KUALA LUMPUR, 3 Jan: Kerakusan kerajaan bodoh memunggah harta negara untuk dikendurikan kepada kroni-kroni bodoh mesti dihentikan segera, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz.
Merujuk kepada tindakan pengurusan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang dengan mudah memberikan sehingga RM1.76 juta kepada seorang tauke teksi kononnya untuk mendapatkan khidmat nasihat, beliau berkata tindakan itu kian diejek sebagai tindakan yang amat bodoh oleh orang ramai.
"Tetapi yang lebih penting untuk disedari oleh rakyat ialah pemunggahan harta negara sehingga RM250 juta untuk diberikan kepada kroni yang hari ini semakin dituduh bodoh tidak akan dilakukan melainkan oleh kerajaan yang bodoh sahaja.
"Hanya kerajaan bodoh sahaja yang menaburkan wang sebegitu banyak kepada orang yang dituduh bodoh," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Di sisi yang lain pula, Mahfuz mempersoalkan, adakah RM1.76 juta itu mungkin sengaja diberikan kepada tauke teksi yang dilihat umum penuh dengan aksi yang menggelikan hati ketika didakwa di mahkamah itu dengan perkiraan untuk memperlihatkan kepada umum bahawa NFC menjadi mangsa penipuan dan bukannya pihak yang menyelewengkan wang rakyat.
"Jika benar itulah perkiraannya, kerajaan yang dengan begitu mudah memberikan sehingga RM250 juta kepada NFC tetap merupakan kerajaan yang bodoh," katanya.
Kerajaan yang cerdik, kata Mahfuz , tidak akan "memfaraidkan" wang negara sehingga RM250 juta untuk digunakan sesuka hati bagi memuaskan keinginan pihak yang mendapat wang itu seperti membeli kondominium di Kuala Lumpur dan Singapura kononnya untuk mendapatkan pulangan cepat sambil menghabiskan RM1.76 juta dan kemudiannya diberitakan pula telah menjadi mangsa penipuan.
"Lebih penting dari semua itu, kerajaan bodoh yang memberikan sebesar RM250 juta kepada NFC itu turut melibatkan Perdana Menteri kini yang pada waktu itu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kini yang pada waktu itu menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia yang kementeriannya terlibat secara langsung dengan pemberian projek NFC.
"Dan, mereka jugalah yang bersungguh-sungguh membela (Menteri Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) dan keluarganya yang memiliki NFC itu ketika cara penggunaan dana oleh NFC didedahkan sebagai kucar kacir oleh laporan Ketua Audit Negara dulu.
"Nampak benar kerajaan bodoh berusaha untuk menyembunyikan kebodohannya," kata beliau.
Mengambilkira bencana yang akan menimpa mereka dengan tindakan sebodoh itu, Mahfuz menyeru rakyat segera merebut apa sahaja peluang yang ada untuk menghentikan penganiayaan ke atas mereka dengan perbelanjaan bodoh harta mereka itu.
Jumaat lalu, Seorang tauke teksi Datuk Shamsubahrain Ismail yang dilaporkan cuba memberi rasuah kepada pegawai kanan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil ketika siasatan ke atas NFC dijalankan telah didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan menipu.
Shamsubahrain dituduh menipu Pengerusi NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.76 juta sebagai bayaran kononnya untuk mendapatkan khidmat penasihat.
Mohamad Salleh ialah suami Shahrizat.
0 Komen pengunjong :