TEMERLOH:
Tindakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang memperlekeh
dan menghina masyarakat Orang Asli (OA) yang berdemo dan menyerahkan
memorandum kepada beliau semalam, dianggap tidak profesional dan
memalukan.
Malah tindakan beliau yang sanggup mengucapkan perkataan 'bodoh' dan
'bangang' serta telah mencabar seorang OA bernama Ong Chong bergaduh
dengannya, jelas memperlihatkan sikap tidak hormat kepada rakyat.
Timbalan Ketua Perhubungan PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid berkata,
beliau sangat kesal dan kecewa serta mengecam tingkahlaku Adnan dan
menuntut Menteri Besar (MB) itu menuntut maaf dengan OA.
“Ketika OA berdemo dan menyerahkan memorandum kepada MB Pahang
semalam, Majlis Peguam telah memantau dan terdapat laporan beliau
(Adnan) telah memperlekeh dan menghina masyarakat OA dengan mengeluarkan
perkataan 'bodoh' dan 'bangang'.
“Malah beliau telah mencabar seorang OA bernama Ong Chong untuk
bertumbuk dengannya. Saya selaku alah seorang panel peguam kepada OA
dalam isu tuntutan yang dibuat mereka, sangat kesal dan kecewa serta
mengecam tingkah laku MB Pahang yang jelas sangat tidak bertamadun dan
langsung tidak punya rasa hormat kepada rakyat,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada media mengulas kira-kira 500 OA
melalui Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) yang
berkampung di pekarangan Wisma Sri Pahang di Kuantan, semalam bagi
menyerahkan memorandum mengenai pencerobohan, tuntutan tanah dan wilayah
adat kepada MB.
Melalui memorandum berkenaan, sebanyak lapan perkara dibangkit dan
dituntut oleh kumpulan berkenaan serta mereka bertegas menyerahkan
sendiri kepada MB.
Kumpulan Orang Asli dari seluruh Pahang berkenaan tiba kira-kira jam
11 pagi dengan membawa sepanduk yang antaranya tertera “Batalkan status
tanah rizab yang bertindih dengan tanah adat orang asli”, “Iktiraf hak
dan tanah adat Orang Asli” dan pelbagai lagi perkara menjurus
kepentingan tanah adat kaum mereka.
Ahmad Nizam yang juga peguam kepada komuniti berkenaan, berkata,
memorandum yang diserahkan itu adalah penyataan bersama seluruh
masyarakat Orang Asli melalui JKOASM sebagai tanda melahirkan
kesepakatan supaya kawasan atau tanah dan wilayah diiktiraf.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini sering wujud pertikaian antara kerajaan dan masyarakat orang asli mengenai perkara tersebut.
“Tanah yang kaum OA diami sejak dari zaman nenek moyang sering
dikatakan sebagai tanah kerajaan, rizab perhutanan, rizab Perhilitan dan
rizab Melayu sehingga tanah serta wilayah adat mereka dipindah milik
atau diberi kelulusan kepada pihak lain.
“Melalui memorandum berkenaan mereka mahukan segala aktiviti yang
sedang berjalan di atas tanah dan wilayah adat OA dihentikan, menarik
balik lesen yang telah diberi kepada semua kontraktor yang bekerja di
atas tanah wilayah adat dan membayar pampas an sewajarnya di atas
kerugian kami alami.
“Selain itu, kerajaan harus membatalkan semua rizab bertindih dengan
tanah dan wilayah adat OA bagi membolehkan pengiktirafan atau
perlindungan serta mengiktiraf seluruh tanah dan wilayah adat OA
mengikut peta komuniti,” katanya.
Memorandum berkenaan turut mengandungi sebanyak 6,000 tandatangan OA mewakili kaum mereka di seluruh Pahang.
0 Komen pengunjong :