KUALA LUMPUR, 5 Jul — Penangguhan
pilihan raya umum (PRU) menyebabkan berlakunya persaingan merebut
jawatan menteri besar (MB) bagi pemimpin Barisan Nasional (BN) yang
percaya Datuk Seri Najib Razak akan membuat perubahan bagi memastikan
program transformasi disokong di setiap peringkat, kata sebuah sumber
dari kerajaan pusat.
Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dikatakan sudah bersedia untuk berkhidmat di peringkat pusat setelah memimpin negeri terkecil itu semenjak 1999.
The Malaysian Insider melaporkan pada bulan Mei lalu mengenai hanya
MB Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Seri Md Isa Sabu
dari Perlis, yang sudah terjamin terus bertugas sebagai MB jika BN
masih menang di kedua-dua negeri tersebut.
"Perlumbaan menjadi semakin sengit selagi tarikh pilihan raya tidak
diumumkan. Ramai yang mahukan jawatan tersebut melobi agar diberikan
peluang, kata seorang pemimpin BN kepada The Malaysian Insider.
Dikhabarkan, Najib yang juga pengerusi BN dan presiden Umno, telah
bertemu dengan beberapa orang pemimpin Umno yang dilihat layak untuk
menggantikan mereka yang telah memimpin negeri semenjak zaman Tun Dr.
Mahathir Mohamad masih menjawat jawatan PM. Dr. Mahathir mengundur pada
tahun 2003.
Selain daripada Mohd Ali, menteri besar yang lama seperti Datuk Abdul
Ghani Othman yang memimpin Johor semenjak 1995 dan Pahang oleh Datuk
Seri Adnan Yaakob yang mengambil alih jawatan pada tahun 1999.
Paling lama memimpin negeri adalah ketua menteri Sarawak, Tan Sri
Abdul Taib Mahmud, yang berjaya membawa kemenangan BN dalam pilihan raya
negeri Sarawak tahun lalu.
Penggal ini dilihat sebagai penggal terakhir Taib yang telah memegang
kuasa semenjak 1981, tahun sama Dr. Mahathir angkat sumpah sebagai PM.
Sumber BN berkata, ahli parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron
adalah calon teratas untuk menggantikan Mohd Ali sebagai KM Melaka.
Dilihat sebagai sekutu rapat Mohd Ali, Idris juga adalah pengerusi
bagi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), agensi kerajaan yang
seringkali ambil alih projek perumahan terbengkalai dan menguruskan
projek perumahan kos rendah.
Di zaman Tun Abdullah Badawi, Idris adalah timbalan menteri selepas
PRU 2008 tetapi digugurkan dari kabinet selepas Najib ambil alih jawatan
pada April, 2009.
Dua lagi calon untuk jadi KM Melaka adalah ahli parlimen Masjid
Tanah, Datuk Wira Abu Seman dan exco negeri, Datuk Ghafar Atan.
Ketiga-tiga calon merupakan ketua bahagian Umno kata satu sumber.
Di Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dikatakan akan dihantar ke
pusat selepas PRU 13. Dr. Zambry ditukarkan dari negeri ke pusat, pusat
ke negeri dengan menteri kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah, kata satu lagi sumber BN.
"Perak mempunyai ramai pemimpin 'lama' yang mengintai jawatan
tertinggi negeri. Pertukaran antara Zambry dan Ahmad Husni dilihat lebih
baik bagi mengelak konflik dalaman" kata sumber itu lagi sambil
menjelaskan terdapat beberapa pemimpin yang merasakan mereka boleh
melakukan kerja sebagai MB lebih baik daripada Zambry.
Adun Pangkor adalah calon yang tidak disangka-sangka akan dilantik
sebagai MB selepas BN ambil kembali Perak pada Febuari 2009, selepas
tiga Adun Pakatan Rakyat (PR) melompat parti.
Di Pahang pula, Adun Lanchang, juga pemimpin nombor dua Umno negeri
disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk menggantikan Adnan yang
berpengalaman luas dan dirasakan berguna di Putrajaya.
Sementara di Kedah, spekulasi mengatakan timbalan menteri perdagangan
antarabangsa dan industri, Datuk Mukhriz Mahathir boleh menjadi MB jika
BN berjaya rampas negeri dari PR yang menang pada tahun 2008.
Ahli parlimen Jerlun itu adalah orang nombor dua Umno Kedah yang
tidak pernah memegang apa-apa jawatan di peringkat negeri tersebut.
Sumber BN turut berkata, perlumbaan merebut jawatan tertinggi negeri
di Johor, Selangor dan Terengganu menjadi semakin sengit selagi PRU
ditangguhkan. Najib mempunyai masa untuk memanggil pilihan raya
selewat-lewatnya sehingga April tahun hadapan akan tetapi, terdapat
spekulasi pilihan raya akan diadakan bulan ini atau selepas Bajet 2013
yang akan dibentangkan pada 28 September.
Calon utama bagi Selangor adalah timbalan pengerusi Umno negeri,
Datuk Seri Noh Omar akan tetapi sumber mengatakan beberapa tokoh
korporat turut dimasukkan dalam senarai Najib yang juga pengerusi Umno
Selangor.
"Setiap minggu akan ada nama baru tetapi Najib berhati-hati dan akan mengambil masa untuk buat keputusan," kata sumber.
Sumber yang memberitahu The Malaysian Insider pada bulan Mei lalu
turut berkata, BN akan mengambil kira pandangan Istana Negeri sebelum
mencadangkan mana-mana calon. "Ia haruslah seseorang yang dipersetujui
dan dihormati oleh Istana Negeri, jika tidak akan berlaku kekecohan,"
memberi contoh pertukaran saat akhir di Perlis dan Terengganu selepas
pilihan raya 2008.
Selepas 8 Mac 2008, ketua BN pada ketika itu, Datuk Seri Abdullah
Badawi mencalonkan Datuk Seri Shaidan Kassim untuk terus memimpin Perlis
tetapi ditolak oleh Raja Perlis.
Di Terengganu, Istana negeri menolak calon Abdullah, Datuk Seri Idris
Jusoh untuk terus berkhidmat sebagai MB sebaliknya menyuruh Datuk Seri
Ahmad Said, Adun Kijal untuk mengangkat sumpah sebagai MB walaupun
terdapat protes dan tentangan besar dari Umno Terengganu termasuklah
pemecatan sementara MB baru dari parti. Isu ini kemudiannya berjaya
diselesaikan apabila Abdullah bersetuju dengan pilihan Istana
Terengganu.
Najib yang akan menyemak satu persatu calon, berkata keputusan akhir
terletak ditangannya termasuklah bagi calon-calon dari 13 parti komponen
BN.
Walaupun telah berpengalaman lebih dari 30 tahun dalam kerajaan, ini
adalah kali pertama Najib memimpin BN dalam PRU dan beliau turut
memerlukan mandat sendiri sebagai PM.
Penganalisis bersetuju bahawa Najib akan terus memenangi PRU 13 cuma yang menjadi persoalan adalah saiz kemenangannya.
Pilihan raya akan datang bakal menyaksikan pertambahan 2.2 juta pengundi baru kepada 12 juta pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima cadangan untuk
menggunakan dakwat kekal dan sekurang-kurangnya 10 hari berkempen dalam
pilihan raya akan datang selepas protes menuntut pilihan raya bersih dan
adil dilakukan.
.
0 Komen pengunjong :