Jika
kaum Cina telah menentukan sikapnya untuk mendapatkan sebuah kerajaan
yang bersih dan cekap dengan menolak terus parti yang mewakili mereka,
MCA, orang Melayu juga sudah menampakkan sikap ingin berubah itu
walaupun setengah dari mereka masih terkongkong dan dipenjara oleh
partinya, UMNO. Kaum Cina telah menunjukkan sikap serius inginkan
perubahan dan ini adalah sikap yang amat bertanggungjawab.
Dalam perjumpaan saya dengan ramai rakan-rakan kenalan dari kaum ini,
saya dapat merumuskan yang mereka sangat serius dan inginkan perubahan
berlaku. Jika perubahan tidak berlaku mereka merasakan yang negara akan
terjerumus kedalam lembah kehancuran yang tidak akan dapat diperbaiki
dan akan memakan masa yang lama untuk memperbetulkannya.
Semasa negara mencapai kemerdekaan negara kita merupakan sebuah yang
miskin tetapi dalam jangka masa yang agak cepat negara kita telah
berubah menjadi sebuah negara yang sedang membangun. Untuk membangunkan
negara ia memerlukan penyertaan dari rakyat yang menyeluruh dan kaum
Cina yang telah begitu lama terlibat dalam perniagaan dan perindustrian
memainkan peranan yang begitu jelas dalam penyertaan mereka membangunkan
ekonomi negara.
Kaum Cina telah berniaga ratusan tahun sebelumnya dan mereka mudah
untuk mendapatkan modal bagi apa-apa perniagaan mereka. Mereka terlibat
dalam semua jenis perniagaan dan perdagangan sedangkan kita orang Melayu
semasa mula mencapai kemerdekaan masih jauh tertinggal di belakang dan
memerlukan dasar-dasar yang kuat untuk menuju ke tahap berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah.
DEB yang dipersetujui dan juga mendapat sokongan dari semua kaum
dilancarkan kerana semua kaum termasuk kaum Cina memahami untuk
mendapatkan sebuah negara yang aman kedudukan ekonomi di antara rakyat
berbilang kaum itu perlu ‘equitable’. Bidang ekonomi adalah bidang yang
sangat penting untuk kerajaan menyelaraskan dengan baik bagi mencapai
matlamat yang satu, iaitu pencapaian ‘Perpaduan Nasional’ yang
berkekalan.
Orang Melayu pula dibangunkan dan dididik untuk menyertai bidang
‘commerce and industry’ ini dan dibantu oleh kaum lain dengan jujur
kerana mereka mahukan kaum Melayu menjadi maju kerana mereka memahami
yang kestabilan negara akan hanya boleh dicapai jika kaum Melayu dan
Bumiputra memperolehi peluang dan bersama-sama menikmati kekayaan negara
secara ‘equitable’.
Orang-orang Melayu pula serius belajar untuk menjadi penggiat
‘commerce and industry’ ini dan telah menampakkan kejayaan yang pesat
terutamanya semasa pimpinan Tun Razak dan Tun Hussein Onn kerana
pimpinan Melayu begitu taksub dan jujur untuk menjayakan dasar yang
telah lama digubal oleh pimpinan Melayu dan bukan Melayu semasa zaman
itu. Masing-masing kaum bekerja keras untuk melihat kejayaannya sehingga
pegangan ‘equity’ Bumiputralah melonjak ke tahap 18.2 peratus pada
tahun 1984 dahulu dari pegangan kekayaan yang hanya 2.7 peratus semasa
dasar itu mula dilaksanakan.
Di kementerian-kementerian serta jabatan kerajaan semasa itu wujud
apa yang dinamakan ‘Unit Penyertaan Bumiputra’ yang memainkan peranan
untuk memberi peluang untuk orang Melayu dan Bumiputra mendapatkan
bantuan dan peluang menyertai bidang perniagaan dan perindustrian itu.
Tetapi ‘unit penyertaan bumiputra’ ini telah dihapuskan kerana pimpinan
selepas Tun Hussein tidak senang dengan kewujudan unit ini kerana ia
menyusahkan kerajaan dan pimpinan selepas Tun Hussein untuk melakukan
kehendak dan keinginan mereka untuk membina kronism.
Apabila kerajaan zaman Dr Mahathir tidak serius dan mengabaikan dasar
yang masih jauh untuk mencapainya semasa itu, orang Melayu terbantut
pembangunannya. Kalau tidak masakan Melayu hanya mendapat pencapaian
sebanyak 19.6 peratus sahaja pegangan kekayaan negara selama 22 tahun Dr
Mahathir menjadi teraju negara. Dasar yang memberikan keistimewaan
kepada orang Melayu yang ramai itu telah dikuasai oleh segelintiran
Melayu dan menggunakan di atas nama Melayu dan kumpulan kronism ini
telah menguasai segala-galanya dan usaha membangunkan orang Melayu
melalui DEB itu telah terbantut.
