PETALING JAYA: Sebanyak 65 peratus daripada pihak
pengurusan tertinggi Felda percaya bahawa proses penyenaraian Felda
Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia akan gagal
kerana Felda masih belum bersedia.
Selain itu lebih separuh atau
55 peratus dari pengurusan Felda tidak bersedia untuk melalui proses
penyenaraian ini manakala hanya 20 peratus dari pengurusan tertinggi
Felda yang benar-benar menyokong proses penyenaraian.
Kesemua
data itu adalah rumusan daripada penilaian syarikat juru runding Boston
Consulting Group (BCG) yang dilantik untuk menerajui proses penyenaraian
ini yang didedahkan oleh PKR hari ini.
Selain menyediakan pelan langkah-langkah penyenaraian, BCG juga
bertanggungjawab menilai kesediaan dan pandangan pengurusan Felda
mengenai tindakan Barisan Nasional menyenaraikan FGV dan aset-aset
berkaitan Felda.
Menurut Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, pihaknya telah berjaya
mendapatkan salinan laporan itu yang dibentangkan oleh BCG kepada
pengurusan Felda dan FGV di dalam mesyuarat Mesyuarat Pada 18 Oktober
2011.
Kaji selidik itu dibuat melibatkan 30 responden dari pengurusan tertinggi Felda yang dibuat dalam bulan Oktober 2011 lalu.
"Pendedahan
ini mengesahkan bahawa proses penyenaraian yang cuba dilakukan Barisan
Nasional mendapat tentangan hebat dari kalangan pimpinan tertinggi Felda
sendiri.
"Ini memberi gambaran bahawa mereka yang lebih arif
dan mengikuti proses dalaman sepanjang keputusan menyenaraikan Felda
berpandangan penyenaraian ini lebih membawa keburukan daripada kebaikan
kepada Felda dan peneroka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR
hari ini.
Menurut Rafizi lagi, tentangan dari pengurusan
tertinggi Felda ini akan menyulitkan proses penyenaraian dan membawa
risiko bahawa ia akan gagal kerana tidak mendapat kerjasama kakitangan
Felda.
"Makanya, adalah menjadi tanggungjawab Datuk Seri Najib
Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad untuk memberikan penjelasan kenapa
pandangan dan tentangan pengurusan tertinggi Felda ini tidak diambil
kira dan penyenaraian Felda diteruskan jua.
"Mereka juga perlu
memberi jaminan bahawa pengurusan Felda sedia ada tidak diketepikan dan
muka-muka baru yang lebih akur dengan kehendak Barisan Nasional akan
dilantik mengisi sebahagian besar jawatan baru di dalam Felda,"
tegasnya.
0 Komen pengunjong :