan antara FPTP dan proporsional.
Bukan niat saya untuk menilai sistem mana lebih mewakili suara rakyat.
Yang hendak ditekankan, mengapa seorang menteri kanan (Dalam Negeri pula
itu), memberi reaksi yang sebegitu kasar dan tidak bertamadun, hanya
kepada golongan yang mengkritik, hatta membantah sistem pilihan raya
yang berjalan sekarang?
Apakah partisipasi politik menurut Zahidi bermakna hanya turun mengundi
setiap lima tahun sekali, seterusnya memberikan "cek kosong" kepada
pemerintah, dan kemudiannya sekadar menjadi pemerhati pasif, walaupun
menyedari bermacam-macam penyelewengan dan salahlaku berleluasa?
Malah, sistem FPTP di Malaysia, diperalatkan semahunya oleh elit
pemerintah terutama semasa proses persempadanan semula kawasan pilihan
raya. Lakaran persempadanan baru itu dibuat oleh pegawai-pegawai Umno
sendiri, dan SPR hanya menurut saja.
Itulah yang berlaku selepas Umno dikejutkan dengan undi protes orang
Melayu pada 1999. Pengundi Melayu di Kelantan, Kedah dan Terengganu
"dihukum" SPR apabila tiada penambahan kerusi Parlimen diperuntukkan. Di
Kedah, tokoh-tokoh utama PAS, misalnya Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar
dikalahkan melalui taktik gerrymandering persempadanan semula itu,
membabitkan sekurang-kurangnya kerusi Kuala Kedah, Baling, Pokok Sena
dan Yan.
Jelas, sistem FPTP telah dimanipulasi berdekad lamanya, menyebabkan
setiap kali persempadanan semula dibuat, prestasi pembangkang dalam
pilihan raya berikutnya akan merosot teruk. Contoh ketara ialah pada
2004, selepas Barisan Alternatif menerima sokongan membanggakan,
terutama daripada pengundi Melayu pada 1999.
Sistem FPTP yang dilaksanakan sekarang juga memperlihatkan perbedaan
ketara jumlah pengundi, misalnya di antara kerusi Parlimen Putrajaya
(15,791) dengan Kapar (144,159), malah pengundi di Baling yang jauh
tersorok lebih ramai berbanding kerusi Parlimen di Kuala Lumpur.
Ketika persempadanan semula itu dibuat, ia berasaskan keyakinan PM
ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, bahawa orang Melayu akan mengundi
pembangkang dan masyarakat Tionghua menjadi penyelamat BN. Maka
banyaklah kawasan Parlimen pengundi campuran yang dibentuk, dan tiada
tambahan kerusi di tiga negeri Melayu.
"Ibarat main bolasepak, padang permainan condong ke sebelah Pakatan,
pihak lawan tak perlu sumbat gol pun, bola boleh meleret sendiri ke
gawang kita," rakan saya, Zainal Abidin Hussin, orang kuat Pusat Kajian
Strategik Kelantan, memberi contoh kepincangan sistem demokrasi di
Malaysia, semasa kami minum air kelapa muda, di sebuah gerai di
Pengkalan Chepa, sementara menunggu pesawat bertolak balik ke Kuala
Lumpur. Kami sama-sama ketawa, walaupun menyedari hakikat itu cukup
pedih untuk diterima.
Cuaca buruk pada petang Rabu itu menyebabkan AirAsia terlewat. Namun
saya lebih memikirkan, bagaimana kaedah terbaik untuk memanfatkan mood
semasa, terutama melalui himpunan "Black505" bagi memperolehi sistem
pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, termasuk merombak FPTP.
Meskipun belum berkesempatan turun bersama-sama memeriahkannya, saya
memberikan sokongan sepenuhnya kepada sebarang usaha melakukan reformasi
menyeluruh ke atas sistem dan proses pilihan raya negara kita.
Di atas pesawat, saya teringat penutup tulisan Hishamuddin Rais: "Tidak
ada sesiapa dalam dunia ini akan mengagihkan Kuasa dan Kebebasan. Kuasa
dan Kebebasan hanya dapat dirampas dengan Perlawanan." - Harakahdaily
0 Komen pengunjong :