Undang-undang di negara kita ini telah menjadi semakin tercemar.
Seakan-akan undang-undang yang berkuatkuasa di dalam negara ini hanyalah
untuk disasarkan kepada orang ramai yang tidak menyetujui kerajaan
Barisan Nasional (BN), mereka-mereka yang mengkritik dasar-dasar BN yang
tidak adil, mereka yang berjuang menentang ketidakadilan, kekejaman,
keganasan, politik wang, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan perkauman.
Sementara mereka yang berada di dalam lingkungan BN, para penyokong
BN, Umno, MIC, MCA, Gerakan, NGO yang pro-Umno seperti Perkasa, Pekida,
Pembela, JI, MTPKL dan sebagainya menikmati kekebalan setaraf dengan
Raja-raja Melayu dan dikecualikan daripada sebarang tindakan
undang-undang walaupun kebanyakan daripada tindakan mereka yang telah
menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan
Persekutuan.
Ya, undang-undang dalam negara kita ini telah menjadi semakin
tercemar. Pihak yang menyokong BN dibenarkan untuk tidak menghormati
sebarang undang-undang atau boleh melanggari sebarang perintah mahkamah,
manakala pihak yang tidak bersetuju dengan BN dimestikan untuk
menghormati undang-undang yang sedia ada walaupun ianya tidak adil.
Ini bermakna, pihak berkuasa akan hanya bertindak terhadap
mereka-mereka yang tidak bersetuju dengan pemerintahan BN, walaupun
mereka hanya berkumpul secara aman, menyatakan bantahan secara sivil dan
menyalakan lilin bagi memperingati kematian seseorang yang teraniaya,
sementara mereka yang menyokong kuat BN tetapi bertindak ganas,
mengancam keselamatan awam, menggalakkan kebencian, anti-perpaduan,
melakukan keganasan adalah dibenarkan untuk terus melanggari semua
bentuk undang-undang yang ada sambil hanya diperhatikan oleh pihak
berkuasa sahaja, seperti menonton wayang atau tayangan filem
blockbuster.
Kalau begitu, siapa lagi yang akan menghormati undang-undang dalam
negara kita ini? Ini adalah kerana pihak berkuasa berlaku tidak adil
terhadap dua pihak yang berlainan pendapat apabila menguatkuasakan
undang-undang yang sedia ada. Satu pihak yang senantiasa menikmati
kekebalan, manakala satu lagi pihak pula senantiasa menjadi mangsa
kekejaman pihak yang kebal kerana pihak yang senantiasa menjadi mangsa
itu tidak mendapat perlindungan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa
yang berkenaan.
Bendera Sang Saka Merah Putih dan Bendera Kurdistan
Pada malam menjelang hari Kemerdekaan yang lalu, perhimpunan Janji
Demokrasi telah diadakan di perkarangan Dataran Merdeka dan ianya
dihadiri ribuan penyokong yang semuanya mendesak agar Suruhanjaya
Pilihanraya (SPR) dan kerajaan BN agar melaksanakan pembaharuan di dalam
sistem pilihanraya dengan segera.
Di dalam perhimpunan Janji Demokrasi tersebut, ianya juga telah
menyaksikan sekumpulan penyokong muda membawa bendera Sang Saka Merah
Putih bagi menunjukkan sokongan padu mereka terhadap desakan pembaharuan
pilihanraya.
Setelah gambar sekumpulan penyokong muda bersama dengan bendera
mereka itu dipaparkan di beberapa portal berita dan akhbar-akhbar, para
pemimpin BN dan Umno terus mengambil kesempatan untuk menuduh
perhimpunan Janji Demokrasi tersebut bertujuan untuk menggulingkan
kerajaan BN yang ada sekarang, menukar bendera negara kita, dan merombak
perlembagaan untuk menjadikan negara ini sebuah republik.
Dengan hanya anggapan yang serong sahaja, pihak polis telah
menjalankan siasatan dengan begitu cepat sekali dan berjanji akan
membuat tangkapan dalam masa seminggu lagi. Begitu efisien sekali
apabila pihak BN yang mengadu.
Tahukah anda, sewaktu demonstrasi dan keganasan di negeri Pulau
Pinang sebelum ini yang didalangi oleh pemuda Umno, Perkasa, Pekida,
Pembela dan Mamak bagi menunjukkan tentangan mereka terhadap kerajaan
negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng, ramai penunjuk perasaan yang
berarak pada masa itu mengibarkan bendera Kurdistan yang bewarna hijau,
kuning dan merah.
