Jangan tangguhkan tindakan terhadap Ibrahim Ali : Tan Sri Abu Talib Othman


KUALA LUMPUR, 31 Jan – Pihak berkuasa harus mempercepatkan tindakan terhadap Datuk Ibrahim Ali berhubungan dengan gesaannya untuk membakar bible, kata bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman. Pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang lantang itu dilaporkan menggesa agar kitab suci penganut agama Kristian itu dibakar dalam satu sidang media di Pulau Pinang pada 19 Januari.
“Isunya bukan pembakaran bible. Apa yang menjadi isu adakah beliau mengucapkan kata-kata tersebut?” kata Abu Talib kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah baru-baru ini.
“Jika ya, sama ada kata-kata tersebut berunsur hasutan menurut Akta Hasutan dengan membacanya secara keseluruhan dan dalam konteks ianya dibuat. Jadi, sama ada bible telah dibakar adalah tidak ketara walaupun membantu dalam pendakwaan kes itu jika beliau didakwa,” katanya.
Bekas peguam tertinggi kerajaan itu berkata laporan polis yang dilakukan  pengadu terhadap kenyataan provokatif Ibrahim berkait dengan pertikaian mengenai penggunaan kalimah “Allah” yang masih belum selesai semenjak empat tahun lalu.
Beliau mengatakan tidak ada sebab penguatkuasa undang-undang berlengah-lengah membuat keputusan sama ada mahu mendakwa atau tidak ahli parlimen bebas itu yang telah dituduh mencetuskan ketegangan di antara penganut agama Islam Malaysia dan penganut agama lain.
“Demi keadilan kepadanya bersihkan beliau segera jika beliau tidak bertindak bertentangan dengan Akta Hasutan 1948 atau untuk perkara itu, mana-mana undang-undang yang terpakai,” kata lelaki berusia 73 tahun itu yang menjawat jawatan peguam negara selama 13 tahun dari 1980 hingga 1993, merujuk kepada Ibrahim. Majlis Peguam dan ahli parlimen pembangkang Karpal Singh telah mendesak kerajaan untuk mendakwa ahli parlimen Pasir Mas itu kerana menghasut akan tetapi Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengatakan tindakan hanya akan diambil kepada Ibrahim jika bible telah dibakar, dan kenyataan Ibrahim tidak membimbangkan beliau.
Menekankan tentang isu ini, Abu Talib berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bekerja untuk memansuhkan undang-undang kuno, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - yang telah secara meluas digunakan sebagai alat untuk menindas perbezaan pendapat – untuk mempercepatkan perjalanan sistem keadilan di negara ini dan selaras dengan dasar hak asasi manusia antarabangsa.
“Demokrasi, menjadi kerajaan dari, untuk dan oleh rakyat, menunjukkan penduduk perlu diberi perkhidmatan dan yang dipilih adalah hamba, dan bukan sebaliknya,” kata Abu Talib yang pernah mempengerusikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Pejabat Peguam Negara dan pasukan polis telah dikutuk oleh orang ramai baru-baru ini dengan pembangkang Rakyat Pakatan (PR) menuduh dua institusi awam itu bekerja dengan musuh politik mereka Barisan Nasional (BN), bagi memastikannya terus berkuasa.
Pejabat Peguam Negara di bawah pimpinan Abdul Gani diserang dengan tuduhan mengamalkan pendakwaan terpilih, termasuk daripada bekas penjawat awam lain seperti bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim.
Tinjauan baru-baru ini terhadap lima institusi awam oleh Merdeka Center menyaksikan polis adalah yang paling tidak dipercayai dikalangan pengundi kali pertama Pilihan Raya 2013, berbanding kedua-dua kerajaan pusat dan kerajaan negeri, sistem kehakiman, badan penggendali pilihan raya dan parti politik.
Ahli-ahli politik dan pemimpin gereja telah membidas Ibrahim, pengasas dan presiden Perkasa kerana didakwa menyemarakkan kebencian agama diantara orang Islam dan bukan Islam.
Islam adalah kumpulan agama terbesar di Malaysia sebanyak 60 peratus, manakala minoriti Kristian hanya di bawah 10 peratus daripada 28 juta rakyat Malaysia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mengecewakan pemimpin gereja dengan khutbah Jumaat lepas, di mana ia memberi amaran kepada umat Islam di seluruh negara “musuh-musuh Islam” akan cuba untuk mengelirukan mereka supaya mempercayai semua agama berkongsi tuhan yang sama.
Pemimpin Islam dan Kristian di sini bertelagah di atas penggunaan
perkataan Arab “Allah” walaupun penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009 memerintahkan Islam tidak mempunyai hak eksklusif kepada perkataan “Allah”.
Perdebatan timbul semula bulan lalu selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang dalam perutusannya sempena Hari Natal mendesak kerajaan persekutuan agar menarik semula pengharaman terhadap penggunaan kalimah Allah dalam bible berbahasa Melayu.
Kumpulan gereja Sabah juga telah mendakwa kebebasan beragama Bumiputera Kristian diserang sambil menegaskan kebanyakan penganutnya datang daripada Malaysia Timur dan menggunakan bahasa Melayu.
Kumpulan penganut agama Buddha telah menggesa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk campur tangan menyelesaikan pertikaian tentang penggunaan kalimah “Allah” daripada terus berlarutan.

0 Komen pengunjong :