KUALA
LUMPUR, 24 April — Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mencurigai
insiden pengeboman dan melontar bahan letupan yang berlaku hari ini dan
semalam, menegaskan tindakan tersebut bertujuan untuk mewujudkan
ketakutan.
Anwar menggesa pihak berkuasa untuk membuat siasatan menyeluruh dan
mencari dalang yang bertanggungjawab mencetuskan insiden tersebut.
"Masa letupan dan lokasi alat-alat ini adalah sangat mencurigakan dan
jelas bertujuan untuk mewujudkan ketakutan dan gangguan memprovokasi,"
kata Anwar dalam satu kenyataan media hari ini.
Pemerhati dan ahli politik sebelum ini memberi amaran tentang
kekacauan dan keganasan menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang
dianggap paling sengit sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957.
"Saya memuji Pasukan Polis Pulau Pinang kerana bertindak cepat.
Siasatan ini perlu dilakukan tanpa rasa takut dan tanpa gangguan," kata
Anwar lagi.
Di samping itu, beliau juga mengecam tindakan tidak bertanggungjawab
tersebut kerana membahayakan nyawa orang awam dan pada masa sama
berharap rakyat Malaysia khususnya Pulau Pinang supaya sentiasa
berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan khabar angin.
"Kami tidak apa mahu dikatakan selain mengecam tindakan mereka yang cuba membahayakan nyawa orang awam di Malaysia.
"Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang
dari Pulau Pinang, untuk sentiasa berwaspada, bertenang dan tidak
terpengaruh dengan khabar angin yang mungkin timbul," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Anwar berkata individu yang didapati bersalah
tersebut boleh didakwa serta dibicarakan di bawah Kanun Keseksaan
(Seksyen 326/327) kerana "secara sukarela menyebabkan kecederaan parah
dengan senjata berbahaya atau cara", dan "khianat dengan api atau bahan
letupan dengan niat untuk memusnahkan rumah"; DAN / ATAU Akta Bahan
Letupan (1957) untuk "menyebabkan letupan yang mungkin membahayakan
nyawa atau harta".
Media melaporkan semalam satu kejadian letupan berhampiran lokasi
bilik gerakan BN di Nibong Tebal dan pihak polis menemui bahan letupan
ubahsuai (IED) dalam timbunan sampah berhampiran lokasi sama pagi ini.
Awal hari ini, satu lagi kejadian insiden sama berlaku di bahagian
depan bangunan Bilik Gerakan BN di Parit 9, Baroh, Sungai Leman,
Sekinchan dekat sini, terbakar setelah dipercayai dilempar dengan dua
bom petrol oleh orang tidak dikenali pagi ini.
0 Komen pengunjong :