KOTA KINABALU: Parti-parti Pakatan Rakyat diyakini
tidak akan mudah pecah selepas pilihan raya umum nanti kerana
ketiga-tiga sangat memerlukan antara satu sama lain.
Bekas
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Yahya Lampong dalam wawancara
eksklusifnya dengan Harakahdaily berkata, jika mana-mana parti dalam
Pakatan itu keluar atau dikeluarkan, Pakatan akan hancur.
Bagi beliau, gabungan ini adalah perspektif baru dalam politik Malaysia dan bakal mendapat sokongan semua pihak.
Atas
dasar itulah, beliau yakin, kerajaan yang dibentuk oleh Pakatan dalam
pilihan raya nanti akan stabil dan tidak akan ada istilah 'minoriti
partner' di dalam gabungan itu sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan
pusat sekarang.
Ini kerana, ketiga-tiga parti perlu melayan rakan
mereka sama penting kerana masing-masing sedar kehilangan atau
kelemahan sokongan salah satu dari mereka akan merosakkan mereka
bersama.
Oleh itu, beliau yakin hubungan berdasarkan kepentingan
bersama ini akan menyebabkan ketiga-tiga parti akan menjaga kepentingan
rakan masing-masing.
Beliau juga yakin, mana-mana pihak yang akan
menjadi perdana menteri termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjaga
tingkah laku masing-masing dalam mentadbir negara.
"PAS akan
tetap PAS sampai bila-bila dan akan menegur mana-mana yang membuat
silap, ini saya yakin Anwar tahu. Begitu juga DAP, pemimpinnya akan jaga
intergritinya dan ini Anwar tahu," kata beliau.
Yahya
mengulas usaha yang dibuat oleh Umno sejak dari dahulu untuk menarik
PAS keluar dari bergabung dengan PKR dan DAP dengan melagakan antara
mereka.
Bagi beliau, usaha begitu dibuat Umno kerana mereka tahu, tanpa PAS Pakatan akan hancur sebagaimana tanpa DAP atau PKR.
Yahya juga yakin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedar perkara ini.
Jurunikah
Beliau manamakan Anwar sebagai 'jurunikah' PAS dan DAP dan seterusnya membentuk Pakatan Rakyat.
Melalui
gabungan ini, Yahya yang pernah menjadi menteri Sabah, Pengurus Besar
SEDC Sabah yang pertama dan lain-lain jawatan itu yakin, Pakatan akan
menang dalam pilihan raya umum akan datang.
"Saya yakin, kerusi
Sabah dan Sarawak hanya bonus sahaja. Pakatan sudah akan menang melalui
kerusi-kerusi di Semenanjung sahaja," kaya Yahya.
Beliau yang
mengumumkan tindakan keluar Umno minggu lalu memberi jaminan akan
menggunakan sepenuhnya pengalaman dan jaringan hubungan yang ada untuk
membantu PAS khasnya menyertai kabinet Sabah selepas pilihan raya umum
nanti.
Sehingga kini, PAS belum mempunyai Adun di tiga negeri iaitu Melaka, Sabah dan Sarawak.
Yahya
yakin, PAS bukan sahaja akan ada wakil dalam DUN Sabah selepas pilihan
raya umum akan datang tetapi beliau akan memastikan wakil PAS akan ada
dalam Kabinet Sabah.
Menurut Yahya, PAS akan menang paling kurang dua kerusi DUN Sabah dalam pilihan raya umum akan datang.
Ini kerana, beliau terlibat secara langsung dalam kedua-dua kerusi yang bakal ditandingi PAS itu sejak dari dahulu lagi.
PAS Sabah dijangka akan bertanding 11 kerusi DUN dan beberapa kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum nanti.
"Sikap dan peranan pemimpin PAS ini sangat penting untuk menjadi penentu arah perjalanan kerajaan negeri.
"PAS
sudah biasa jadi kerajaan dan biasa jadi pembangkang. Oleh itu, dia
akan berani membuat apa-apa teguran yang perlu jika sesiapa saja membuat
salah," katanya.
.
0 Komen pengunjong :