Najib hanya berani di gelanggang sendiri, kata Idris


KUALA LUMPUR, 17 Jan: Kegagalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk menjawab cabaran berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan dia hanya berani di gelanggang sendiri.

Demikian simpul AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataannya hari ini.

"Cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengan Datuk Seri Najib yang mengatakan negara ini akan bankrap masih tidak bersahut.

"Nampaknya pemimpin Umno hanya berani digelanggang sendiri tanpa lawan, tetapi pengecut untuk berdebat secara ilmiah mengenai masa depan negara," kata beliau dalam kenyataannya itu.

Anwar mencabar Najib berdebat tentang janji Pakatan Rakyat ekoran kenyataan Najib yang mempertikaikan janji itu.

Sedangkan, bagi Anwar janji itu boleh dilaksanakan dan wajar sekali.

Konvensyen PR kali ketiga sudah selesai pada 14 Januari 2012 di Stadium Suka Menanti Alor Setar Kedah.

Ia merupakan satu lonjakan kepada PR untuk menghadapi PRU akan datang bagi menawan Putrajaya.

Bagi beliau, usaha BN untuk melihat PR berpecah gagal, malahan hubungan PR semakin akrab.

Pemimpin BN semakin gerun melihat pencapaian empat kerajaan PR yang terbukti dan teruji, katanya.

"Ia bukan retorik tetapi mampu untuk melaksanakan sehingga mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara," katanya.

Baginya, rakyat sudah mula berfikir jika PR mampu mengurus negeri,  walaupun dengan kekangan kewangan maka sudah pasti PR lebih mampu jika diberi mandat untuk memerintah di peringkat pusat.

Kerana hasil petrolium, bijih, getah, sawit, mutiara, balak,cukai,air,emas, pasir putih, batu semuanya akan dikendalikan dengan baik dan dikembali kepada rakyat untuk dinikmati.

Janji 10 perkara

Lebih menggerunkan apabila  komitmen PR dengan janji 10 perkara dalam masa 100 hari.

Tujuannya ialah supaya rakyat tidak perlu  menunggu selama lima tahun untuk melihat perubahan yang akan dibawa di negara ini, katanya.

Sebenarnya, kata Idris, sebahagian besar  10 perkara  sudah dilaksanakan di negeri PR sekarang.

Contohnya pemberian RM500.00 setiap bulan kepada guru-guru telah dilaksanakan oleh Selangor kepada guru-guru KAFA daripada RM1000.000 kepada RM1300.00.

Walaupun tidak RM500.00 sekurang-kurang sebagai permulaan. Kedua wifi percuma akan dilaksanakan di Selangor.

Ketiga memulangkan konsesi air kepada rakyat, perkara in sudah berjalan di Selangor. Ini membuktikan kemampuan PR untuk menguruskan negara walaupun mempunyai kekangan kewangan.

"PR sudah iltizam jika diberi mandat untuk memerintah negara, keesokan hari harga minyak akan diturunkan, dalam masa dua minggu tarif letrik akan diturunkan, dalam masa 100 hari tol akan dihapuskan," tegasnya.

0 Komen pengunjong :