Malam tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian
beliau akan berundur dan menyerahkan perjuangan politik kepada generasi
muda sekiranya beliau gagal dalam misi mengemudi Pakatan Rakyat (PR)
mengambil alih Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pandangan kali pertamanya disuarakan menerusi satu temu bual dengan akhbar Financial Times pertengahan minggu ini.
Ekoran pengumuman yang dilihat agak mengejutkan ramai ini, anak
sulungnya, Nurul Izzah dan beberapa pemimpin PR termasuk Mursyidul Am
Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, barisan pembangkang masih
memerlukan kepimpinan beliau.
Dalam kemunculan pertamanya pada majlis awam malam tadi susulan laporan
Financial Times, Anwar yang kini memainkan peranan sebagai Ketua
Pembangkang dan Ketua Umum PR dan juga Ketua Umum PKR berkata: "Ini
cubaan saya yang terakhir."
“Jika kami menang, kami akan meneruskan. Jika tidak, biar generasi baru mengambil alih perjuangan.
“Biar saya bersara dan kembali kepada (kerja) mengajar," kata beliau
pada ceramah yang di Rawang dan disusuli ceramah di Selayang.
Pendirian ini mencetuskan reaksi berbelah bahagi di kalangan pengikut dan pesaing politiknya.
Begitu juga dengan penganalisis politik sementara bancian Sinar Harian Online setakat jam 5 petang tadi menunjukkan majoriti menyifatkan langkah Anwar tidak wajar (sila layari ruang bancian online untuk memberi pandangan anda).
Ketika dihubungi Sinar Harian Online, penganalisis politik berpendapat
kenyataan Anwar itu satu gimik dan strategi politik semata-mata.
Menegaskan pendiriannya, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal
Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa
Ishak berkata, beliau melihat pendirian Anwar sebagai satu gimik dan
strategi politik yang diatur bagi memenuhi hasratnya menjadi Perdana
Menteri.
Beliau berkata, mustahil seorang yang berjiwa dan mempunyai cita-cita
besar seperti Ketua Umum PKR itu mengambil keputusan untuk mengundur
diri dalam arena politik walaupun Anwar mengalami kegagalan pada PRU13.
“Saya fikir itu cara beliau seolah-olah mahu memberi tekanan kepada
rakyat dan penyokongnya supaya memastikan beliau tidak bersara.
“Itu strategi politik untuk kembalikan semula sokongan dan pastikan penyokongnya tak lari,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Dalam satu kenyataan semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terus-terang berkata, Anwar tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik.
"Dia patut bersara sekarang, tak ada guna langsung...dia (Anwar) punya
hajat cuma nak jadi Perdana Menteri," katanya yang memecat Anwar dari
jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada awal
September 1998.
Dr Mahathir yang membawa Anwar ke dalam Umno tiga dekad yang lalu juga
berkata, kenyataan Anwar itu merupakan retorik politik sahaja kerana
menurut beliau jika pakatan pembangkang kalah dalam PRU13, Ketua
Pembangkang itu masih terus dengan impiannya untuk menjadi Perdana
Menteri.
Mohamed Mustafa berkata, namun sekiranya pendirian yang dikatakan
beliau adalah benar, corak politik di Malaysia akan mengalami perubahan
yang besar.
Menurutnya lagi, PR yang diketuai dan dipimpin Anwar akan berpecah belah dan menghadapi kesuraman dalam politik mereka.
“Sudah pasti arena politik akan berbeza dan PR akan mengalami banyak kesukaran.
“PKR dan PR akan harungi masa depan yang lebih suram, malah akan
berdepan dengan perpecahan, namun itu mustahil untuk Anwar bersara
kerana kalau beliau nak bersara tak perlu tunggu selepas pilihan raya,”
katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohamed Mustafa berkata, perkara yang dikatakan Anwar
tidak perlu dipandang serius kerana beliau mempunyai cara yang
tersendiri bagi memenuhi hasratnya.
Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia pula
berkata, kenyataaan Anwar itu mempunyai dua perspektif yang berbeza.
Berkemungkinan ia satu strategi serta pendekatan beliau untuk memancing
pengundi atas pagar yang belum membuat keputusan untuk memilih calon
menjelang PRU13 supaya memberi sokongan kepadanya buat kali terakhir
jika gagal membawa PR ke Putrajaya.
Keduanya, mungkin disebabkan faktor umur beliau yang semakin meningkat
untuk bertanding dalam PRU14 nanti, jika kali ini beliau gagal membawa
partinya (PR) mengambil alih kerajaan pusat.
Malah menurut beliau, keadaan politik memang akan berbeza sekiranya
kenyataan Anwar itu benar kerana perpaduan PR yang berbeza ideologi
hanya boleh dikekalkan melalui kepimpinan beliau.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian menarik perhatian
bahawa apa yang diperkatakan oleh Anwar akan memberi kesan ke atas
penyokong-penyokong tegarnya.
"Tetapi bukan ke atas penyokong atas pagar. Apa pun perkembangan baru
ini akan memberi gambaran bahawa Anwar bukan tamak kuasa," kata ketua
firma kajian pandangan umum ini.
Di sebalik tanggapan bahawa Anwar membuat kenyataan bersifat retorik
dan gimik, pendirian beliau bukan sesuatu baru dalam arena politik
khususnya di negara-negara maju.
Kita belum biasa dengan pendekatan seperti ini di negara ini. Siapa
tidak mahu menang pilihan raya yang menjanjikan kuasa. Tidak kira BN
atau PR.
Sekurang-kurangnya Anwar menggariskan kata dua dan sedia memikul
tanggungjawab jika gagal mengemudi PR dalam PRU13. Kemungkinan ini satu
lagi politik baru yang belum diuji.
PRU13 ditambah dengan satu lagi eksperimen janji politik. Janji Anwar
ini juga akan membawa implikasi ke atas landskap politik negara jika apa
yang diperkatakan menjadi kenyataan.
Tunggu dan lihat!
.
Lelaki lihat lembaga besar semasa solat berjemaah
13 hours ago
0 Komen pengunjong :