Mahathir takut rasuah terbongkar jika Pakatan perintah – Anwar


BAYAN BARU : Tun Dr Mahathir Mohamad kini dihantui ketakutan kerana bimbang tembelang rasuahnya akan terbongkar jika berlaku peralihan kuasa pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk mempertahankan harta yang dikuasai keluarga dan kroninya, bekas Perdana Menteri itu sanggup berbuat apa sahaja termasuk serangan bertalu-talu terhadap Pakatan Rakyat.
“Beliau (Mahathir) menyedari segala kemungkinan akan berlaku jika peralihan kuasa berlaku. Takut terbongkarnya kegiatan rasuah, Tun Mahathir merasakan beliau perlu melakukan apa saja bagi mempertahankan harta yang dikuasai keluarga dan kroninya. Sebab itulah kita dapat melihat bagaimana kenyataan beliau setiap kali menjelekkan Pakatan Rakyat,” katanya.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN Pulau Pinang di sini semalam.
Anwar berkata, Mahathir gusar jika rasuah berhubung pemilikan kekayaan melampau oleh anak-anak dan konco-konconya dibongkar dan didedah kepada rakyat.
Sebab itu, usaha memburukkan PR menjadi agenda utama dalam perjuangan mereka menjelang PRU.
“Inilah tekanan yang akan diterimanya jika BN tidak dapat mempertahankan kuasa dalam PRU akan datang,” kata beliau.
Jelas Anwar, penggunaan video seks oleh Mahathir bagi melemahkan lawan yang kemudiannya menjadi ikutan Najib Razak membuktikan kelemahan ciri-ciri kepimpinan mereka.
“Inilah perbuatan jelek merupakan rutin pemimpin Umno BN bagi menutup kekorapan mereka selama memerintah negara. Mereka akan gunakan segala instrumen bagi mencapai niat buruk tersebut.
“Kroni mereka yang kaya, korup dan rasuah akan dipertahankan. Manakala wang negara diperjudikan untuk mencapai matlamat mereka mempertahankan kuasa.
“Oleh kerana itu, pendedahan dan pembongkaran seperti skandal NFC, Scorpene, LRT Ampang amat membimbangkan mereka, kerana ramai dari kerabat mereka terlibat dalam isu ini,” tegas Anwar lagi.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Naib Presiden, Datuk Dr Mansor Othman; Ketua Wanita Pusat, Zuraida Kamaruddin; Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan kepimpinan KEADILAN Pulau Pinang.
.

0 Komen pengunjong :