SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) menegaskan pihaknya komited untuk
mengamalkan politik budiman dalam usaha mengambil alih pemerintahan
negara secara berhemah.
Pemimpin-pemimpin kanannya yang dihubungi juga menekankan pendirian
sekali-kali tidak akan mempengaruhi rakyat untuk bangkit memberontak
atau bertindak ganas jika terpaksa berhadapan dengan kekalahan.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, sejarah telah membuktikan
bahawa parti itu tidak pernah mencetuskan huru-hara sekalipun kalah
dalam kesemua pilihan raya umum sejak lima dekad lalu.
"Kita sudah buktikan sejak 1955 lagi, sejak mula Pas sertai pilihan
raya umum. Walaupun berkali-kali gagal, kita tak pernah berontak, kita
terima kekalahan dengan terbuka," katanya.
Salahuddin berkata, meskipun timbul beberapa isu Pas tidak berpuas hati
dengan perjalanan pilihan raya, namun parti itu sentiasa menunjukkan
komitmen dan penerimaan yang baik terhadap proses demokrasi.
Beliau memberi reaksi demikian terhadap laporan 'Amanat Baru Hadi' pada
muka depan akhbar ini semalam yang menyiarkan pesanan Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kesemua rakyat negara ini perlu
mengamalkan politik bersopan santun dalam menaik dan menurunkan
pemimpin, bukan dengan cara yang memalukan mereka.
Kenyataan itu menyusul selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad dalam entri blognya bulan lalu mengaitkan kemungkinan
pembangkang akan terfikir bahawa tindakan menggulingkan kerajaan melalui
demonstrasi akan membantu mereka mencapai cita-cita untuk berkuasa,
jika tewas dalam pilihan raya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyatakan
kesediaan BN untuk menghadapi kecaman pembangkang jika mereka tewas pada
PRU13 dan turun ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih
secara demokratik.
Mengulas kenyataan itu, Salahuddin berkata, itu adalah bayangan
kerisauan Timbalan Perdana Menteri terhadap peningkatan sokongan kepada
pembangkang.
"Kami tidak pernah ada usaha ke arah itu tetapi BN yang sering
memulakan provokasi. Ini jelas menunjukkan kerisauan mereka," katanya.
Naib Presiden PKR, Tian Chua yang masih menghadapi pendakwaan di
mahkamah berhubung pembabitannya dalam Bersih 2.0 dan Bersih 3.0
berkata, tidak timbul isu pembangkang akan mengadakan demonstrasi ganas
jika kalah PRU13 seperti yang didakwa BN.
"Mereka yang selalunya menghasut dengan kenyataan-kenyataan ekstrem
seperti berjuang hingga titisan darah terakhir, hidup mati BN dan
sebagainya. Kenyataan seperti itu helas menunjukkan perjuangan yang akan
mereka bawa pada PRU13 nanti," katanya.
.
0 Komen pengunjong :