Undi rakyat tumbangkan BN, bukan garam dan botol


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merasa lucu dengan kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz bahawa ‘garam dan botol’ yang digunakan oleh peserta Bersih adalah untuk menumbangkan kerajaan.


“Bagi DPPWP, alasan Datuk Seri Nazri adalah jawapan ‘paling tidak cerdik’ yang pernah diucapkan oleh seorang menteri kabinet Malaysia,” KATA Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Katanya, ia bukan sebagai justifikasi bagi menggambarkan betapa negatifnya himpunan Bersih 3.0, sebaliknya ia menggambarkan betapa lemahnya intelek seorang pemimpin negara ini dalam menilai perhimpunan tersebut.

Menurutnya, DPPWP tidak boleh membayangkan tahap ketakutan Nazri dan pemimpin Umno yang lainnya berada dalam darjah tertinggi sehingga boleh menafsirkan botol air mineral dan garam sebagai faktor tumbangnya kerajaan.

“Jika ini gambaran mereka, ini bermakna kerajaan pimpinan Umno BN berada dalam keadaan gawat dan amat goyah sehingga botol air dan garam mampu menggoncang kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

DPPWP, ujarnya merasakan Nazri sudah tidak boleh berfikir dengan waras sehingga sanggup berimaginasi dengan sesuatu yang di luar kotak pemikiran rakyat negara ini.

Katanya, umum mengetahui bahawa himpunan Bersih 3.0 diadakan pada waktu tengah hari dan dalam keadaan beratus ribu rakyat hadir menyertainya.

“Sudah pasti peserta membawa air botol sebagai bekalan bagi menghilangkan dahaga dalam cuaca yang amat panas itu.

“Ia juga digunakan bagi merawat jika peserta terkena gas pemedih mata atau air kimia yang dipancutkan oleh trak FRU,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya para peserta himpunan terlebih awal dinasihatkan membawa garam untuk dikemam bagi mengelakkan kepedihan akibat ditembak dengan gas pemedih mata.

Katanya, DPPWP yakin rakyat tidak terfikir pun bagaimana air mineral dan garam boleh dijadikan senjata untuk menumbangkan kerajaan yang gagah di sebalik segala kuasa yang mereka miliki.

“Seharusnya Datuk Seri Nazri Aziz sedar, kerajaan mempunyai segala agensi kerajaan yang patuh dan setia dengan segala arahan pemimpin negara.

“Mereka mempunyai tentera, polis, Rela, Cawangan Khas (SB) dan lain-lain pasukan keselamatan yang jumlahnya amat ramai,” katanya lagi.

Menurutnya, mustahil botol dan garam boleh menumbangkan kerajaan jika pasukan keselamatan ini dikerah menjaga keselamatan pentadbiran negara.

Selain itu, ujarnya kerajaan mempunyai undang-undang yang ketat dan menyebelahi mereka.

Jelasnya, negara ini mempunyai peraturan, perlembagaan dan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Sebenarnya, kata beliau Nazri tidak perlu menuduh ‘botol air dan garam’ sebagai faktor tumbangnya kerajaan.

“Kerajaan akan tumbang hanya melalui undi rakyat dalam PRU ke 13.

“Rakyat kini mampu melihat suasana politik dengan pemikiran yang cerdik dan itulah sebenarnya kegerunan utama BN!,” ujarnya lagi.
.

2 comments :

  1. Janganlah guling dulu. Belum puas lagi 'melanun' nih!

    ReplyDelete
  2. @mountdweller..... jenis ni memang sampai bila pun tak puas 'melanun'

    ReplyDelete