Isu Video MP PKR: Umno-BN Cuba Beri Persepsi Buruk Pada PR


SHAH ALAM, 15 JUN: Umno-BN mensasarkan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya meninggalkan gabungan Pakatan Rakyat dengan tawaran lumayan merupakan satu usaha untuk membentuk perspektif negatif rakyat kepada parti berkenaan.
MP Shah Alam, Khalid Samad berkata, strategi kotor yang dimainkan oleh Umno-BN ini merupakan rentetan kepada amalan budaya rasuah, ugutan dan sogokan yang selama ini menjadi budaya kepada parti tersebut untuk disuburkan dalam masyarakat.
Katanya, perkara ini merupakan satu permainan politik supaya rakyat akan terdidik dengan persepsi bahawa pimpinan PKR sebenarnya bermasalah.
“PAS dikatakan ekstrimis dan kumpulan pelampau kepada orang bukan Melayu dan dikatakan tidak berprinsip kepada orang Melayu selain tunduk kepada DAP.
“DAP pula dikatakan sebagai pelampau Cina kepada orang Melayu. Di kalangan masyarakat bukan Melayu pula dikatakan tunduk kepada PAS.
“PKR pula sebagai sebuah parti yang tidak mempunyai pendirian yang kukuh dan ahli parlimennya mudah lompat. Mungkin ini diantara sebab mengapa PKR dijadikan sasaran utama,” katanya .
Beliau yang ketika ditemuramah dalam program bual bicara Terus Terang terbitan TV Selangor tidak menafikan Ahli Parlimen PAS dan DAP juga turut dipelawa meninggalkan PR tetapi sasaran utama mereka merupakan Ahli Parlimen PKR.
Khalid Samad bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution semalam mendedahkan satu klip video perbincangan cubaan membeli MP Pakatan Rakyat dengan menamakan Ketua Parti KITA Kedah, Zamil Ibrahim sebagai antara individu yang terlibat dalam perbincangan berkenaan.
Tayangan selama 3 minit 41 saat memaparkan lima individu yang sedang berbincang berhubung tawaran habuan sekiranya meninggalkan Pakatan dengan nilai minima RM2 juta selain bonus dalam bentuk kontrak kerajaan.
Dua daripada individu berkenaan merupakan wakil Pakatan sementara yang lain merupakan wakil agen Umno-BN.
Video asal selama tiga jam ini dirakamkan di sebuah restoran di Lembah Klang sekitar setahun yang lalu selepas beberapa pemimpin Pakatan mengisytiharkan lompat parti dan akan didedahkan secara berperingkat.
.

0 Komen pengunjong :