GEORGE
TOWN: Anggota Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed
Hashim hari ini menyerahkan surat permohonan menyertai semula Umno
kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Surat permohonan Zahrain bersama 347 bekas anggota Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dari Bayan Baru, Bukit Gelugor dan Jelutong itu diserahkan
kepada Najib pada majlis makan tengah hari Perdana Menteri bersama
Masyarakat Bayan Baru, di perkarangan Pejabat Umno Bahagian Bayan Baru
di sini.
Bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu berkata beliau memilih untuk
kembali kepada Umno kerana percaya hanya parti itu mampu memperjuang
wadah orang Melayu terutama penduduk di Pulau Pinang.
“Sudah sampai masanya saya memilih Umno kerana selama ini saya
tertipu dengan perjuangan pakatan pembangkang, mereka sebenarnya
mempunyai agenda tertentu sahaja.
“PKR dan PAS yang mendakwa kononnya memperjuang nasib orang Melayu
sebaliknya hanya memperguna kepentingan orang Melayu, tiada parti lain
yang mampu memberi keistimewaan kepada orang Melayu dan bukan Melayu,”
katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan, di sini.
Terdahulu pada majlis itu, kira-kira 1,000 anggota masyarakat kawasan
Bayan Baru menyertai majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri
dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta para pemimpin komponen Barisan
Nasional (BN) Pulau Pinang.
Zahrain berkata lebih ramai lagi anggota parti dari pembangkang akan
menyertai Umno pada masa depan dan beliau percaya situasi itu mampu
memberi kelebihan kepada BN Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-13
(PRU-13) nanti.
Beliau berkata rakyat Pulau Pinang harus memberi sokongan kepada
Perdana Menteri dan BN kerana hanya parti itu mampu memperjuang nasib
mereka berbanding pembangkang yang pandai membuat janji sahaja.
“Ini hanya permulaan (menyerahkan surat permohonan menyertai semula
Umno) dan lebih ramai lagi terutama mereka yang bukan Melayu akan
menyertai dan beri sokongan pada BN, ia bukan sahaja di kawasan Bayan
Baru malah beberapa parlimen lain di sini (bahagian pulau),” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan menyokong Umno jika tidak dipilih
sebagai calon PRU-13 nanti, Zahrain berkata beliau akan menyokong
sesiapa sahaja yang dipilih Perdana Menteri menjadi calon BN di Bayan
Baru untuk memastikan kemenangan BN.
Sementara itu, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Aminah Abdullah
berkata beliau yang keluar daripada parti itu pada tahun 2007 juga turut
menghantar surat permohonan untuk menyertai Umno hari ini.
“Saya kembali menyokong BN kerana yakin hanya BN dapat membantu semua kaum di negara ini,” katanya.
0 Komen pengunjong :