BN pun tiada kabinet bayangan

Serangan terbaru UMNO BN kali ini berterusan dengan menyerang Pakatan Rakyat yang tidak menampilkan kabinet bayangannya jika menang dalam PRU 13 ini kelak. Pastinya barisan kabinet PR itu kelak (jika diumumkan) akan diputar-putar menjadi bahan untuk melagakan anggota PR. Sudah terang lagi bersuluh, ini suatu kerja bodoh untuk dilakukan oleh PR.
Bercakap tentang kabinet bayangan ini, katanya di Parlimen UK, memang wujud kabinet bayangan ini. Ia wujud semasa kerajaan yang dipilih itu memerintah, bukan sekadar semasa kempen pilihanraya. Ia secara tidak langsung menjadi satu sistem ‘semak dan imbang’ tentang kerja-kerja kerajaan yang sedang berjalan yang akan sentiasa dipantau oleh barisan kabinet bayangan tersebut.

Kabinet bayangan dalam realpolitik
Katanya lagi, kabinet banyangan di UK ini diiktiraf sebagai satu elemen secara sah disisi undang-undang. Maka, kabinet bayangan ini bukanlah sekadar retorik politik untuk kempen raih undi, sebaliknya ia memang satu sistem yang berfungsi seperti mana yang telah disahkan oleh undang-undang British. Katanya lagi, menteri-menteri kabinet bayangan (yang terdiri dari parti pembangkang) memang dibayar separuh dari jumlah gaji menteri kabinet yang sedang berfungsi.
Katanya lagi, ia berfungsi sedemikian kerana mahu memastikan kabinet bayangan ini juga membuat kerja dengan betul, bukan makan gaji buta untuk kepentingan politik sempit. Nah, sistem kabinet bayangan di UK ini rupanya lebih memahami yang mana politik sampah dan yang mana realpolitik.
Justeru, pasti ada yang berkata, pasti duit cukai rakyat akan habis untuk menggajikan semua menteri kabinet banyangan ini. Tetapi tidak, sistem kabinet bayangan di UK ini pula, bukanlah mencakupi semua portfolio (kementerian). Ia hanya meliputi beberapa kementerian yang penting contohnya, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Undang-undang dan Keselamatan dan Kebajikan.
Ia sekitar empat ke lima portfolio sahaja. Bergantung kepada saiz kabinet kerajaan itu sendiri. Ini disebabkan, sistem kabinet bayangan ini hanya bertujuan untuk memantau beberapa kementerian yang sangat penting yang banyak melibatkan kepentingan awam.  Maka, menteri-menteri kabinet bayangan pembangkang ini bertanggungjawab pula untuk memantau secara rasmi dengan mendapat akses maklumat dan dokumen setiap kerja yang dibuat oleh kementerian terbabit. Ini pastinya meningkatkan mutu kerja, pentadbiran dan secara tak langsung ia pasti meningkatkan mutu perdebatan politik.

Retorik Kabinet Bayangan di Malaysia
Tetapi di Malaysia, sistem pemerintahan yang kita ada dikatakan mengambil model British iaitu Westminster, namun demikian sistem kabinet bayangan ini hanya menjadi isu, bukan diimplimentasi menjadi realpolitik sebagaimana yang dipraktikan oleh model Westminster itu sendiri. Tetapi ‘ini model dan acuan kita’, inilah alasan klise UMNO BN.
Akhirnya semua perkara-perkara baik, tidak dapat diterjemah dengan sihat untuk rakyat fahami malah ia menyimpang hingga menjadi politik murahan. Inilah yang sedang dijaja oleh UMNO.
Malah Parlimen kita juga agak miskin dari segi semangatnya. Ahli Parlimen pembangkang langsung tidak ada peruntukan untuk mengupah tenaga kerja pakar dan penyelidik untuk membantu kerja-kerja parlimen dalam merangka, membahas dan merencana dasar negara.
Akhirnya, ini juga menjadi salah satu faktor penyumbang lahirnya ‘perbahasan politik yang murah’ di Parlimen.
Parlimen kita hanya gah dengan bangunannya. Itu sahaja.
Sekarang UMNO nak bercakap tentang kabinet bayangan? Hentikanlah.

–/ Roketkini.com
.

0 Komen pengunjong :