KUALA TERENGGANU:
Kerjasama PAS dengan mana-mana parti politik dan badan bukan kerajaan
(NGO) tidak pernah merugikan parti sebaliknya pengaruh PAS berkembang.
Presiden
PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kerjasama PAS dengan
mana-mana pihak termasuk Umno pada tahun 1970 hingga 1978 tidak pernah
merugikan parti.
Menurutnya, meski pun ketika itu PAS kehilangan kerajaan di Kelantan serta dipecat oleh Barisan Nasional (BN) tahun 1978.
Namun, katanya pengaruh PAS berkembang di seluruh kementerian, pusat pengajian tinggi serta jabatan kerajaan.
“Sepanjang kerjasama dengan mana-mana pihak PAS tidak pernah rugi, termasuk kerjasama dengan Umno tahun 1970-1978.
Beliau
berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan
Fisabilillah dan Kuliah Dhuha di Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT)
Darul Iman, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, semalam.
Jelas beliau lagi, PAS turut menjalinkan kerjasama dengan Parti
Melayu Semangat 46 pada tahun 1990 dan Barisan Alternatif (BA) dengan
DAP tahun 1999.
Menurutnya, kerjasama PAS-Semangat 46 membawa
kejayaan kepada PAS di Kelantan dan kerjasama BA-DAP berjaya menawan
Terengganu tahun 1999.
“Tahun 2004, berlaku satu gelombang
penipuan dan 2008 kita (PAS) mara semula. Di mana Pakatan Rakyat menang
lima negeri iaitu Kelantan dipertahankan, Kedah kita (Pakatan Rakyat)
tawan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
“PAS memimpin tiga
negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Masalah jatuh (Perak) itu bab
lain. Selangor untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pulau Pinang untuk
DAP. Apa rugi kita, tidak ada yang rugi pun kepada PAS,” tegasnya.
Justeru,
Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan kerjasama
PAS-DAP dalam Pakatan Rakyat mengikut garis panduan ditetapkan oleh
Majlis Syura Ulamak PAS.
Menurutnya, sebarang kerjasama tersebut tidak bercanggah dengan Islam kerana PAS mempunyai prinsip agama yang teguh.
.
0 Komen pengunjong :