Hanya ‘bahasa’ Bersih 3.0 difahami


Jika tidak ada apa-apa perubahan, Dataran Merdeka – di  tengah jantung Ibu Kota - akan bermandi warna kuning apabila berlangsungnya perhimpunan rakyat prihatin yang dinamakan Himpunan Bersih 3.0 pada jam 2.00 petang 28 April ini. Pada hari itu, Dataran Merdeka tidak diriuh-rendahkan dengan hiburan, paluan gendang, tarian dan nyanyian yang menghidburkan seperti pesta biasa di masa lalu, tetapi ia akan dipenuhi rakyat prihatin berbaju kuning yang menuntut sebuah pilihan raya bersih dan penuh demokratik, tanpa penipuan.
Tentu saja Himpunan Bersih 3.0, seperti Himpinan Bersih 2.0 Julai tahun lalu, mempunyai makna yang sungguh besar dalam perjuangan menuju sebuah negara demokratik dalam pengertian sebenarnya.
Memang wajar perjuangan rakyat ini memandangkan negara jiran – Indonesia, Thailand, Singapura, bahkan Myanmar – sudah melaksanakan pilihan raya yang penuh adil, bersih dan memenuhi kehendak demokrasi.
Dengan itu, Malaysia yang telah merdeka lebih setengah abad tidak ada sebab tidak boleh melaksanakan pilihan raya penuh adil, bersih dan demokratik. Tetapi jika tidak mampu juga dilaksanakan bermakna negara ini undur jauh ke belakang berbanding dengan negara jirannya sendiri.
Perhimpunan ini didukung oleh 84 NGO lain, di mana para peserta akan duduk di lokasi tersebut bermula jam 2 petang hingga 4 petang. Walaupun Bersih 3.0 adalah duduk saja, kata Pengerusi Bersama Bersih 3.0 Sasterawan Negara A. Samad Said, tetapi ia memberikan impak yang kuat.



Sementara itu, penganjur perhimpunan membantah loji nadir bumi Lynas - Himpunan Hijau  - pula telah mengumumkan bahawa himpunan tersebut diadakan bersama dengan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini.
Anggota jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau, Clement Chin berkata, langkah itu diambil kerana gerakan tersebut percaya bahawa isu alam sekitar yang ditimbulkannya adalah berpunca daripada kerajaan yang ‘kotor’. Kerjasama dengan BERSIH 2.0, katanya, sangat logik dan penting kerana alam sekitar yang bersih hanya boleh dicapai oleh kerajaan yang bersih.
Dalam masa yang sama perjuangan Bersih 2.0 mendapatat sokongan Aktivis Media Independen (KAMI) yang kecewa dengan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang mengabaikan tuntutan rakyat mengenai akses media yang bebas dan adil, sekali gus menyifatkan PSC tidak mempunyai keazaman politik yang tinggi bagi membuat pembaharuan menyeluruh.
Pengerusi KAMI, Ahmad Lutfi Othman, turut kesal apabila gesaan tempoh kempen minimum selama 21 hari hanya dipersetujui setakat sepuluh hari, iaitu satu tempoh yang tidak mencukupi untuk calon-calon dan parti-parti yang bertanding menjelaskan manifesto masing-masing.

"Pilihan Raya Umum Ke-13 merupakan pilihan raya paling sengit.  Justeru, setiap pemilih berhak untuk mendapat maklumat yang tepat dan komprehensif, serta mudah dicapai dengan cepat.  Malangnya, isu akses media yang bebas dan saksama ini seperti tidak dipandang penting oleh PSC," tambah Ahmad Lutfi, dalam sidang medianya baru-baru ini.
Oleh itu sewajarnya Bersih 2.0, memberi perhatian kepada tuntutan KAMI ini, katanya.
Seperti Himpunan Bersih 2.0 yang didukung oleh majoriti anak muda, Himpinan Bersih 3.0 ini juga dijangka akan ‘dibanjiri’ anak muda berbaju kuning yang sudah menunjukkan isyarat jelas bahawa mereka mahukan perubahan di mana kebebasan menentukan hak mereka dapat dipulangkan semula kepada rakyat dengan pelaksanaan pilihan raya bersih dan adil.
Anak muda ini tidak lagi mampu membiarkan penipuan terhadap senarai daftar pemilih terus berlaku. Menurut Ahmad Syukri Che Ab Razab, anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0, anak muda akan menjadi gelombang utama yang memenuhi bandar raya Kuala Lumpur. Bersih 3.0, katanya, sekali lagi akan menyaksikan kebangkitan anak muda bukan sekadar menjadi komponen mobilisasi yang paling penting, tetapi juga akan menjadi benteng yang akan berada di kiri kanan setiap rakyat Malaysia di Dataran Merdeka pada 28 April nanti.
Sebelum ini ada pendapat mengatakan Dataran Merdeka hanya boleh memuatkan 100,000 orang, jadi bagaimana jika yang datang ke Himpunan Bersih itu melebihi jumlah tersebut. Bagi saya ini hanya persoalan teknikal. Yang penting himpunan itu. Kuala Lumpur besar dan luas, menjadi hak  kepunyaan semua rakyat. Oleh itu jika orang ramai melimpah keluar apalah yang boleh dikatakan, justru ini adalah manifestasi kebangkitan dan kehendak rakyat.
Yang penting di sini ialah pihak pemerintah, khususnya SPR yang didakwa badan bebas, melaksanakan tuntutan Bersih 3.0 ini, khususnya membersihkan daftar pemilih yang menjadi tuntutan utama Bersih 3.0.
Kini, semua pihak, khususnya pendukung parti politik, menanti pengumuman tarikh PRU Ke-13, maka rakyat prihatin sedang menanti dengan penuh perhatian akan ketibaan 28 April, tarikh Bersih 3.0 diadakan di seluruh negara bahkan di pelbagai bandaraya di dunia.
Dengan gabungan rakyat prihatin – golongan generasi lama dan baru – saya yakin kejayaan Himpunan Bersih 2.0 dulu itu akan berulang pada Himpunan Bersih 3.0, bahkan diharapkan akan memberikan impak segera kepada pihak pemerintah, khususnya badan kerajaan seperti SPR supaya segera memahami kehendak rakyat untuk mendapatkan pilihan raya bersih dan adil.
Sudah bertahun-tahun tuntutan supaya dibersihkan daftar pengundi dan sudah sekian banyak bukti ‘kekotoran’ daftar pengundi itu didedahkan, namum pelbagai dalih dikeluarkan untuk mengelak dari melaksanakan daftar pemilih yang bersih dan juga tuntutan lain.
Seperti gelombang besar di lautan dalam, Himpunan Bersih 3.0 sedang dalam perjalanan dan akan tiba di pantai Dataran Merdeka. Inilah gelombang yang didukung oleh golongan lama dan baru yang merupakan kebangkitan rakyat untuk mendapatkan perubahan.
Saya yakin bahasa Himpunan Bersih 3.0 ini saja yang mungkin mudah atau dapat difahami oleh pihak pemerintah, khususnya SPR. Himpunan ini adalah batu tanda dalam perjalanan sejarah tanah air yang penting, iaitu perjuangan rakyat selanjutnya dalam sebuah negara yang telah merdeka lebih setengah abad lamanya.

0 Komen pengunjong :