Pertindihan kerusi PAS dan PKR selesai - Anwar Ibrahim


PETALING JAYA, 23 April — Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata pertindihan enam kerusi diantara PKR dan PAS sudah diselesaikan antara kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu, cuma kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara yang masih lagi dibincang.
Anwar berkata PKR telah bersetuju untuk menarik diri daripada bertanding tiga kerusi DUN di Terengganu, manakala PAS pula bersetuju memberikan laluan kepada PKR di kerusi Parlimen Labuan serta dua kerusi DUN di Panti, Johor dan Sungai Acheh, Pulau Pinang.
“Setelah bermesyuarat dengan kepimpinan tertinggi PAS, isu pertindihan enam kerusi sudah selesai cuma kerusi Kota Damansara sahaja yang masih lagi dalam perbincangan,” katanya.
“Oleh itu, isu pertindihan kerusi dianggap selesai.”
Dalam pada itu, Anwar berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya dapat membuat pindaan dengan membuang nama calon PAS dan PKR yang menarik diri dengan memberi alasan agensi tersebut mempunyai masa yang banyak untuk bertindak sedemikian.
Semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata pihaknya tidak akan memadamkan nama calon yang sudah berdaftar memandangkan itu sudah termaktub dalam undang-undang baru yang diperkenalkan.
Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya  akan menyerahkan kerusi Parlimen Labuan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Aceh, Pulau Pinang dan Panti, Johor, kepada PKR selepas selesai bermesyuarat.
Abdul Hadi juga berkata segala perkara berbangkit mengenai pertindihan kerusi PKR-PAS dianggap selesai dengan pengumuman tersebut dan fokus PR kini adalah untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 5 Mei depan.
Bagi kerusi Parlimen Labuan, pertindihan berlaku selepas calon PKR, Tan Sri Ibrahim Menudin, dan calon PAS, Hadnan Mohamad, hadir pada hari penamaan calon untuk mendaftarkan diri selain calon Barisan Nasional (BN) Rosman Isli yang akan bertanding di kerusi parlimen tersebut.
Pertindihan calon PAS dan PKR turut berlaku di kerusi DUN Pulau Pinang melibatkan dua pemimpin PR iaitu Mohd Yusni Mat Piah dari PAS serta Badrul Hisham Shaharin daripada PKR yang akan berhadapan lawan daripada BN, Datuk Mahmud Zakaria.
Selain Panti, empat lagi kerusi DUN yang berlaku pertindihan adalah Kota Damansara, Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir.
Pertindihan kerusi diantara PAS dan PKR dijangka akan memecahkan undi dan memberi memberikan peluang lebih cerah kepada Barisan Nasional (BN).
Pada Pilihan Raya 2008, pakatan pembangkang PKR, PAS dan DAP mencipta sejarah apabila berjaya menafikan majoriti tradisi dua pertiga BN dan merampas beberapa buah negeri.
Pilihan Raya 2013 dikatakan paling sengit dalam sejarah oleh kerana buat pertama kalinya, BN bakal berhadapan dengan pembangkang paling tersusun.
BN dijangkakan akan terus berkuasa selepas Pilihan Raya 2013 akan tetapi tidak mustahil bagi PR untuk membuat kejutan.
Sejumlah hampir 13.3 juta pengundi termasuk 5,200 pengundi luar negara akan memilih 222 wakil bagi kerusi Parlimen dan 505 wakil di kerusi DUN di setiap negeri kecuali Sarawak.
Sarawak telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.

0 Komen pengunjong :