AKTRES filem mencetuskan amarah masyarakat Islam
dunia, terpaksa menelan pil tidur apabila merasa dikecam dan tidak
selamat selepas protes dan pembunuhan berlaku berikutan tersiarnya klip
video Innocence of Muslims di YouTube sejak seminggu lalu.
Anna Gurji, 21, mendakwa melakonkan watak isteri muda kepada seorang
lelaki bernama George, tetapi pengarahnya Nakoula Basseley atau dikenali
sebagai Sam Bacile, bertindak menukarnya kepada Muhammad.
"Saya tidak tahu George ditukar kepada Muhammad. Kini saya hanya
berkurung di rumah. Saya bimbang masyarakat dunia memusuhi saya kerana
filem itu.
"Saya penganut Kristian Katolik, jadi mereka terfikir saya juga
menentang Islam.Saya berasa dikhianati Bacile. Saya telah dikenali
seluruh dunia dan jujur saya akui berasa malu apabila menonton watak
itu," katanya kepadaThe Mail Online.
Gurji berkata, selain beliau barisan pelakon filem itu turut
diperbodohkan Bacile yang kononnya tajuk filem berkenaan adalah Desert
Warrior atau Innocence of Bin Laden selain langsung tidak berkaitan
dengan isu keagamaan.
"Saya diberi watak sebagai Hilary. Menurut Bacile, filem itu
mengisahkan sebuah komet jatuh di kawasan Timur Tengah, dan perebutan
komet berlaku sehingga cetus peperangan untuk merebutnya.
"Filem itu sepatutnya mempunyai banyak kesan khas kerana kami berlakon
di hadapan layar hijau. Kos penggambaran rendah, saya hanya dibayar $75
(RM227.73) sehari.
"Saya tidak tahu bagaimana Bacile boleh menukar jalan cerita itu.
Mungkin saya bodoh tetapi tiada sesiapa menceritakan hal sebenar.
Tiada seorang pun daripada barisan pelakon terfikir filem ini mempunyai
agenda rahsia," katanya mengakui filem itu dirakamkan di California.
Bahana Innocence of Muslims
Nakoula dibawa oleh pegawai persekutuan selepas menyerah diri, kelmarin.
Rusuhan dan protes yang tercetus sejak 11 September lalu dilihat
sebagai pengulangan memori insiden serangan di Menara Berkembar di New
York, Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengilhamkan pengikut anti-Islam
dengan menuduh Islam adalah ganas dan jahat.
Jika filem Innocence of Muslims tidak disiarkan, pastinya bangunan
Kedutaan AS di Libya tidak dibakar sehingga meragut empat nyawa.
Rentetan itu, pastinya lebih 20 Kedutaan AS di seluruh dunia tidak
diserang masyarakat Islam yang berang dengan tindakan Bacile.
Seterusnya, Presiden AS, Barack Obama tentu tidak akan menghantar
tenteranya ke Libya dengan satu tujuan iaitu untuk membalas dendam ke
atas kematian rakyatnya. Namun, Obama menggunakan alasan mahu
bekerjasama bagi menangkap pembunuh dutanya, Christopher Stevens.
Jelas sekali, filem berkenaan telah mencetuskan protes secara
besar-besaran dari Maghribi sehingga ke Malaysia. Setakat ini, tujuh
terbunuh, ribuan cedera dan rusuhan menular ke Sydney, Australia,
semalam.
Semalam, AS terpaksa memanggil balik dutanya di Sudan dan Tunisia
selepas mendapat amaran, Al-Qaeda bakal menyerang kerajaan Obama di Arab
dan Barat.
Si penghina Nabi disiasat
Masuk hari kelima, protes filem pendek Innocence of Muslims, lelaki
Kristian Koptik, Bacile yang berperanan sebagai penerbit dan pengarah
filem itu menyerah diri untuk disoal siasat pegawai persekutuan di balai
polis Cerritos, Los Angeles, kelmarin.
Bagaimanapun, Bacile, 55, hanya disoal siasat mengenai penglibatan
jenayah kewangan yang berpotensi untuk dipenjarakan semula selepas
menjalani hukuman penjara selama 21 bulan kerana kesalahan penipuan bank
pada tahun 2010.
Jurucakap polis memberitahu, pihak berkuasa tidak melakukan siasatan ke
atas projek filem berkenaan dan jika sekalipun ia pencetus keganasan
kerana AS tidak mengiktirafnya sebagai jenayah berikutan ia termasuk di
dalam akta kebebasan bersuara.
.
0 Komen pengunjong :