MIRI, 7 Sept: “Jadi bagaimana pula dengan nasib Rosli Dhoby (gambar), adakah beliau juga dianggap pengkhianat negara kerana membunuh gabenor British?” tanya Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.
Beliau juga bertanya adakah mata-mata atau polis yang berjaya menangkap Rosli Dhoby boleh dianggap sebagai hero.
Jelasnya, Rosli Dhoby merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British.
“Beliau berketurunan Melanau. Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949,” jelasnya yang juga Yang Dipertua PAS Miri.
Beliau berkata, faktor yang menyebabkan Rosli terpaksa mengakui tuduhan tersebut adalah atas permintaan ibunya yang telah diugut akan ditembak.
“Fikir-fikirlah sendiri siapa yang kejam semasa zaman tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa apa yang dimaksudkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bukan menyokong perjuangan komunis tetapi membela nasib perjuang kemerdekaan yang di anggap sebagai pengganas atau pemberontak.
Justeru, katanya PAS Sarawak ingin memberi sedikit pandangan dan ulasan tentang sejarah sebelum kemerdekaan Malaya.
Menurutnya, sebelum tanggal 31 Ogos 1957 Malaya masih lagi dijajah oleh British jadi sesiapa saja yang bekerja dengan British semasa zaman tersebut mesti patuh dengan arahan penjajah British sama ada mereka suka atau tidak kerana mereka telah diberi amanah untuk menjalankan tugas dan patuh pada arahan pemerintah British pada zaman tersebut.
Jadi persoalannya sekarang, kata beliau adakah mereka yang mempertahankan kerajaan British pada zaman tersebut boleh dianggap sebagai hero mempertahankan tanah air atau mempertahankan kerajaan penjajah British.
Tambahnya, adakah mereka dapat imbuhan atau penghargaan setelah pemerintah British meninggalkan Malaya.
“Kita minta mereka yang pernah bertugas dengan pemerintah British dahulu fikir baik-baik mengapa mereka sanggup bermati-matian mempertahan pemerintahan penjajah British sehingga sanggup menangkap dan membunuh perjuang kemerdekaan selain komunis.
“Kita juga pernah mendengar kerajaan BN pernah mengampunkan pengganas komunis yang menyerah diri dan memberi beberapa keistimewaan sekiranya mereka meninggalkan perjuangan mereka,” katanya lagi.
Katanya, kemungkinan tidak mustahil ada di kalangan mereka dalam pemerintah sekarang walaupun mereka tidak mengangkat senjata tetapi ideologi mereka masih ada terpahat dalam hati mereka.
“Kita minta para pengkaji sejarah kena perbetulkan kesilapan sejarah yang telah diresapi oleh unsur-unsur penjajah di mana para perjuang kemerdekaan dianggap pengkhianat dan mereka yang bekerja dengan pemerintah penjajah pula dianggap sebagai hero,” ujarnya.
PAS juga, tambah beliau meminta para pengkaji sejarah menjalankan tugas mereka dengan jujur dan amanah agar rakyat tahu sejarah tanah air dengan sebenar dan tepat tanpa di pengaruhi oleh unsur-unsur politik perkauman dan sebagainya.
Beliau menegaskan, PAS sama sekali tidak pernah merestui perjuangan komunis dan minta agar pemimpin BN jangan memutarbelitkan kenyataan Mohamad Sabu kononnya PAS menyokong komunis.
0 Komen pengunjong :