
Terang lagi bersuluh rebat itu tidak lain untuk memancing undi anak-anak muda. Sebab itulah usia minimum untuk layak mendapat rebat ini adalah 21 tahun. Beri pada belia 20 tahun buat apa, mereka bukan boleh mengundi pun.
Akan tetapi yang riuhnya hari ini bukan kerana “janji sudah ditepati” lalu “kini masa balas budi”. Tetapi riuh kerana ramai merasakan janji itu “indah khabar dari rupa”. Sebab muncul syarat telefon pintar yang layak hanya yang harga maksimum RM500.
Bingitlah seantero alam seolah-olah ini pertama kali mereka melihat pemerintahan Barisan Nasional membuat silap mata sedemikian. Berkecai angan-angan sesetangah orang untuk memiliki telefon pintar canggih kerana syarat baru itu ‘menyempitkan’ pilihan.
Sebenarnya alangkah baik jika anak muda dapat fikir lebih jauh daripada itu. Janji ditepati yang menjadi janji di’capati’ (kerana telah dicanai) memang mengundang angin satu badan. Tetapi ada persoalan lebih besar daripada itu yang perlu difikirkan.
Apakah tidak ada perkara lain yang memberi manfaat jangka panjang dan lebih memerlukan peruntukan RM300 juta berbanding rebat telefon pintar itu? Adakah anak muda hari ini begitu murah nilainya sehingga memadai rebat telefon bimbit untuk memikat undi mereka? Jawapannya akan memberitahu kita adakah pemerintah ini pemerintah pintar.
Ayuh, pintarkan telefon, pintarkan diri.
–/ Roketkini.com
0 Komen pengunjong :