Isu Soros jadi 'bumerang' buat BN - Pakatan Rakyat

Isu Soros jadi 'bumerang' buat BN, kata PakatanKUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) mendakwa kenyataan dibuat pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) mengenai George Soros, sering berubah-ubah disebabkan agenda politik mereka dan bakal menjadi "bumerang" kepada perikatan itu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada tahun 1997 dan 1998, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan Soros adalah penyangak mata wang, namun pada tahun 2006, Dr Mahathir menafikannya setelah pertemuan mereka diadakan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pada 2012 kerajaan BN menimbulkan semula isu Soros dan mengaitkannya dengan PR yang menerima dana daripadanya serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin turut mengubah 'skrip' percakapannya mengenai Soros.
Justeru, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kenyataan daripada pemimpin BN bercanggah dan sering berubah-ubah apabila bukti berjaya didedahkan oleh pemimpin PR.
"Kenyataan pemimpin BN yang sering berubah mengenai Soros, memang mempunyai agenda politik tertentu.
"Hari ini kata lain, esok kata lain, dan Soros tak pernah jumpa Karpal Singh, Anwar Ibrahim, Nik Aziz dan pemimpin PR yang lain, tetapi kita tengok Soros berjumpa dengan Perdana Menteri dan pemimpin Umno," katanya kepada Sinar Harian Online.
Akhbar semalam memetik Muhyiddin dilaporkan berkata, isu George Soros yang ditimbulkan kembali bukan bertujuan dijadikan modal politik tetapi sebagai peringatan tentang tindakan penyangak mata wang itu yang mahu menjatuhkan kerajaan.
Beliau juga berkata, tidak timbul isu itu akan memberi kesan buruk kepada BN kerana banyak pihak yang mempersoalkan peranan penyangak mata wang berbangsa Yahudi itu yang membantu beberapa pertubuhan di negara ini untuk menjatuhkan kerajaan dan mempertikaikan banyak perkara.
"Umum mengetahui peranan Soros di banyak negara, ini satu kenyataan yang perlu kita sedari kerana kalau rakyat tidak menyedarinya, ia adalah satu perkara bahaya. Peringatan oleh Tun Mahathir adalah satu kenyataan dan badan-badan yang mengharap bantuan Soros perlu sedar tindakan itu tidak membantu negara.
"Rakyat boleh menilai, kalau kita biarkan bermakna kita mahu kuasa asing menguasai negara dan Soros mahu menggunakan kuasa wang untuk menimbulkan masalah dalam negara kita. Kita tidak gunakan itu sebagai 'political mileage' tetapi kenyataan yang perlu dijelaskan," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berpandangan bahawa serangan yang kini dijalankan BN ke atas Soros boleh "memakan diri sendiri" kelak.
Mengulas lanjut, Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub pula berkata, isu Soros yang dimainkan BN adalah untuk menjadikan bahan mengaitkan individu tertentu pada tahun 1990 yang terlibat dengan penyangak mata wang itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, isu Soros akhirnya menjadi 'bumerang', yang akan makan diri sendiri seperti yang dikatakan oleh Saifuddin, ahli Majlis Tertinggi Umno, baru-baru ini.
"Isu Soros sengaja dibangkitkan untuk mengaitkan beberapa pemimpin PR yang akhirnya menjadi 'bumerang' kepada mereka (BN)," katanya.
.

0 Komen pengunjong :