Sudah
empat hari Ramadhan berlalu dan semua umat Islam merayakan kejayaan
sebulan berpuasa dengan sambutan hari raya. Semua pemimpin dan rakyat
yang bercakap melalui corong-corong radio dan TV serta media cetak
memperkatakan kejayaan melawan nafsu dan belajar dengan sungguhnya untuk
tidak mengikuti kehendak nafsu kita. Setiap tahun menjelangnya Syawal
semua bercakap perkara yang sama dan sesungguhnya itu semuanya adalah
seruan yang benar.
Saya jarang-jarang bercakap tentang kejayaan melawan nafsu dan
membuat seruan kepada ramai supaya kita tidak melakukan apa-apa nafsu
dan kehendak amarah serta mulhimah itu, kerana saya adalah orang yang
lemah dan saya rasa tidak layak untuk membuat seruan itu. Bagi saya
usaha memperbaiki diri saya di sisi Tuhan itu adalah untuk diri saya
sendiri dan tidak payah berkempen untuk mengerjakan perkara baik seperti
yang diserukan di bulan Ramadhan dan ibadah-ibadah dan amalan kita yang
lain.
Saya adalah insan yang lemah dan tidak sunyi daripada melakukan
kesilapan dan saya tidak layak untuk membuat seruan kerana saya mesti
membuat seruan itu kepada diri saya sendiri.
Persoalannya apakah kerja-kerja yang wajar kita tinggalkan di dalam
bulan Ramadhan dan seterusnya kepada bulan-bulan dan tahun yang
seterusnya itu? Ramadhan mensyaratkan kita untuk melakukan ibadah yang
telah disyariatkan agama, Tuhan dan Rasul kita. Ia merupakan salah satu
dari rukun Islam yang lima itu. Rukun itu merupakan pra syarat untuk
kita menjadi seorang Muslim. Ini semua kita tahu.
Tetapi yang tidak terlerai sehingga hari ini ialah sama ada apa yang
diserukan oleh pemimpin-pemimpin terutamanya benar-benar dilakukan dan
dilaksanakan dengan sesungguhnya? Saya bertanya kerana saya dan semua
orang mendengar seruan yang sama oleh pimpinan yang sama sejak puluhan
tahun yang lalu tetapi pimpinan yang sama juga yang melakukan
perkara-perkara yang bertentangan dengan seruan mereka sendiri.
Walaupun berulang-ulang kali perutusan hari raya disiarkan oleh
saluran TV setiap siang dan malam sejak lima hari yang lepas, tidak ada
sekali pun saya mengikutinya sampai habis kerana saya dan ramai lagi
yang berpendapat itu hanya merupakan seruan retorik yang hanya dilakukan
kerana semata-mata untuk melakukannya. Seruan itu tidak serius. Mungkin
lebih dari itu ialah hanyalah sebagai usaha memancing sokongan politik
rakyat semata-mata.
Nasib baiklah kita mempunyai saluran TV yang banyak. Apabila
perutusan itu disiarkan saya menukar kepada saluran yang lain yang belum
menyiarkan perutusan itu. Saya tidak tahan dengan hipokrasi yang
terpancar di depan saya itu.
Saya tahu rasuah yang merupakan tindakan nafsu tamak haloba yang
ditegah agama itu tetap juga akan berlaku selepas Ramadhan itu. Seruan
PM kita untuk berbelanja secara wasatiyah itu tidak akan beliau lakukan.
Pemborosan tetap berlaku dan kita boleh melihat bagaimana wang kita
semua dibelanjakan di depan mata kita tanpa had untuk berbelanja hari
raya.
Seruan untuk menyeru rakyat berbilang kaum untuk bersatu kerana itu
adalah tuntutan agama kita juga tidak terlaksana kerana di belakang dada
media kita melihat dan mendengar bagaimana UMNO memainkan isu perkauman
dan agama dilakukan oleh penyokong-penyokong UMNO dan BN di mana-mana.
Orang-orang UMNO di bawah-bawah memainkan isu Cina…cina…dan cina, tetapi
di corong radio dan saluran TV seruan bersatu berkumandang yang
dilakukan oleh pemimpin-pemimpi rasis ini.
Perpecahan terus-terusan dicipta dan dilakukan dengan tahap
‘gila-gila’ dan kita pun berfikir sampai bilakah kita hendak dipecahkan
belahkan oleh isu rasis mainan Melayu UMNO yang amat merbahaya ini?
Kalau benarlah kerajaan inginkan perpaduan nasional seperti yang
diretorikkan, kenapa masih ada isu-isu rasis yang diperbesarkan oleh
penyokong-penyokong kerajaan sekarang ini. Kenapa begitu tamak
seolah-olah Putrajaya itu hanya untuk BN dan UMNO sahaja untuk
mendudukinya?
Kita mesti ingat mereka yang menduduki Putrajaya itu bukannya duduk
di atas tanak hak milik kekal. Mereka semuanya itu ibarat duduk di tanah
TOL (temporary occupancy license) sahaja.
Jika mereka yang mendiami tanah TOL di Putrajaya itu melanggar syarat
dan moral yang telah ditetapkan, rakyat wajar menghalau mereka dari
tanah TOL itu. Mereka (BN) tidak ada hak untuk menentukan siapa yang
rakyat hendak pilih untuk mendudukinya.
Putrajaya itu rakyat yang punya. Najib dan semua pemimpin UMNO dan BN
mesti memasukkan hakikat sebenarnya ini ke dalam kepala dan pemikiran
masing-masing.
Lagi sekali kita ingatkan, pejabat-pejabat di Putrajaya itu hanyalah
premis yang bertaraf TOL (temperory occupancy license) sahaja dan ia
bukannya hak milik kekal.
-/ http://aspanaliasnet.blogspot.com
.
0 Komen pengunjong :