Cara berfikir Umno amat purba


PETALING JAYA: Cara berfikir pemimpin-pemimpin Umno amat purba kerana mereka gentar untuk berbicara secara bersemuka mengenai hak rakyat, demikian ditegaskan Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.
“Jelas, Umno belum berhenti dari muslihatnya terus memperbodoh dan menindas minda rakyat.  Dengan ini, kuasa memerintah negara terus kekal di tangan dan pelbagai penyelewengan mudah diteruskan tanpa sekatan.
“Apa yang kita pasti, sikap ini adalah manifestasi dari lesunya daya fikir dan intelek kepimpinan mereka dalam menghadapi realiti politik semasa dunia yang mengamalkan budaya telus dan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau mengulas perkara ini berhubung sikap Perdana Menteri dan juga Presiden Umno-Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkali-kali enggan menyahut cabaran Ketua Pembangkang dan juga pemimpin Pakatan Rakyat untuk berdebat.
Anwar secara terbuka mengajak Najib berdebat mengenai beberapa isu kritikal semasa – politik, ekonomi dan kebajikan rakyat  - yang sedang hangat diperkatakan kini.
Dr Manuty berkata, alasan yang diberikan begitu memual dan menjengkelkan.  Sikap ini menampakkan betapa purbanya cara berfikir kepimpinan parti ini dan betapa gentarnya Umno untuk berbicara secara bersemuka mengenai hak rakyat.

Debat – amalan tradisi pemimpin
Sesungguhnya kata beliau, PKR ingin menegaskan pendirian bahawa debat antara pemimpin adalah tradisi mana-mana kepimpinan silam bagi semua tamadun.  Di dalam Al Quran sendiri Allah SWT menjelaskan:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahl: 125).
Beliau menegaskan pada hakikatnya, budaya debat adalah amalan lumrah para ilmuan dan kepimpinan silam.  Melaluinya, kebenaran akan lebih terserlah dan “insight” baru dapat dicernakan demi kepentingan negara dan rakyat.
Lebih penting katanya, rakyat diberi peluang menilai secara empirikal dan adil akan ketrampilan dan keikhlasan kepimpinan yang akan  diberikan amanah mengurus negara pada masa depan. Inilah demokrasi sebenar yang dituntut oleh rakyat.
“Kita pun merasa aneh mengapa pula Najib tidak punyai keberanian menyahut cabaran ini sedangkan, beliau sendiri dikatakan selalu mempamirkan gaya pidato yang tidak kurang hebatnya semasa berucap di khalayak umum di mana-mana.
“Beliau sebenar lebih beruntung kerana dikelilingi ratusan pegawai dan pembantu yang bersiap siaga dengan bekalan idea dan maklumat jika diperlukan.
“PKR merasa kesal akan betapa hina dan rendahnya pandangan Umno-BN terhadap rakyat Malaysia yang bersifat majmuk ini,” tegas beliau.

0 Komen pengunjong :