Hanya beberapa kerat orang Melayu sahaja yang telah mendapat faedah
dari pimpinan Mahathir dan mereka kebanyakannya adalah di kalangan
mereka yang berada di ‘corridor of power’ sahaja. Mereka mengambil
keuntungan yang terlalu besar melalui konsep penswastaan yang
diperkenalkan oleh Dr Mahathir dan rasuah mula bercambah melalui kontrak
runding terus yang diperkenalkan oleh kerajaan BN semasa itu. Pimpinan
juga mengambil kesempatan untuk menjadi orang-orang kaya yang berlebihan
melalui dasar yang sepatutnya diraih oleh orang Melayu yang ramai.
Orang-orang Cina mula merasakan yang kerajaan tidak serius untuk
membangunkan negara mengikut dasar teguh yag telah digubal itu. Mereka
menjadi sasaran perasuah besar di kalangan pimpinan kerana mereka (kaum
Cina) yang berniaga terpaksa membayar harga yang terlalu mahal kerana
semua pihak terpaksa ‘dijaga’ kerana budaya rasuah sedang berkembang
dengan pesatnya di kalangan pimpinan Melayu di bawah pentadbiran Dr
Mahathir (sehingga sekarang).
Pendeknya orang-orang Melayu terbantut pembangunan mereka dan orang
Cina terpaksa menahan sabar dengan keranah pentadbiran kita yang begitu
terjerumus dengan rasuah dan salah guna kuasa yang mereka terpaksa
menanggung kerugian besar kerana sikap rasuah pimpinan dan pentadbiran
itu. Kaum Cina sedar yang orang Melayu sendiri tidak berpuas hati
seperti mereka (pimpinan kerajaan) juga, tetapi perbezaannya orang
Melayu dibuai dengan retorik UMNO untuk Melayu dan penjamin bagi masa
depan mereka. Kepercayaan ini telah tertanam didalam sanubari dan
pemikiran mereka. Media massa memainkan isu ini setiap masa untuk
mengelakkan orang Melayu dari memindahkan sokongan mereka kepada pihak
lain terutamanya kepada PAS.
Tindakan UMNO memainkan isu rasis untuk memecahkan perhubungan dan
permuafakatan di antara PAS dan DAP itu akan memakan diri UMNO sendiri.
Usaha untuk membenci bangsa Cina oleh UMNO itu menunjukkan yang pemimpin
UMNO tidak menyedari yang pembangunan negara ini dimainkan oleh bangsa
Cina sebegitu tinggi dan orang Cina tahu yang mereka merupakan
penyumbang besar kepada perbendaharaan negara yang diselewengkan oleh
pimpinan UMNO itu.
UMNO tidak lagi berkeyakinan untuk mendapat sokongan dan mandat dan
sehingga sekarang ini masih tidak berkeyakinan untuk memanggil
pilihanraya. Selain dari ketidakyakinan parti itu untuk mendapat
sokongan, UMNO sedang berhadapan dengan tindakan mensabotaj parti yang
pasti akan berlaku dan ini telah berlaku secara berluas-luasa dalam
pilihanraya yang lalu.
Kita tahu apa ‘sequence of events’ dalam UMNO selepas ini. UMNO akan
lebih berpecah lagi sebaik sahaja nama dan senarai calon diumumkan oleh
UMNO dalam pilihanraya kali ini. Perasaan tidak berpuas hati terhadap
calon yang bakal diumumkan nanti, akan menambah kekalutan dalam parti
itu dan itulah yang akan membawa padah kepada sebuah parti yang ditadbir
dan diurus oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab atau tidak tahu
bagaimana untuk bertanggungjawab.
Perbalahan di antara sesama mereka dalam PRU ini nanti akan menjadi
penyumbang utama kepada kekalahan UMNO dalam banyak kerusi di seluruh
negara. Masing-masing merasakan yang masing-masing itu merupakan calon
yang paling layak tanpa menyedari yang parti mereka itu bukanlah parti
yang ‘winnable’ lagi.
Jawatankuasa yang ditubuhkan untuk memantau tindakan mensabotaj parti
yang baru ditubuhkan itu tidak akan membawa parti itu kemana-mana.
Sama-samalah kita saksikan nanti. -
http://aspanaliasnet.blogspot.com
Polis tahan kambing gemar kejar orang
1 day ago
0 Komen pengunjong :