SUARAM
bukanlah mangsa pertama. Sebelum ini BERSIH 2.0, yang merupakan
gabungan lembaga swadaya masyarakat (NGO) yang memperjuangkan pilihan
raya yang bersih dan adil turut menerima nasib serupa. Diserang
bertubi-tubi sebagai pertubuhan haram dan tidak berdaftar, menerima dana
asing, diserap pengaruh komunis dan pelbagai tuduhan. Syukur serangan
tidak berlarutan sehingga menuduh BERSIH 2.0 mempunyai jaringan dengan
makhluk Marikh untuk menakluk bumi.
Kini SUARAM pula berdepan serangan yang hampir sama. Pertuduhan yang
tidak jauh beza dan lebih tertumpu kepada hal-hal teknikal. Rakyat dapat
melihat bagaimana Menteri dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia, Ismail Sabri Yaakob cuba mengganggu
dan mempengaruhi siasatan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Disambut serangan demi serangan daripada media yang dikuasai pemerintah.
Menumpukan pada isu dana asing dengan tujuan untuk mencemar wibawa NGO
ini.
Serangan yang lebih dasyat dijangkakan apabila
News Straits Time mencanangkan
bahawa dana-dana asing disuntik kepada beberapa NGO bagi tujuan
menggoyah kerajaan UMNO BN. Tentu sekali ia cubaan awal mengolah
persepsi dan menghantar isyarat bahawa gendang kempen mengganyang
NGO-NGO yang kritis terhadap pemerintah sudah dipalu.
Kestabilan Parti Pemerintah
Tentu UMNO BN tidak berminat dengan SUARAM sekiranya aktiviti mereka
adalah menghasilkan bendera Malaysia menggunakan tempe. Bagi yang sering
mengikuti saluran berita-berita alternatif pasti mengetahui akan usaha
SUARAM menjejak dan membongkar skandal Scorpene hingga ke negara
Perancis.
SUARAM dalam kempennya telah cuba mendedahkan korupsi bernilai
berbilion-bilion ringgit dalam pembelian kapal selam dan penjual rahsia
negara kepada syarikat Perancis. Dan cubaan ini turut berkemungkinan
membuka semula kes pembunuhan seorang model Mongolia yang mempunyai
kaitan dengan urusan pembelian itu.
Sebagaimana Bersih 2.0, semua aktiviti yang dijalankan memberi
ancaman, tetapi persoalannya kepada siapa? Apakah negara rugi besar
sekiranya korupsi-korupsi didedahkan?
Bukan kestabilan kerajaan Malaysia yang digugat oleh aktivisme
sedemikian, tetapi kestabilan parti yang memerintah. Pemerintah
kelihatan sudah mula rimas dengan NGO-NGO yang kritis terhadap mereka.
Ini tidaklah menghairankan memandangkan pemerintah sendiri dengan
bongkak memandang parti pembangkang sebagai musuh negara dan lupa terus
dengan peranan semak dan imbang yang dimainkan mereka. Kini muncul pula
NGO-NGO melakukan semak dan imbang dengan lebih agresif, tentu bertambah
menyesakkan dada.
COINTELPRO
Tindakan pemerintah ke atas SUARAM diikuti gembar-gembur media
kawalan mereka memberi gambaran telah bermulanya program COINTELPRO
terang-terangan terhadap NGO-NGO.
Pernah di Amerika Syarikat, COINTELPRO atau
Counterintelligence digunakan
untuk menghancurkan gerakan-gerakan progresif rakyat.
Pertubuhan-pertubuhan haluan kiri, nasionalis kulit hitam,
pejuang-pejuang anti-perperangan dan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan
dengan kerajaan menjadi mangsa program ini.
Antara perkara yang dilakukan termasuklah pengawasan elektronik,
pemalsuan dokumen, menyebarkan maklumat-maklumat palsu, mereka-reka
bukti, penahanan bagi tujuan menakut-nakutkan, propaganda hitam dan
banyak lagi.
Mathieu Deflem di dalam
Surveillance and Governance: Crime Control and Beyond
telah mendedahkan perkara-perkara yang ingin dicapai melalui program
COINTELPRO dan antaranya adalah mencipta imej buruk sasaran di mata
awam.
Maka tidak mustahil apabila perkara yang paling dicanang-canang
adalah isu dana asing. Ini kerana ia mudah untuk mengolah sentimen
bahawa terdapat pihak luar mahu campur tangan dalam urusan negara.
Mengambil kesempatan terhadap salah tanggapan bahawa penerima dana
adalah askar upahan yang dicucuk hidungnya.
Melupakan terus bahawa pembangunan Malaysia sendiri bergantung kepada
dana asing dan dasar Malaysia kini banyak membuka pintu buat pelabur
asing. Menyembunyikan terus bahawa prosedur mendapatkan dana ini sama
sahaja dengan mana-mana prosedur untuk mendapatkan dana bagi
penyelidikan-penyelidikan terutamanya dalam institusi-institusi
pendidikan.
Berhenti Membuli
Ketika Perdana Menteri masih berangan-angan menjadikan Malaysia
‘demokrasi terbaik dunia’, aktor-aktor di dalam kerajaan pula sedang
berusaha mencari hujah-hujah teknikal untuk membenam NGO-NGO yang tidak
sehaluan. Mengorek apa sahaja yang mampu dijadikan senjata untuk
merosakkan imej dan seterusnya wibawa NGO-NGO yang melakukan semak dan
imbang, memberikan input dan kritik ke atas dasar-dasar.
Gerakan masyarakat sivil mempunyai fungsi dan sumbangan yang
tersendiri dalam memperkukuh demokrasi. Tetapi sekiranya pemerintah
hanya berminat memberikan layanan penuh kasih sayang pada NGO-NGO yang
senada dengannya. Maka bolehlah peribahasa lama diberi nafas baru dan
ditujukan kepada pemerintah, “Autokrat berbulu demokrat.”
-/
roketkini.com
.
0 Komen pengunjong :