Penyenaraian FGVH: Najib potong bonus Aidilfitri RM10 juta


KUALA LUMPUR : Tindakan Datuk Seri Najib Razak meneruskan penyenaraian Felda Global Ventres Holdings (FGVH) penghujung Jun ini mengakibatkan peruntukan insentif Hari Raya Aidilfitri untuk peneroka dipotong RM10 juta iaitu 25 peratus dari peruntukan sedia ada pada tahun lalu.
Perkara itu didedah Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN, Wong Chen melalui buku ‘Bajet Felda 2012, Merealisasikan Transformasi’ di mana beberapa salinan penting buku itu turut diedar kepada media semalam.
Turut dipotong, peruntukan untuk bonus insentif produktiviti peneroka RM23 juta (22.33 peratus), dana pendidikan RM5 juta (14.29 peratus), pembangunan belia RM3 juta (30 peratus), pembangunan institusi peneroka RM5 juta dan beberapa potongan lain dengan jumlah keseluruhan pemotongan tahun ini hampir RM100 juta.
“Pada 2011, Felda membelanjakan RM424 juta untuk peneroka, namun bagi 2012 Felda bercadang memotong peruntukan itu kepada hanya RM326 juta iaitu pengurangan hampir RM100 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya.
Kata Wong Chen, potongan itu mempunyai kaitan terus dengan penyenaraian FGVH kerana pendapatan Felda juga diunjur menjunam tahun ini selepas penyenaraian berbanding tahun lalu.
“Pada 2011, pendapatan Felda mencecah RM2.5 bilion berbanding tahun ini yang diunjurkan sendiri dalam buku Bajet Felda 2012 kepada hanya RM900 juta,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau selepas ini akan turun ke kawasan Felda untuk menerangkan mengenai situasi sebenar perkara itu kepada peneroka.
“Kita harap media bantu dedah isu ini,” katanya lagi.
.

0 Komen pengunjong :