Jawab atau banyak lagi rahsia Awang Adek-Hon Cheong didedah


KUALA LUMPUR 6 Julai: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin sekali lagi dicabar menjelaskan mengenai hubungan beliau dengan ahli perniagaan, Chung Hon Cheong dan skandal percetakan RM2 sebanyak 100 juta.
Sejak cabaran itu dibuat oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail minggu lalu, Awang masih membisu berhubung pendedahan ini.
Mengulas perkara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi peringatan kepada Awang supaya tampil menjelaskan dakwaan itu segera atau banyak lagi dokumen baru akan didedahkan.
“Difahamkan semua butiran, dokumen lengkap masih banyak lagi di tangan Saifuddin. Masa tiga minggu diberikan semakin berlalu.
“Jika Awang hanya mengambil sikap mendiam diri, maka SAMM akan sekali lagi berada di bumi Kelantan dan ole-ole pendedahan bercetak dan lengkap akan berada di tangan ribuan pengundi Bachok selepas Aidilfitri,” kata Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin.
Saifuddin pada 28 Jun lalu mendedahkan, salah laku Awang semasa menjadi Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan memberi tempoh tiga minggu kepada beliau menjelaskan segala dakwaan dan mencabarnya menafikan hubungan dengan individu itu dan syarikat terbabit.
Menurut Saifuddin, Hon Cheong ialah pemilik syarikat Sun Prestige Sdn Bhd yang telah mendapat hak mencetak wang kertas RM2 sebanyak 100 juta keping ketika Awang memegang jawatan tersebut.
“Beliau juga merupakan pemilik syarikat Vertex United Sdn Bhd juga tidak mungkin secara kebetulan membeli rumah Awang di Damansara dengan harga agak tinggi iaitu RM550,000 (seperti didedah Saifuddin).
“Adakah ini semua ada kaitan dengan ‘anugerah’ projek mencetak nota mata wang negara?” tegas Badrul yang lebih dikenali Chegu Bard.
Awang turut dicabar menjelaskan wang yang diterima beliau untuk ke Jepun dan peranan Hon Cheong dalam menguruskan pembayaran bulanan kereta isteri kepada Awang.
Ini juga berikutan pendedahan Saifuddin bahawa Hon Cheong melalui syarikat Ultimate Holidays Sdn Bhd juga telah membuat bayaran untuk Awang keluar ke Jepun pada 28 Jun hingga 1 Julai 1999.
“Setelah diteliti mengenai kereta Honda Civic 1.6 yang digunakan isteri Awang, wujud keraguan dan turut dikaitkan dengan ahli perniagaan yang sama. Awang perlu menjawab benarkah kereta tersebut diuruskan pembayaran bulanannya sebanyak RM2,122 sebulan oleh Hon Cheong” kata Chegu Bard.
Hon Cheong juga didapati banyak menyumbang ke atas pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan dengan Awang.
“Banyak dokumen lain seperti pembayaran road tax, insurans, kelab golf, pembayaran cukai jalan, bil-bil seperti telefon yang atas nama Awang diuruskan oleh ahli perniagaan tersebut,” cabar Chegu Bard pada ceramah perdana di hadapan 8,000 hadirin di Pantai Irama, Bachok, Kelantan 1 Julai lalu.
.

0 Komen pengunjong :