Kalau bendera Kurdistan itu dikibarkan sewaktu demonstrasi dan
keganasan tersebut, boleh juga kita anggap yang Umno, Perkasa, Pekida,
Pembela dan Mamak cuba menggulingkan kerajaan negeri Pulau Pinang, cuba
menukar perlembagaan negeri dan merombak negeri Pulau Pinang untuk
dijadikan satu lagi negara Kurdistan.
Ingin kami bertanyakan kepada pihak berkuasa. Apakah perbezaan khusus
di antara mengibarkan bendera Sang Saka Merah Putih dengan mengibarkan
bendera Kurdistan di dalam negara ini? Kenapa mereka yang mengibarkan
bendera Sang Saka Merah Putih itu lebih bersalah daripada mereka yang
mengibarkan bendera Kurdistan?
Pijak gambar Najib dan Rosmah, dengan Guan Eng dan Anwar Ibrahim
Di antara memijak gambar Perdana Menteri Najib Razak dan “wanita
pertamanya” Rosmah Mansor dengan memijak serta membakar gambar Ketua
Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar
Ibrahim, siapakah yang lebih bersalah?
Yang lebih menyedihkan adalah pihak polis telah mengambil keputusan
bahawa mereka yang memijak gambar Najib dan Rosmah adalah lebih bersalah
dan menghinakan daripada mereka yang memijak serta membakar
gambar-gambar Guan Eng dan Anwar.
Ini adalah kerana yang memijak dan membakar gambar-gambar Guan Eng
dan Anwar iti semuanya adalah orang-orang Umno dan BN yang dipimpin oleh
Najib. Kerana itulah pihak polis tidak berani mengambil sebarang
tindakan terhadap mereka, kerana Najib telah mengeluarkan perintah yang
ahli-ahli dan para penyokong Umno dan BN adalah kebal daripada sebarang
undang-undang.
Sesiapa sahaja yang didapati memijak gambar-gambar Najib dan Rosmah
akan ditahan, dibelasah dan dimasukkan ke dalam lokap balai polis.
Punggung Umno lebih berkuasa, setaraf dengan undang-undang
Sewaktu sekumpulan penyokong Umno dan Perkasa yang mendakwa diri
mereka “veteran tentera” berkumpul dan mempamerkan punggung mereka di
hadapan kediaman Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga dam
keluarganya, pihak polis hanya setakat memerhati sahaja tanpa mengambil
tindakan yang perlu terhadap kumpulan tersebut yang jelas telah
mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.
Maka dilepaskan sahaja kumpulan punggung Umno dan Perkasa itu bagi
meneruskan pertunjukkan jijik mereka untuk beberapa jam lagi di hadapan
Datuk Ambiga. Pihak polis amat takut kerana punggung Umno dan Perkasa
itu sungguh berkuasa, berada di atas undang-undang dan Perlembagaan
Persekutuan.
Akan tetapi, apabila seorang penyokong Janji Demokrasi dan Bersih
yang menunjukkan punggungnya hanya kepada beberapa keping gambar Najib,
Rosmah dan pengerusi SPR, pihak polis dengan segera membuat tangkapan.
Ini adalah kerana punggungnya tidak berkuasa seperti punggung-punggung
Umno dan Perkasa.
Entah sama ada yang ditangkap oleh pihak polis itu akan didakwa di
bawah Akta Pencegahan Punggung 2012, ataupun mengikut undang-undang
mana?
Ini jelas telah menunjukkan bahawa undang-undang negara kita ini
telah tercemar dengan begitu teruk sekali, malah boleh dikatakan
Perlembagaan Persekutuan akan bakal dijual sebagai kertas buruk tidak
lama lagi, kerana yang berkuasa tidak perlu menghormati undang-undang,
sementara mereka yang lemah dipaksa tunduk kepada undang-undang yang
tidak adil dan pilih kasih.
Jadi, buat apa nak menghormati undang-undang sedangkan yang
berkerajaan di Putrajaya itu langsung tidak mempedulikan undang-undang?
Dan yang lebih memburukkan lagi keadaan adalah pihak polis sentiasa
memilih pihak yang lemah untuk dibelasah dan dianiayai.
Oleh itu, jika dipandang dari sudut Ubah sekali lagi, memang wajar
negara ini perlu diubah seratus peratus daripada perlembagaan, kerajaan,
kehakiman, parlimen, pentadbiran awam, negeri, dewan negeri, sistem
politik, pilihanraya dan akhir sekali bendera sekarang yang seakan-akan
corak bendera Amerika Syarikat dan Liberia.
Dah pun dicemari punggung-punggung Umno dan Perkasa, apa penghormatan
yang ada lagi? Hanya tinggal penghinaan dan kebencian yang berasal dari
Putrajaya.
-/
Malaysia Chronicle
0 Komen pengunjong :