Harun Taib pada Chua: Hudud tambah peluang kerja



Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib berkata pelaksanaan hudud akan menambah peluang pekerjaan kepada rakyat dan bukannya menyebabkan hilang peluang pekerjaan seperti didakwa presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Dengan nada sinis, Harun berkata, pekerjaan itu akan mewujudkan banyak jawatan baru termasuk untuk penyiasat dan individu untuk melaksanakan hukuman.

"Kalau buat hudud, orang kerat tangan (kita) kena latih. Ramai (dan) banyak jawatan baru. Penyiasat pun kita kena latih.

"Orang minum arak, kita kena sebat dengan rotan kena ada latihan pulak, tak boleh pukul sembarangan. Jadi banyak jawatan-jawatan (baru akan muncul)," katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat di Kota Bharu hari ini.

Harun berkata demikian bagi mengulas empat cabaran yang dihadapi oleh ulama PAS yang perlu antaranya berkaitan kejahilan rakyat mengenai Islam dan peranan ulama jahat serta pemerintah yang menghalang kerja PAS.

Sebelum ini, Chua dilapor mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.

Chua yang memetik satu SMS oleh individu tidak dikenali, menyenaraikan pelbagai industri yang didakwa terjejas dengan kehilangan pekerjaan yang didakwa itu – termasuk pusat judi dan rumah urut – sekiranya hudud dilaksanakan.
Harun turut mengulas dakwaan bahawa jumlah pelancong yang melawat negara ini akan berkurangan apabila kilang arak ditutup ekoran pelaksanaan hukum Islam itu.

Katanya, tindakan penutupan kilang "lagi bagus" kerana menurutnya, "orang barat datang bukan nak minum arak, kampung dia lagi banyak daripada kampung kita".

"Jadi kita boleh diri kilang lain pulak. Buat kilang jus rambutan, jus mangga dan banyak lagi. Akhirnya dihantar ke luar negara, orang putih tak payah datang sini," katanya.

Katanya lagi, usaha PAS untuk menerangkan mengenai isu hudud bagaimanapun terhalang dengan peranan "ulama jahat" dan "ulama fulus" yang didakwanya digunakan menewaskan hujah ulama PAS.

"(Ini merupakan) ulama yang disediakan oleh kerajaan – mufti kerajaan, ustaz kerajaan – kebanyakannya lah, bukan semua.

"Jadi dia dibekalkan dengan berbagai-bagai maklumat, berbagai cara untuk menewaskan, untuk mematahkan hujah ulama PAS," katanya.

Selain itu, penjelasan itu hudud juga terhalang dengan tindakan pemerintah yang melihat usaha PAS dengan "memakai kaca mata hitam", katanya.

"Kita buat benda baik, dia kata hitam sebab mereka memakai kaca mata hitam... Inilah, apa yang dilakukan, kerajaan memandang dengan kaca mata hitam. Oleh sebab itu, kita terpaksa menghadapinya," katanya.

Ujarnya lagi, beliau diturut dicadang untuk mengulas dalam ucapan perasmiannya mengenai isu kebebasan beragama – yang kembali menjadi tumpuan ekoran kenyataan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam satu forum pada 3 November lalu.

Harun berkata isu berkenaan hanya perkara remeh dan beliau hanya akan menumpukan soal pilihan raya yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Saya kata, saya tak ada masa yang bincang benda-benda kecil-kecil, kita bincang benda besar sahaja.

"Bagaimana kita mahu ahli-ahli kita bekerja keras, secara teratur untuk guling BN dalam pilihan raya," katanya yang disambut dengan laungan takbir.

0 Komen pengunjong :