KUALA LUMPUR:
Mana-mana pemimpin negara yang meminta para peneroka meninggalkan tanah
rancangan Felda kerana berbeza pandangan, hanya menunjukkan sikap
pemimpin yang hilang identiti kepimpinannya.
Perkara tersebut ditegaskan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang juga menganggap kenyataan sedemikian sebagai satu bentuk ugutan dan ancaman.
"Bagaimana seorang pemimpin boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada rakyatnya?
"Kenyataan itu juga menunjukkan Umno sudah terbiasa dengan budaya
ugut dan ancam ini sejak dahulu," kata beliau ketika dihubungi
Harakahdaily, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas
kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ahli parlimen Pengerang, Datuk
Azalina Othman Said.
Mereka dilaporkan mengeluarkan kenyataan
meminta para peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian Felda
Global Venture Holdings (FGVH) keluar dari tanah rancangan tersebut.
Kedua-dua
pemimpin Umno itu dikatakan mengeluarkan kenyataan tersebut ketika
majlis penyerahan 'durian runtuh' di kawasan masing-masing.
Tambah
Mazlan, selain Ismail dan Azalina, seorang lagi pemimpin Umno, Datuk
Norzula Mat Diah yang merupakan Adun Paloh, Kelantan turut mengeluarkan
kenyataan serupa.
Mazlan turut mendakwa para peneroka yang
menyertai tanah rancangan Felda tidak masuk secara percuma, sebaliknya
terpaksa membayar harga tanah walaupun hanya berkeluasan 10 ekar.
Atas
sebab itu, katanya tidak ada sesiapa yang boleh mengugut atau mengancam
peneroka untuk meninggalkan tanah rancangan yang telah mereka terokai
selama ini.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata para peneroka
mempunyai hak untuk menilai secara berhati-hati berkaitan penyenaraian
FGVH, lebih-lebih lagi dengan maklumat daripada pelbagai pihak.
"Mereka
merupakan warga bermaklumat, yang mempunyai hak untuk bersetuju atau
sebaliknya (penyenaraian) itu. Mereka bukan seperti katak di bawah
tempurung, mereka bimbang pertaruhkan kehidupan mereka seperti nasib
Felda L.B Johnson, Felda Sungai Buaya, dan Felda Cahaya Baru," tegas
beliau.
Dalam perkembangan sama, Mazlan berkata Anak akan
memfailkan injuksi memohon pembatalan surat tawaran pinjaman bank di
Mahkamah Tinggi Kuantan, esok.
0 Komen pengunjong :