KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat (PR) menawarkan gai minima
RM1,100 kepada kakitangan awam dalam Belanjawan 2013 yang bertemakan
‘Ekonomi Rakyat, Negara Berkat’.
Selain itu menaikkan bantuan kebajikan kepada RM550 sebulan bagi meringankan beban golongan miskin.
Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam taklimat
belanjawan yang diadakan hari ini, penetapan gaji minima tersebut akan
memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 penjawat awam.
Kata Anwar, kenaikan tersebut bakal melibatkan perbelanjaan sebanyak
RM2 bilion dan mampu memberi kesan kepada kenaikan gaji dari pelbagai
sektor lain dengan kenaikan dalam lingkungan dua hingga lapan peratus.
“Meningkatkan Pembayaran Kebajikan daripada RM300 sekarang kepada
RM550 sebulan yang boleh membebaskan 84,000 keluarga yang mempunyai
pendapatan di bawah paras RM500 sebulan daripada kemiskinan,” kata
Anwar.
Selain itu semua data dari agensi kerajaan termasuk Risda, Felcra dan
lain-lain akan disatukan ke dalam pengkalan data Jabatan Kebajikan bagi
memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan one-off sebanyak RM500 kepada
golongan yang terjejas akibat kejatuhan harga getah dan lain-lain
komoditi.
Dalam belanjawan yang terlebih dahulu diluluskan dalam mesyuarat
Majlis Presiden Pakatan Rakyat itu turut menyasarkan unjuran pertumbuhan
ekonomi 2013 sebanyak 5.2 peratus dengan kadar inflasi 3.0 peratus.
Dalam taklimat yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat
itu, Anwar turut mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak yang sering gagal mencapai unjuran yang disasarkan.
Taklimat Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 itu turut dihadiri Menteri
Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng,
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan pemimpin lain dari ketiga-tiga
parti pakatan itu.
.
0 Komen pengunjong :