Najib dan dogma lapuk ‘BN sahaja layak memerintah’

KUALA LUMPUR: Sepatutnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajar rakyat berfikiran positif dan melihat jauh ke depan, bukan berundur ke belakang dan duduk statik tanpa perubahan.
Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor sebagai respons kepada kenyataan Najib yang meminta rakyat supaya tidak membuat perubahan yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Saya menganggap kenyataan PM ini sebagai ucapan paling dangkal atau pendek akal dari seorang pemimpin negara terhadap rakyatnya.

“PM seperti mahu rakyat berfikiran negatif terhadap perubahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Persoalannya, kata beliau apakah PM seorang penentu takdir rakyat dan negara ini sehingga boleh tahu bahawa Pakatan Rakyat akan memerintah kelak lebih teruk daripada BN.

“Agak dikesali  kerana meskipun tindakannya dalam bentuk dasar negara sentiasa berbeza daripada PM sebelumnya, namun pemikirannya tetap terbelenggu dengan dogma lapuk iaitu hanya ‘BN sahaja layak memerintah’,” ujarnya.

Kata Riduan lagi, kenyataan PM menunjukkan bahawa beliau seorang diktator yang sombong, angkuh serta enggan menerima keputusan rakyat.

Baginya, PM gagal memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat memilih parti yang mereka inginkan.

Hak demokrasi juga, ujarnya membenarkan mana-mana parti untuk memerintah jika mendapat mandat daripada rakyat.

“Kenyataannya, memang PR belum mempunyai rekod memerintah negara, tetapi rekod akan tercatat sebaik sahaja PR menang kelak,” katanya lagi.

Riduan menambah, rekod itu juga yang dicatat oleh BN sewaktu mula-mula memerintah dahulu.

Rakyat, tambah beliau boleh menilai perkhidmatan PR secara telus dan jujur dan membuat perbandingan  pula dengan BN jika memerintah kelak.

Malah, ujarnya negara akan terus maju dan membangun dengan baik apabila kedua-dua pihak, sama ada BN atau PR berlumba-lumba memberikan perkhidmatan dan dasar yang terbaik untuk rakyat.

“Sepatutnya beliau memahami bahawa BN telah diberikan peluang memerintah selama lebih dari 50 tahun negara ini.

“Rakyat telah melihat tahap kemampuan BN dan menilai apakah tawaran PR yang gagal dilaksanakan oleh BN,” katanya.

Ternyata, kata Riduan tawaran PR jauh lebih baik untuk rakyat berbanding apa yang diberikan oleh BN selama ini.

Justeru, ujarnya elok juga PM menginsafi bahawa perubahan adalah perlu kepada setiap diri, masyarakat, rakyat dan negara.

Beliau berkata, perubahan akan mematangkan rakyat dan negara ini.

Justeru, tambah beliau lagi tidak wajar beliau gerun pada perubahan yang diinginkan oleh rakyat apabila tiba pada masanya.

Jika tidak, katanya rakyat sendiri akan mengajar beliau erti perubahan yang diingini sebagaimana yang dibuat oleh rakyat di negara Timur Tengah pada hari ini.
.

0 Komen pengunjong :