SHAH ALAM : Pakatan Rakyat hari ini mengulangi pendirian mahu
Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri selepas
memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).
“Jika
kita mahu selamatkan negara dan memperbetulkan kewangan, kita perlukan
Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim
Guan Eng menyampaikan ucaptama di Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4,
hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, sejak Ketua Umum KEADILAN
tidak lagi memegang jawatan Menteri Kewangan pada 1998, belanjawan
negara mencatat defisit selama 15 tahun berturut-turut.
“Kali terakhir negara berjaya mencatat lebihan belanjawan adalah
semasa Anwar menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Berikutan itu, kata Guan Eng, pemberian sumbangan disalur Pakatan
berbeza dengan BN kerana negeri-negeri yang ditadbir Pakatan menggunakan
wang lebihan hasil keuntungan negeri, manakala BN pula terpaksa
berhutang untuk memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Wang lebihan yang diperolehi (Pakatan) hasil pentadbiran telus sejak
2008 disalurkan kembali kepada rakyat melalui program-program Agenda
Ekonomi Sosial. Sebaliknya BN memberi bantuan kewangan kepada rakyat
walaupun mencatat defisit tinggi dan hutang semakin melambung,” kata
Guan Eng.
Rakyat tanggung hutang RM31,000 seorang
Menurut Guan Eng, ketirisan kewangan negara berpunca gejala rasuah yang membarah di kalangan pemimpin Umno.
Beliau turut memetik laporan badan pemerhati kewangan antarabangsa yang berpusat di Washington – Global Financial Integrity.
“Pengeluaran keluar dana haram di Malaysia berjumlah RM197 bilion
pada 2010 dan RM871 bilion sepanjang 10 tahun dari 2001 hingga 2010.
Pengaliran keluar dana haram per kapita untuk Malaysia adalah RM7,000,
dengan kata lain setiap rakyat Malaysia menanggung hutang sebanyak
RM31,000 dari 2001 hingga 2010,” katanya.
Guan
Eng berkata, sebaik Pakatan mengambil alih pemerintahan negara, rasuah
akan dihapuskan dan semua penyelewengan selama Umno memerintah akan
disiasat.
“Menghapuskan rasuah adalah lebih baik dan berfaedah. Rakyat akan
menerima keuntungan dan sistem pentadbiran negara akan lebih bersih,
hijau dan selamat,” sambungnya.
“Kita akan siasat RM52 bilion saham Bumiputera. Cari siapa yang
‘telan’ wang itu dan paksa dia ‘muntahkan balik’. Begitu juga rakyat
Cina, kita akan siasat penyelewengan PKFZ (skandal Zon Bebas Pelabuhan
Klang).
“Kita juga akan pulangkan wang diseleweng kepada rakyat, dan RM3
bilion skandal Maika Holdings kita pulangkan kepada masyarakat India.
Begitu juga di Sabah dan Sarawak yang menjadi mangsa kemiskinan,” kata
Guan Eng lagi.
“Saya ingin mencadangkan sebaik saja Pakatan menang PRU 13, kita akan
terus larang lapangan terbang dari membenarkan mana-mana kapal terbang
peribadi meninggalkan negara,” katanya disambut tepukan hampir 2,000
perwakilan.
0 Komen pengunjong :