KALAU
dibelek-belek berita semasa, makin kerap kedengaran berita sumbang
membabitkan perkauman. Daripada politik menakut-nakutkan sewaktu
Perhimpunan Agung UMNO 2012 bahawa akan berulangnya peristiwa 13 Mei
sekiranya UMNO kalah. Sehingga yang terbaru kononnya berlaku rusuhan
kaum di Sungai Petani yang diapi-apikan dengan tiupan khabar angin dan
seruan perkauman. Apakah semua itu saling berkait rapat, adakah Sungai
Petani medan ujikaji? Entahlah.
Yang pasti kita tidak dapat mengelak daripada bertanya, mengapa
selepas 55 tahun merdeka, dalam banyak perkara kita nampak masih ramai
mahu melihat daripada sudut perkauman? Jika terdapat empat orang
bertumbuk, dua daripada kaum A dan dua lagi daripada kaum B. Mengapa
tidak melihat itu sebagai pergaduhan antara dua kumpulan samseng dan
bukannya pergaduhan kaum? Sekiranya seorang pemilik perniagaan daripada
kaum A menekan pekerja daripada kaum B. Mengapa tidak melihat itu
penindasan kaum pemodal terhadap kaum pekerja dan bukannya penindasan
kaum?
Perkauman sudah membarah lama dalam masyarakat. Meskipun di permukaan
negara nampak seperti iklan tahun melawat Malaysia, tetapi tiada siapa
dapat nafikan di bawah kulit masyarakat kita ada barah perkauman yang
perlu diubat. Amalan melihat sesuatu ikut kaca mata kaum bukan hal
tersembunyi malah terang-terangan. Tengok saja politik kita memadai.
Pemerintah di negara ini masih lagi terdiri dari perikatan parti politik
berasaskan kaum, memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.
Akibatnya tidak semua parti di dalam perikatan pemerintah berdiri setara
kerana pastinya ada kaum yang rasa lebih ‘tuan’ daripada yang lain.
Dapatkah kita nafikan perbezaan jelas perikatan pemerintah dan
oposisi? Terang lagi bersuluh, teras parti di dalam perikatan Pakatan
Rakyat (PR) bukanlah kaum. Oleh itu PR tidak nampak perlunya untuk
mereka menjelajah serata negara mengapi-apikan kaum tertentu bagi meraih
sokongan. Isu bersama PR selama ini konsisten membabitkan tadbir urus
negara yang baik, membasmi rasuah, pemulihan institusi negara serta
perpaduan rakyat Malaysia melalui prinsip keadilan, kesetaraan dan
demokrasi. Dan semua itu merentas batas kaum.
PR tidak dapat bergerak dengan gaya perkauman kerana teras dan dasar
setiap parti di dalam perikatannya bukan berasaskan kaum. Seperti mana
perikatan pemerintah hari ini sukar untuk bergerak tanpa menyentuh
persoalan kaum kerana teras dan dasar parti mereka adalah kaum.
Apabila PR berjuang untuk membela nasib rakyat yang tertindas,
perjuangan mereka merentas kaum kerana rakyat tertindas itu ada di dalam
mana-mana kaum. Apabila parti di kalangan perikatan pemerintah membela
habis-habisan kaumnya, maka mereka akan membela bersama penindas kerana
penindas itu adalah dari kaum mereka.
Parti berasaskan kaum di dalam perikatan pemerintah hanya akan terus
relevan sekiranya setiap kaum di bumi Malaysia ini saling meragui antara
satu sama lain. Dengan cara itu saja mereka dapat terus menjadi hero.
Perjuangan PR pula memerlukan semua rakyat mengetepikan perbezaan kaum
dan berjuang atas prinsip mulia yang dipersetujui semua.
Kita mungkin tidak dapat memulihkan barah perkauman di Malaysia dalam
tempoh satu hari. Tetapi antara jalan yang boleh kita ambil adalah
dengan melepaskan kekuasaan daripada tangan mereka yang masih tersekat
dengan corak pemikiran perkauman yang sudah ketinggalan zaman. Demi
Malaysia yang lebih baik, apakah kita mahu perikatan Barisan Nasional
(BN) yang akan terus bermain dengan isu kaum atau PR yang memperjuangkan
kebaikan bersama?
-/roketkini.com
0 Komen pengunjong :