KUALA
LUMPUR, 5 Okt — Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencabar kes-kes
rasuah melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang korup terlebih
dahulu sebelum berhasrat untuk membanteras rasuah.
Cabaran itu dilontar oleh Guan Eng bagi membidas ucapan perdana
menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak semasa upacara pembukaan
Persidangan Persatuan Pencegah Rasuah Antarabangsa.
Dalam ucapan tersebut, PM menyeru pemimpin dari semua lapisan
masyarakat menonjolkan nilai-nilai yang betul dan kelakuan beretika agar
membantu dalam usaha membanteras rasuah.
“Adakah pemimpin BN mampu mengisytihar harta secara terbuka, mampu
melaksanakan tender terbuka, mampu mengelak keluarga daripada urusan
perniagaaan dengan kerajaan dan beranikah Najib menggugurkan pemimpin BN
yang mempunyai gaya hidup mewah?,” kata Guan Eng dalam kenyataan kepada
media.
Menurut Guan Eng lagi, penurunan Malaysia dalam tangga Indeks
Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International
daripada nombor 37 pada tahun 2003 kepada nombor 60 pada tahun 2012
adalah bukti kukuh kegagalan kerajaan BN untuk membanteras rasuah.
Turut disentuh oleh Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut ialah
melibatkan perkahwinan “Malaysian Book Of Record” anak lelaki Ketua
Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam hingga menyebabkan campur
tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah
memulakan siasatan hari ini.
“Sekali lagi, Najib telah gagal buktikan diri dalam usaha membanteras
rasuah sehingga Ketua Menteri Melaka sendiri boleh dengan bangganya
menganjurkan kenduri kahwin anaknya untuk seramai 130,000 orang. Tidak
kisahlah siapa yang bayar atau berapa jumlah harga kenduri tersebut,”
tambah Guan Eng.
Malahan pemimpin DAP tersebut juga mempersoalkan sikap Najib yang
seolah-olah berdiam diri terhadap isu kekayaan luarbiasa keluarga Ketua
Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud yang didakwa bernilai
berbilion-bilion ringgit.
“Betapa besarnya kekayaan keluarga Taib ini telah dibuktikan dalam
kes perceraian anaknya Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, di mana bekas
isterinya telah mendedahkan bahawa beliau mempunyai kekayaan bernilai
sekurang-kurangnya RM1 bilion, dengan akaun-akaun peribadi di serata
dunia.”
Tegas Guan Eng lagi, Najib sebagai seorang pemimpin negara perlu
segera mengambil langkah yang tegas tanpa memilih bulu serta komited
dalam usaha membanteras rasuah dan bukannya sekadar bercakap kosong
tetapi tidak melakukan sesuatu.
“Sekiranya Najib ingin meyakinkan rakyat Malaysia tentang usahanya
untuk membanteras rasuah, maka beliau harus menginstitusikan
pengisytharan harta secara terbuka, gugurkan pemimpin BN yang hidup
mewah dan menginstitusikan tender terbuka,” ujar Guan Eng lagi.
.
0 Komen pengunjong :