PETALING JAYA 28 Feb: KEADILAN hari ini mendedahkan National Feedlot Corporation(NFCorp) turut terlibat dalam perniagaan pasaraya mewah di Singapura, selain tiga buah restoran dan pelaburan RM44 juta kondominium di republik itu.
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, perniagaan itu dikendalikan syarikat Farmhouse Supermarkets Pte Ltd yang sahamnya dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.
“Siasatan KEADILAN mendapati saham syarikat tersebut dimiliki suami Shahrizat, (Datuk Seri) Mohamad Salleh Ismail Wan Shahinur Izram Salleh dan Wan Izrarana Fatimah Zabedah.
“Setiap nama memegang saham berjumlah SGD666,667,” kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Menurut beliau, Farmhouse Supermarkets Pte Ltd dipercayai dibiayai oleh Malayan Banking Berhad dan United Overseas Bank Limited melalui kaedah sama untuk membeli dua kondominium mewah di Marina Bay Suites.
Siasatannya mendapati Farmhouse Supermarkets Pte Ltd menjadi ‘anchor tenant’ kepada kompleks pasaraya mewah Star Vista, di kawasan elit berdekatan Nanyang Technology University.
“Pasaraya yang diusahakan oleh Farmhouse Supermarkets Pte Ltd ini dijangka mula beroperasi dalam suku ketiga tahun ini, apabila kompleks Star Vista siap,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, siasatan KEADILAN juga mendapati Farmhouse Supermarkets Pte Ltd telah menandatangani perjanjian sewaan dengan CapitalMalls (pemaju) bagi 28 unit ruang kedai di kompleks tersebut.
Tambah beliau, sewa ruang kedai seluas 3,000 meter persegi itu dianggar mencecah S$900,000 sebulan atau RM2.2 juta sebulan, mengikut harga pasaran semasa.
“Sudah tentu perniagaan pasaraya ini akan dibiayai oleh dana awam yang disalurkan bagi tujuan penternakan lembu seperti yang dimandatkan oleh NFC, seperti yang berlaku di dalam pembelian-pembelian aset mewah lain sebelum ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, KEADILAN mendesak NFC menjelaskan komitmen kewangan yang telah dibuat melalui Farmhouse Supermarkets Pte Ltd, termasuk perjanjian sewaan yang telah dimeterai.
“Tindakan tegas perlu dilakukan segera untuk merampas kembali kesemua dana yang telah diselewengkan secepat mungkin dan mendakwa individu terbabit di mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan jenayah perdagangan.
“Jika ini tidak berlaku dalam minggu ini, KEADILAN akan melakukan pendedahan setiap minggu hinggalah Dewan Rakyat bersidang pertengahan bulan Mac ini,” tegas beliau.
0 Komen pengunjong :