KUALA LUMPUR: Perjuangan mendapatkan kemerdekaan bukan hanya milik parti politik tertentu, tetapi ia milik bersama rakyat yang berjuang membebaskan tanahair pada masa itu.
Justeru, isu parti mana yang memperjuangkan kemerdekaan sepatutnya tidak timbul kerana rakyat pada masa itu berjuang untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.
Demikian dinyatakan Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut tengahari tadi.
Turut menyertainya adalah Baharum Shah Indera, 65, adik kepada Mat Indera, pejuang kemerdekaan yang terlibat dalam peristiwa Bukit Kepong.
“Dalam hal ini tidak timbul sama ada Umno atau Pas kerana perjuangan seseorang pejuang kemerdekaan adalah untuk negara. Bermaksud Mat Indera ialah pejuang negara. Semua pihak mesti berusaha untuk membuat penyelidikan dan mendapatkan maklumat yang sebenar,” kata Suhaizan.
Nama Mat Indera menjadi tumpuan ramai apabila media arus perdana memainkan rakaman ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mengiktiraf perjuangan Mat Indera yang mahu membebaskan tahanan di rumah pasung milik British pada masa itu.
Suhaizan menyingkap kembali sejarah penentangan Tok Janggut di Kelantan yang menentang kutipan cukai keterlaluan yang dibuat British pada masa itu.
Beliau akhirnya ditangkap dan digantung mayatnya di pokok dan ditembak sehingga terputus dua oleh pihak British.
“Sebagai contoh, Tok Janggut yang mati dan digantung di Kota Bharu pada awalnya juga dianggap sebagai pengkhianat oleh British. Walhal yang menangkap dan membunuh itu adalah orang Melayu.
“Selepas kajian dibuat kita bertemu bahawa Tok Janggut adalah orang yang memperjuangkan kemerdekaan, dan bukannya kepada Pas atau Umno, tetapi untuk negara ini,” kata Suhaizan.
Ditanya mengenai pandangan Profesor Khoo Kay Kim yang mengatakan bahawa Mat Indera pengganas, Suhaizan mencabar sama ada wujud kajian khusus dibuatnya mengenai peristiwa Bukit Kepong dan Mat Indera oleh Khoo Kay Kim.
“Lainlah kalau dia ada kajian sendiri, kerana barangkali kajian sebelum ini tidak tepat. Kalau dia sendiri pun tak ada kajian, bagaimana dia boleh menafikan kajian pihak lain?” soal Suhaizan.
Memetik buku ‘Pengukir Nama Johor’ terbitan Yayasan Warisan Johor yang memuatkan biografi Mat Indera, Suhaizan mempersoalkan sama ada badan kerajaan itu mengeluarkan dokumen yang salah.
Suhaizan turut menuntut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menyatakan pendirian mereka mengenai isu tersebut.
“Saya cabar mana-mana pemimpin Umno di Johor yang bersetuju dengan keputusan British membunuh Mat Indera. Kalau setuju, sila angkat tangan dan buat kenyataan.
“Kalau sebelum ini, mereka berani menyanggah pendirian Umno pusat seperti dalam isu judi bola dan PPSMI, jadi saya yakin Umno Johor juga berani mengatakan bahawa Mat Indera adalah pejuang,” kata Suhaizan.
0 Komen pengunjong :