SHAH ALAM - Sambil menegaskan Umno yang patut menyertai Pas, Pemuda Pas
mencabar Umno membentangkan rang undang-undang hukum hudud di Parlimen
terlebih dahulu daripada mempelawa parti Islam itu menyertainya ataupun
Barisan Nasional (BN).
Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, beliau yakin wakil rakyat
Pas akan menyokong langkah itu jika Umno sanggup berbuat demikian.
"Saya cabar Umno siapkan dulu draf kemudian bentang dalam parlimen.
Jika ia menepati kehendak Islam sebagaimana yang diperintah oleh ALLAH
SWT, saya yakin ahli Parlimen Pas akan menyokongnya.
"Jika Umno tidak sanggup melakukannya, ketahuilah, Umno hanya
menjadikan isu hudud sebagai modal politik untuk menghadapi Pilihan Raya
Umum ke-13 nanti," katanya lagi.
Mengulas kenyataan Dr Mahathir Khamis lalu, Nasrudin berkata, bekas
Perdana Menteri itu sekali lagi cuba mencuri tumpuan umum dengan
kenyataan terbarunya bahawa Umno boleh melaksanakan hudud tetapi bukan
hudud Pas sebaliknya hudud Islam.
"Suatu kenyataan paling lucu menutup tirai Ramadan al Mubarak tahun ini," katanya lagi.
Sambil berkata beliau sangat simpati dengan Dr Mahathir, Nasrudin
berkata, "beliau seperti merasakan diri masih di tahkta Perdana
Menteri."
"Bercakap mahu melaksanakan itu dan ini sedang kuasa tidak lagi
ditangannya. Lebih malang, apa yang disebut mahu dilaksanakan hari ini
[seperti hudud] adalah suatu yang ditentangnya habis-habisan sewaktu
beliau gah di puncak kuasa sejak sekian lama," katanya.
Sehubungan itu Nasrudin menegaskan bahawa Umno tidak mahu melaksanakan hudud.
"Ini satu realiti. Lihat sahaja cadangan Adun Kemelah Johor untuk
melaksanakan hudud di Johor, bukan sahaja diketepikan malah dikecam.
"Lebih parah apabila (Datuk Seri Dr) Chua Soi Lek selaku Presiden MCA
menuduh pemimpin Umno itu hilang akal, seluruh pemimpin Umno termasuk Dr
Mahathir, bungkam sejuta bahasa," katanya.
Malah menurut Nasrudin, kuasa kerajaan federal berada di tangan Umno.
"Jadi, retorik apa lagi yang mahu Umno paparkan kepada rakyat. Kalau
tidak mahu hudud "Pas" kononnya, mana hudud Umno? sila kemukakan!
Sekurang-kurangnya negeri yang ditadbir oleh Pas sebagai teras kerajaan
telah meluluskan Rang Undang-Undang Syariah atau Kanun Jenayah Syariah
iaitu di Kelantan dan kemudiannya di Terengganu. Negeri Umno mana? Mana
hudud Umno atau mana hudud "Islam" yang didakwa itu?
"Pas sejak sekian lama, dimaklumi oleh semua rakyat bahawa
memperjuangkan perlaksanaan syariat Islam di negara ini termasuk hukum
hudud.
Sementara Umno pula diketahui umum menentang perlaksanaan hudud sejak
sekian lama. Maka logiknya, Pas sertai Umnokah atau Umno yang wajib
sertai Pas untuk memastikan hudud benar-benar terlaksanakan di atas
tanah air tercinta ini.
"Sekurang-kurang Pas telah siapkan draf Kanun Jenayah Syariah yang mahu
dilaksanakan. Umno sehingga kini draf pun tidak ada, macam mana Dr
Mahathir mahu Pas menyertai Umno, sepatutnya Umno dibubarkan untuk
kesemua ummat Islam menyertai Pas bagi mendukung cita-cita pelaksanaan
Islam di Malaysia," kata beliau lagi.
.
0 Komen pengunjong :