Dr Asri: Umno masih guna hujah agama tahun 80-an


Bekas mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin mengkritik sesetengah pemimpin Umno yang didakwanya masih menggunakan hujah PAS pada 1980-an, antaranya berhubung isu sokongan kepada calon bukan Islam.

Dr Asri mendakwa masih terdapat pemimpin Umno mendakwa tidak boleh mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya, sedangkanPAS kini tidak lagi bercakap mengenai perkara itu lagi.

"Ini masalah kepada (pemimpin) Umno. Dia cuba menonjolkan dirinya lebih Islamis daripada PAS dengan mengambil tafsiran PAS era 80-an. Tak boleh pangkah, tak boleh undi, tak boleh campur dengan orang kafir.

"Saya dengar perkara ini masa saya sekolah rendah dulu. PAS pun tak bercakap (lagi) dan tapi Umno pula cakap, tak boleh undi non-Muslim.

"Saya tak sokong belah mana, tapi awak kata tak boleh untuk orang, tapi boleh untuk kamu, itu yang pelik," kata Dr Asri menjawab soalan hadirin berhubung mengundi dan memberi ketaatan kepada bukan Muslim.

Bercakap dalam forum fikah politik Islam di Shah Alam, Dr Asri juga beliau menggesa tindakan tersebut dihentikan dan memilih calon yang "kurang membawa mudarat dan memberi lebih manfaat".

Demo: Tembak gas buat apa?
Katanya, calon yang dipilih mewakili rakyat mestilah berfungsi boleh menyampaikan hasrat pengundi di kawasan yang diwakilinya.

Mengulas mengenai isu semasa seperti demontrasi terhadap dasar kerajaan, Dr Asri berkata perkara itu dibolehkan dengan syarat-syarat tertentu.

"Dalam kerajaan dalam bentuk demokrasi, boleh berhimpun tetapi mereka tidak boleh mengganas atau merosakkan harta benda.

"Tujuan berhimpun sekadar untuk mengubah apa yang mereka rasa sukar. Sebab itu, saya cadang kepada pihak kerajaan lain. Biar mereka berhimpun, kerajaan tolong beri air, roti. Jadi semua orang gembira.

"Terima kasih banyak daripada perdana menteri di atas perhimpunan ini, kes ini akan di bawa ke tengah. Cukuplah. Apa masalahnya. Yang pergi tembak (gas) buat apa. Ia mengundang masalah baru, melainkan dia mengganas," katanya.

Mengulas mengenai hukum memilih perdana menteri wanita, Dr Asri berkata tidak menyokong pandangan yang "mutlakkan" pengharaman wanita menjawat jawatan tersebut.

Beliau mengulas perkara tersebut selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Mentaati Pemerintah: Di antara Literal dan Maqasid" di Konvensyen Fikah Politik Islam Semasa di Shah Alam petang ini.
.

0 Komen pengunjong :