KUALA LUMPUR—- Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata
operasi kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan boleh
diteruskan, sekiranya kilang berkenaan terbukti selamat, lapor akhbar
Australia.
Dipetik portal The Age, Anwar yang sebelum ini membantah operasi
kilang dari Australia itu dilaporkan berkata Lynas boleh terus
beroperasi sekiranya inkuiri awam membuktikan kilang itu mematuhi piawai
dan syarat dalam menguruskan nadir bumi berkenaan.
Malah akhbar berkenaan turut melaporkan sekiranya Anwar berkuasa
merampas Putrajaya dalam Pilihan Raya 2013 akan datang, beliau akan
menyegerakan inkuiri tersebut, namun sebelum itu, beliau akan menutup
operasi kilang tersebut.
“Saya tidak bersedia mengambil risiko dengan keselamatan penduduk di
sekitar Kuantan,” katanya, dan menambah beliau juga bukanlah anti
pembangunan.
Anwar dalam satu temuramah turut berkata beliau “mempunyai sebab
untuk percaya” kebimbangan penduduk berhubung isu alam sekitar yang
bakal dicetuskan kilang berkenaan berdasarkan lokasinya, dikawasan paya
berhampiran sungai, kira-kira tiga kilometer dari Laut Cina Selatan.
Anwar juga turut dilaporkan berkata beliau tidak mempercayai agensi
kerajaan meluluskan operasi syarikat tersebut kerana kelahiran bayi yang
mengalami kecacatan dan leukimia oleh penduduk berhampiran kilang
Mitsubishi di Perak pada 1982, yang telah ditutup.
“Jika Lynas boleh mengemukakan hujah dan bukti kukuh tiada ancaman
terhadap keselamatan penduduk, saya yang mula-mula akan menyokong kilang
itu beroperasi,” katanya yang juga turut akan memberikan peluang kepada
kilang berkenaan untuk memberikan keterangan sebelum sebarang inkuiri
dilakukan.
Beliau juga akan mendapatkan keterangan pakar-pakar nadir bumi yang
kebiasaannya digunakan dalam industri teknologi seperti iPod, TV paparan
rata, kereta hybrid, telefon pintar, dan termasuk juga peluru berpandu.
Jurucakap Lynas, bagaimanapun dipetik akhbar itu berkata, Lynas
dikategorikan sebagai selamat, tidak mengandungi toksik, dan tidak
merbahaya.
Bercakap berkenaan cadangan inkuiri tersebut, jurucakap Lynas itu
berkata kilang itu telah menjalani semakan bebas pelbagai pihak,
termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Kilang Lynas di Kuantan mula menjadi perhatian umum apabila didakwa
bakal menyebabkan berlakunya pencemaran terhadap alam sekitar dan
kawasan perairan kerana didakwa mengandungi radioaktif.
Malah, badan bukan kerajaan seperti Selamatkan Malaysia Hentikan
Lynas (SMSL) turut membantah penubuhan kilang tersebut, yang mana turut
beberapa kalimengadakan protes menyuarakan bantahan mereka.
Selain projek pemprosesan nadir bumi ini, Putrajaya turut menerima
tekanan dalam pembangunan projek penapisan petroleum bersepadu di
Pengerang, Johor, apabila pemimpin pembangkang dan aktivis alam sekitar
mendakwa projek berkenaan akan membahayakan alam sekitar.
0 Komen pengunjong :