Jika ahli parlimen boleh dibeli, rakyat bawahan...

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal kerana pihak tidak bertanggungjawab telah mencemar nama baik ahli-ahli parlimen negara ini.
Justeru, DPPM merasa terkejut dengan dakwaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail bahawa beliau pernah ditawarkan RM5 juta untuk lompat ke parti BN pada tahun 2010.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor menganggap dakwaan beliau amat serius kerana ia melibatkan integriti ahli-ahli Parlimen.

“Meskipun beliau mendedahkan isu ini setelah dua tahun peristiwa ini berlaku, namun implikasinya amat besar terhadap insititusi parlimen sebagai badan tertinggi yang menggubal dasar negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, pihak berkenaan merasakan ahli parlimen adalah manusia murahan yang boleh dibeli dengan sejumlah wang untuk mengikut telunjuk mereka.

“Jika ahli Parlimen juga boleh dibeli, apa akan jadi dengan masyarakat dan golongan bawahan?

“Sudah pasti masyarakat bawahan akan lebih rosak dan menerima padah dengan gejala rasuah yang berleluasa,” katanya.

Justeru, ujar beliau tidak hairan sekiranya pegawai-pegawai kerajaan turut bergelumang dengan rasuah kerana ‘teladan yang berguna’ yang ditunjukkan daripada pemimpin politik negara ini.

DPPM menegaskan, jawatan sebagai ahli parlimen adalah amanah paling tinggi daripada rakyat yang mesti ditunaikan sebaiknya oleh seseorang ahli parlimen.

Beliau berkata, rakyat membayar harga yang mahal dengan air mata, keringat dan juga pengorbanan yang tinggi bagi memenangkan seorang ahli parlimen di sesebuah kawasan supaya ahli parlimen ini bangkit membela mereka di parlimen kelak.

Tambahnya, tugas sebagai ahli arlimen adalah bersuara dengan membela rakyat, khususnya untuk pengundi di kawasannya, bukan untuk diperdagangkan menurut kemahuan nafsu segelintir elit semata-mata.

Justeru, ujar beliau DPPM mendesak supaya SPRM menyiasat segera dakwaan Azan berhubung isu itu.

Katanya, SPRM dituntut untuk menyiasat individu di belakang tawaran tersebut dan mengheretnya ke mahkamah.

“Adakah ia arahan pemimpin-pemimpin tertentu yang berkepentingan serta mempunyai kuasa dalam negara ini?” katanya.

Beliau berkata, ia perlu didedahkan supaya petualang-petualang ini mendapat pengajaran dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Selain itu, ujarnya DPPM juga mendesak supaya SPRM turut sama memanjangkan siasatannya terhadap beberapa orang ahli parlimen yang telah melompat parti menjadi ahli parlimen bebas.

Tegasnya, siasatan perlu menyeluruh adakah mereka juga termasuk senarai di antara yang menerima tawaran tersebut dan menerimanya atau sebaliknya.

“DPPM melihat rasuah membeli Ahli Parlimen adalah permainan politik paling jijik yang dilakukan oleh golongan yang terdesak untuk mendapat kuasa dengan cara yang tidak bermaruah.

“Tidak ada kemaafan bagi mereka yang cuba menghancurkan integriti negara dan merosakkan masyarakat dengan jenayah rasuah seperti ini,” tegasnya.
.

0 Komen pengunjong :