Pengawal peribadi presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dimasukkan ke hospital semalam selepas disyaki diserang dan didakwa dicederakan dengan objek tajam yang beracun.
Menurut seorang pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, kejadian itu berlaku selepas tamatnya satu ceramah ketua umum PKR itu di kampung halamannya di Cherok Tok Kun, Pulau Pinang.
Pengawal peribadi itu, Fayyadh Afiq Albakqry, mengiringi Wan Azizah beredar melalui orang ramai yang hadir di ceramah berkenaan pada kira-kira jam 10 malam apabila kejadian itu dikatakan berlaku.
Fayyadh Afiq sedang mengiringi Wan Azizah ke satu lagi ceramah di Parit Buntar, Perak tetapi dia mula berasa sakit dan akhirnya tidak sedarkan diri sewaktu dalam perjalanan.
Berikutan itu, Wan Azizah mengarahkan pemandunya berpatah balik menuju ke utara untuk membawa Fayyadh Afiq ke sebuah hospital di Seberang Jaya.
Menurut ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Syed Mikael Rizal Aidid, pada mulanya, Fayyadh Afiq berdarah selepas tangannya cedera terkena objek yang tajam, tetapi mereka memutuskan untuk meneruskan perjalanan ke Parit Buntar.
Bagaimanapun, katanya, selepas Fayyadh Afiq sakit, mereka mengesyaki dia mungkin diracun semasa serangan tersebut.
Berita mengenai serangan tersebut tersebar dengan cepat melalui twitter dengan beberapa individu mendakwa Fayyadh Afiq mungkin menghalang serangan terhadap Wan Azizah.
Sesetengah twitter mendakwa jantung Fayyadh Afiq berhenti berdenyut berikutan dakwaan serangan tersebut, tetapi para pemimpin PKR kemudian menulis melalui tweet menyatakan pengawal peribadi itu dalam keadaan stabil dan telah sedar semula.
Juga dilaporkan di twitter bahawa lebih daripada 100 penyokong PKR dan Pakatan Rakyat berada di hospital untuk mendoakan supaya Fayyadh Afiq pulih.
Wan Azizah adalah antara puluhan pemimpin PKR yang sedang menjelajah ke negara dalam siri ceramah umum menjelang keputusan perbicaraan kes liwat II Isnin ini.
Anwar pula berada di Kuala Terengganu menghadiri satu lagi ceramah umum di negeri itu ketika serangan tersebut dikatakan berlaku.
Fayyadh Afiq juga merupakan pengawal peribadi yang sama yang didakwa terkena tembakan kanister gas pemedih mata ketika melindungi Anwar semasa perhimpunan BERSIH 2.0.
Fayyadh Afiq dijadual menghadiri pendengaran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai dakwaan kekerasan pihak polis semasa perhimpunan BERSIH pada 9 Julai.
0 Komen pengunjong :